Don't judge a blog by its followers

Monday, 6 February 2012

Halaqah sentuhan kalbu – edisi maulidur rasul..?

(walaupun aku terlepas nak update semalam, tapi aku tetap nak update nota untuk aku. Baca monolog ini dengan alunan Quran atau iringan lagu dibawah..)



Opening music (Pot the elegance of pachelbel serenade)..




Dalam kedinginan sepertiga malam dan keheningan subuh, selepas selesai tahajjud cinta dan solat subuh berjemaah, kini bersiap sedia dengan pakaian baju melayu cekak musang dan bersamping untuk berkumpul bersama sahabat handai untuk ke dataran bagi perarakan maulidur rasul  secara besar-besaran…

Disebalik segala nikmat islam dan iman yang kita perolehi hari ini, tidak terkira banyaknya manusia yang telah mengorbankan seluruh air mata, masa, harta, darah malah nyawa mereka untuk agama Allah…


Mungkin kita terlupa ketakutan Rasulullah s.a.w. setelah di datangi Jibrail a.s untuk menyampaikan wahyu kepada baginda yang seterusnya tertabalnya baginda sebagai Nabi dan Rasul bongsu atau yang terakhir sebagai penutup sekalian para Nabi dan Rasul. Baginda balik ke rumah menggigil sehingga minta di selimutkan isteri kesayangan baginda, Khadijah r.anha lalu isteri baginda menenangkan baginda.. Maka bermulalah detik sebuah pengorbanan seorang kekasih Allah demi ummat baginda ketika itu dan akan datang….




Dalam kemeriahan berkumpul di dataran bersama sahabat handai, semua berpakaian molek-molek belaka, ada yang sanggup beli baju baru, ada yang bawa sepanduk dan banner serta berbagai lagi bagi persediaan perarakan Maulidur Rasul..

Disebalik segala nikmat islam dan iman yang kita perolehi hari ini, tidak terkira banyaknya manusia yang telah mengorbankan seluruh air mata, masa, harta, darah malah nyawa mereka untuk agama Allah…


Rasanya kita mungkin terlupa ketika mana Rasulullah s.a.w. yang sebelum ini digelar Al-Amin atau orang yang sangat dipercaya kata-katanya oleh orang Quraisy berdiri di bukit safa, lantas baginda menyeru dan mengajak kepada semua manusia di situ untuk beriman kepada Allah Yang Esa bersama risalahnya, namun seruan baginda bukan sahaja di tolak, malah baginda di hina, di caci maki, di cela oleh orang ramai di situ.

Maka bermulalah saat sang Nabi bongsu dan para sahabat r.ajmain yang berada di sisi bagina berkorban demi ummat ketika itu dan yang akan datang…



Dalam kegembiraan berarak beramai-ramai dengan pakaian yang cantik molek bersama sahabat handai sambil membawa sepanduk, banner dan sebagainya diiringin dengan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w. sehingga ada ketika mengeluh kerana kepanasan dan kepenatan berarak lalu berhenti berarak dan duduk di tepi kipas atau bawah pokok berdekatan..

Disebalik segala nikmat islam dan iman yang kita perolehi hari ini, tidak terkira banyaknya manusia yang telah mengorbankan seluruh air mata, masa, harta, darah malah nyawa mereka untuk agama Allah…


Mungkin kita terlupa pada Summayah r.anha yang di tombak sehingga mati kerana agama ini, atau keluarga yassir yang turut mati di seksa, Khabab r.anhu yang telah dibaringkan di atas bara api kerana menyatakan keimannya kepada Allah dan rasul sehinggakan nanah, peluh dan darah yang mengalir keluar dari tubuhnya MEMADAMKAN BARA API yang dinyalakan, semuanya dilakukan demi kebahagiaan ummat ketika itu dan akan datang untuk merasai NIKMAT ISLAM dan IMAN!

Sesungguhnya, mereka sanggup terus berkorban dan terkorban supaya agama ini sampai sehingga hari kiamat…



Dalam keashikan kita menjamah makanan dan minuman setelah penat berarak yang di sediakan penganjur sambil mendengar ceramah, yang dimana menunya ada ayam panggang dan lain-lain. Selepas itu mendengar azan yang dikumandangkan oleh Bilal yang menandakan sudah masuk waktu zohor..

Disebalik segala nikmat islam dan iman yang kita perolehi hari ini, tidak terkira banyaknya manusia yang telah mengorbankan seluruh air mata, masa, harta, darah malah nyawa mereka untuk agama Allah…


Mungkin kita terlupa sekejap pada Bilal Bin Rabah yang hayat hidupnya di seksa, di jemur pada pasir sedang di dadanya di letak dengan batu sebesar raksasa, dan hidupnya hampir setiap hari di cemeti bergilir-gilir. Kemudian mengenai kisah Rasulullah ketika mana baginda ke Taif untuk menyampaikan islam kepada mereka, namun di sana baginda di cerca, di halau, di hina, di ejek beramai-ramai lantas di baling kayu dan batu sehingga baginda cedera dan berdarah..

Sesungguhnya segalanya di lakukan demi ummat agar islam dapat di rasai sehingga bayi yang terakhir lahir di atas muka bumi ini..



Dalam rangkap-rangkap terakhir ini, izinkan aku untuk menceritakan sebuah kisah ringkas Rasulullah s.a.w. yang menderita kerana agama, berkorban dan sanggup meletakkan Islam melebihi harta dan nyawa baginda demi ummat yang akan datang..



Mungkin kita terlupa seketika detik dimana Nabi Muhammad s.a.w. keluar dar rumah dengan pakaian yang bersih, tetapi bila pulang kerumah, baju baginda sudah kotor kerana sepanjang di jalanan untuk menyebarkan Islam, baginda di pukul orang, di sepak terajang, di simbah najis dan di baling batu..


Dari celah daun pintu, Fatimah r.anha, anak baginda mengintai perlakukan ayahnya yang tercinta, lalu bergenanglah air matanya melihat penderitaan ayahnya. Namun setelah baginda pulang, maka segera di sapu air mata dan di sambut ayahnya yang tercinta dengan senyuman yang sangat manis demi menyembunyikan kesedihan diri untuk memberi sokongan moral dan hiburan kepada jiwa luhur ayahnya yang teramat sabar dan tabah itu.


Tetapi, hati anak mana yang tahan melihat ayahnya di seksa saban hari demi hari..?


Lantas beliau mengikut di belakang Nabi, melihat perlakuan ayahnya secara langsung, sepanjang di jalanan untuk menyebarkan Islam, ayahnya di pukul orang, di sepak terajang, di simbah najis, dilayan seperti pengemis dan di baling batu..


Antara penghinaan yang paling perit di rasai oleh jiwa-jiwa manusia yang mengetahuinya, ketika mana Nabi bersolat di hadapan Kaabah, lalu Abu Jahal dan sekutunya telah membuang najis dan perut untuk ke belakang badan baginda yang sedang sujud... Dengan linangan air mata, Fatimah r.anha datang membersihkan najis di badan ayahnya..


Dengan air mata bergenang, Fatimah r.an ha berkata :
“Aku menangis kerana ku lihat telah bertukar wana kulitmu dan kotor pakaianmu..”


Nabi menjawab..



“Jangalah kamu menangis wahai Fatimah, satu hari nanti, agama yang aku bawa ini akan pergi menuju ke setiap rumah walaupun rumah itu berada di desa atau di Bandar, dan Allah akan memasukkan kemuliaan atau kehinaan ke dalam rumah seperti tersebarnya malam..”



Allahu Rabbi….




Pesanan terakhir dari aku untuk nota kali ini, bersyukurlah dengan nikmat beragama iaitu nikmat ISLAM dan IMAN yang telah di sampaikan dan diperjuangkan oleh mereka-mereka yang sanggup mengorbankan seluruh air mata, masa, harta, darah malah nyawa mereka untuk agama Allah…



Lakukanlah sesuatu untuk agama ini, sumbangkanlah walaupun korang hanya mampu sumbangkan masa korang untuk agama. Sumbangkanlah.. tunjukkanlah kecintaan korang kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukan sekadar hanya pada selawat dan salam, tetapi dari sudut tindakan dan perbuatan..





Sekian…





p/s : Sesungguhnya, dalam kegembiraan kita mengecapi nikmat islam dan iman hari ini, dalam bersolat berjemaah, berpuasa, rukuk dan sujud yang merehatkan jiwa, di sebalik semua nikmat beragama ini, tidak terhitung banyaknya masa, harta malah nyawa yang berkorban dan terkorban untuk ummat ini….


- Selawat -


No comments:

Post a Comment