Don't judge a blog by its followers

Sunday, 22 April 2012

Bagaimana nak bersabar..?

(Terkadang kita kesian dengan peristiwa buruk yang berlaku pada sahabat kita atau orang terdekat dengan kita, tapi sejauh mana kita mampu hadapi peristiwa buruk yang mereka lalui?)
 


Beberapa minggu lalu, ada seorang sahabat aku yang kehilangan motorsikal di fakulti semasa dia tengah berusrah. Yang lebih sadisnya, motorsikal tu baru je dia beli dalam lebih kurang sebulan, hutang bulanan pun tak sempat bayar lagi. Tambahan pula, dia scholarship Sdn. Bhd. Dan lagi tragisnya, duit beli motor tu diberi oleh ayahnya dan ayahnya pula sedang sakit dan berada di hospital untuk melakukan pembedahan sebab menghadapi diabetis. Pembedahan je dah berapa ribu perlukan duit. Dia pun bukan keluarga mewah.


Ketika hilang tu, aku dan seorang sahabat lagi terus bawa dia ke balai polis untuk buat report. Dan semasa perjalanan, aku cuba tenangkan dia dan suruh bersabar. Tak sempat aku cakap sampai habis, dia dah kata ;


“Akhi, takpelah. Ini baru sikit je ujian Allah bagi, sedangkan kat luar sana ramai lagi yang terima ujian lagi dasyat dari ana. Allah nak tengok sejauh mana keimanan ana dan Allah sayang ana. Dia nak naikkan darjat ana. InsyaAllah, Allah akan ganti dengan lebih baik..”


Allahu Rabbi.. 

Lebih kurang macam tu la kata-kata dia. Aku terdiam dan hampir nak mengalir air mata kelakian aku, tetapi disebabkan dalam kereta dan menjaga kemachoan aku, haruslah aku mencover dengan sebaiknya sebab di dada aku tu. Woha!


Kemudian dalam minggu ni jugak, ada kecurian berlaku dalam bilik sahabat aku (ni lain pula) di kolej kediaman kami. Sahabat aku ni baru 1st year student, dia dan roommate dia kehilangan laptop. Bukan bilik dia je, depan bilik dia pun kena curi juga laptopnya. Jadi dalam sehari, 4 laptop hilang dalam masa anggaran 15 minit.


Jujurnya, sebelum ni aku tak tahu pula siapa yang kena curi. Lepas beberapa hari, barulah aku tahu rupanya sahabat aku dan roommatenya yang kena rompak, itupun roommate sahabat aku yang tanya aku, kalau pergi minta sumbangan dari Unit Kebajikan Pelajar dapat berapa ratus.

Oh! Lemahnya ukhuwah.. Istighfar. Isk isk isk


Dan lepas solat maghrib, aku jumpa sahabat aku ni, dan aku nak ucapkan takziah kepada dia. Dan apa yang dia respon,


“Takpe lah, ini ujian kecik je. Sedangkan Allah dah bagi banyak sangat nikmat. Tak terkira nikmatnya.”


Allahu Allah..

Tergamam aku dan tersenyum. Lantas aku terus solat sunat.


Sebenarnya, bukan mereka berdua je yang aku jumpa seumur hidup aku yang dapat bersabar dalam ujian yang aku rasa agak besar sebagai seorang pelajar. Ada berpuluh lagi, tapi takkan lah aku nak tulis semuanya dalam ni. Nanti aku yang tak larat nak membaca semula. Oh!


Dan aku tertanya, apa bagaimana mereka semua ini boleh SABAR dan REDHA..?



Kalau masa musim exam, pelajar yang struggle gila-gila, kemudian tak dapat jawab exam akan merasa tension dan stress teramat sangat. Sama juga macam selepas dapat result kurang baik, orang yang dah study separuh mayat akan merasakan inilah pengakhiran mereka. Mereka sudah tewas dengan teruknya.


Beberapa hari lalu, ada seorang sahabat tanya aku, bagaimana nak maafkan orang dan redha dengan kesalahan orang tu. Aku pun perasan pandai, lalu membebel padanya dalam jangka masa yang lama sampai dia insaf. Alhamdulillah.


Aku ada beberapa tips untuk sabar dan cuba redha atas sesuatu perkara. Aku dah ulang berkali-kali yang aku bukan ustaz atau pakar kauseling, jadi nasihat aku ini mungkin boleh jadi sekadar sedap mata membaca. Erk, mata boleh baca ke? Apa-apa lah.



1) Kalau tengah marah, atau di timpa musibah, atau mendengar kematian tentang orang tersayang dan apa-apalah yang memerlukan korang sabar, cepat-cepat korang ambil wudu’ dan terus solat sunat taubat 2 rakaat. Kemudian istighfar dan sujud syukur pula.


Kenapa solat sunat taubat dan kemudian sujud syukur pula?


Pertama – wuduk itu menghilangkan kemarahan. Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :

“Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seseorang kamu maka hendaklah ia berwudhuk”.
(Rujuk kitab Hadis 40 : Hadis ke 16)

Kedua – Solat sunat taubat dan bersyukur kerana kemungkinan ujian yang dihadapi tu datang kerana dosa-dosa korang. Erk, bukan korang je, terutama sekali aku. Jika Allah beri sifat penat kepada malaikat, sudah pasti malaikat pencatit dosa akan penat sambil terduduk kerana banyaknya dosa-dosa aku.

Isk Isk Isk.. (istighfar..)

Dan bersyukurlah sebab Allah masih sayang pada kita untuk hapuskan dosa-dosa kita. Kalau Allah tak nak ampunkan, nak minta ampun pada siapa?

Daripada Abu Said al-Khudri RA dan Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak menimpa seorang mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kemudian, firman Allah pula yang bermaksud :

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya”.
(Al-Baqarah: 45-46)

Firman Allah yang lain pula bermaksud :

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar“.
 (Al-Baqarah: 152-153)


2) In case jika masa tu tiada air (aku sangka baik, korang di padang pasir. Woha!), maka capailah al Quran terjemahan, dan bertadabbur lah al Quran. Bertaddabur ini maksudnya kita baca al Quran, lihat terjemahan dan kalau ada tafsir, baca sekali. Kemudian renungkan sementara tentang apa yang Allah firmankan.

 Aik, berangan boleh berjam-jam, takkan termenung untuk ayat Allah beberapa minit tak boleh?


Aku cadangkan baca :

1. Surah al Baqarah ayat 152 – 157
2. Surah ali Imran ayat 133 – 139
3. Surah At Taghabun ayat 11 – 18


Atau korang nak baca surah-surah pilihan lain, terpulang. Aku cuma cadangkan sahaja surah dan ayat tersebut. Korang bertaddabur lah dengan hati yang sabar dan tenang.


3) Tiba-tiba masa tu korang memang tak boleh solat (untuk wanita je, lelaki ada ke? Ish!), mula-mula pasti korang akan menangis. Normal lah tu, tetapi jangan menangis macam orang gila. Itu dah abnormal tu. Semasa korang menangis, maka korang cuba pandang cermin, dan renung wajah korang lama-lama sambil bisikkan


“Allah sayang pada aku.. Allah nak uji aku..Allah masih perhatikan aku. Ini tanda-tanda orang beriman.. Alhamdulillah..”


Firman Allah yang bermaksud :

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
(Surah al Ankabut : 2)

Kemudian korang carilah sahabat-sahabat baik korang yang menangis sama-sama untuk minta nasihat mereka.

Kenapa tak terus minta nasihat je tadi?

Sebab, sekurang-kurangnya korang dah ada usaha untuk tenangkan diri korang sebelum sahabat korang tenangkan diri korang. Sebab, antara ketenangan yang paling kuat mencengkam dalam diri apabila korang yang berusaha sendiri untuk menenangkan diri korang sendiri menggunakan “Power Of Will”, bukan sahabat korang. Selain membaca ayat Quran.


Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud :

“Seorang yang kuat bukanlah orang yang menang dalam bertumbuk. Akan tetapi, orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah."
HR Bukhari dan Muslim



Dan terakhir, apabila di timpa musibah, atau apa-apa jua keadaan, kalau korang berdiri, korang duduk sekejap, kalau duduk, korang baring kejap. Kalau baring? Korang berdiri balik, kemudian, korang fikir tentang masalah orang sana yang lebih besar ujiannya.

Siapa yang perlu korang fikir?

Fikirlah perjuangan dan penat lelah Nabi Muhammad s.a.w. , para sahabat r.ajmain dan mereka-mereka yang menuruti mereka itu dari semasa ke semasa hingga hari kiamat (erk, dah macam teks khutbah pula). Korang baca sirah Nabi kan? Mesti korang tahu betapa hebatnya ujian yang dilalui para sahabat dari segi fizikal, mental, psikologi, dan segala “gi” “gi” yang ada.

Kemudian, barulah korang fikir akan nasib saudara-saudara kita di Palestin, Syria, dan negara-negara yang ummat islamnya di tindas.

Kalau korang menghayati, insyaAllah korang akan merasakan bahawa ketika itu ujian yang korang lalui hanyalah secebis ujian yang sekadar berada di bawah tapak kaki kuda para sahabat r.ajmain dan hanyalah sekecil semut jika dibandingkan dengan saudara-saudara Islam kita yang di tindas, di bunuh dan di seksa.

Allahu Rabbi..


Dan seperkara lagi, korang sentiasa fikirkan yang Allah hendak menggantikan atau memberikan sesuatu yang baru dan lebih baik pada masa akan datang.

Allah tidak akan memberi apa yang aku dank orang mahu, tapi Allah memberi apa yang aku dan korang perlu.

Sesungguhnya Allah sahaja yang tahu apa yang aku dan korang perlu. Kita semua pun tak tahu.



Tapi shuk, kalau masih tak berapa berkesan?


Erk.. Kalau macam tu, aku cadangkan korang tenangkan diri, kemudian renung ke cermin semula (tak kisah laki atau perempuan), korang termenung dan kemudian korang bisikkan secara perlahan dengan ikhlas…












“Hensemnya shukery…” Woha!


p/s:  Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu datang dari kelemahan kita sendiri. (istigfar..)

Friday, 20 April 2012

Apa itu common sense..?

(Ada perkara yang kecil kita sangka tak penting, tapi perkara kecil itu la yang membuat kita jadi orang yang penting..)




Situasi A :

Suatu hari di café sebuah universiti, kelihatan orang sedang beratur untuk membayar makanan yang di ambil.

Tiba-tiba, ada seorang pelajar lelaki terus memotong barisan dan pergi ke hadapan sekali untuk bayar dahulu. Dengan slumber badak je, selepas bayar duit makanan, dia terus berlalu duduk bersama kawan-kawan dia.


Situasi B :
Di kawasan kaunter tiket KTM (Komuter), kelihatan beberapa barisan orang yang sedang beratur untuk membeli tiket di kaunter.

Tiba-tiba, datang seorang wanita datang barisan belakang pergi kepada seorang lelaki di barisan hadapan dan berkata,

“Azam(bukan nama sebenar), awak belikan tiket untuk saya sekali ye. Tiket ke TBS tau, saya penat la nak beratur panjang-panjang kat belakang tu. Takut terlepas train pulak. Belikan ye..”

Lelaki tu pun mengangguk dan ambil duit tu. Wanita tu dengan muka riang ria laksana kera yang bergembira terus berlalu pergi menunggu lelaki tadi dan komuter tersebut.


Situasi C :

Suatu hari, di sebuah kawasan pasar malam, terdapat sekumpulan aktivis Palestin sedang membuka booth lalu masing-masing berdiri di tempat berlainan untuk membuat pungutan derma.

Hampir satu jam berdiri, ramai yang menghulurkan duit. Tetapi sayang, di sebalik ramai yang menghulurkan duit, kurang yang memberikan senyuman. Apatah pula yang tidak menghulurkan duit, sedikit senyuman pun tidak di berikan kepada kumpulan aktivis Palestin ini.


Situasi D :

Di sebuah bandaraya metropolitan, terdapat seorang pakcik tua yang berjalan menggunakan tongkat hendak melintas jalan.

Tetapi sayang, boleh dikatakan hampir setengah jam berdiri di tepi jalan raya tersebut menunggu kenderaan memberikan kerjasama untuk membenarkan beliau melintas, namun tiada siapa yang simpati. Masing-masing bergegas mementingkan diri sendiri dengan pelbagai alasan yang tersendiri.

Dalam masa yang sama, di sebuah kawasan yang sesak dengan manusia, tiba-tiba ada seorang pemuda terlanggar seorang pakcik yang agak berumur. Di sangka pemuda itu meminta maaf, tapi sayang, sebaliknya berlaku, pemuda tersebut dengan nada marah berkata ;

“Wei, kau tak nampak ke? Aku nak cepat ni, nanti bos aku marah kalau aku lambat. Lain kali jalan tengok depan la.”

Malu pakcik tu di herdik di depan masyarakat sedangkan pakcik tu tahu siapa yang salah.


Situasi E :

Di sebuah kolej, seorang pelajar lelaki ingin meminjam motor kawannya untuk keluar membeli barang. Kawannya mengizinkannya menggunakan motor beliau.

Kemudian, lelaki tersebut terus membawa motor tersebut keluar dengan laju. Ditakdirkan, pelajar tersebut tersedar yang minyak motor itu hampir empty (dah nak habis), dia membawa motor tersebut dengan perlahan untuk menuju destinasinya.


Setelah balik ke kolej, pelajar tersebut memulangkan motor tersebut sambil berkata ;

“Weh, apsal ko tak cakap motor kau dah nak habis minyak. Kalau aku tau, aku pinjam motor orang lain tadi.”

Kawan dia balas ;

“Kenapa kau tak tanya. Kau isi minyak tak?”

Pelajar tu berkata ;

“Err..tak. Aku bawak slow je..”



-end-



Apa perasaan korang lepas baca situasi ni? Dan pernah berhadapan dengan situasi ni? Tapi inilah antara beberapa situasi daripada berjuta-juta situasi yang berlaku di Malaysia khususnya.


Apa nama situasi ni?

Inilah di namakan,


“COMMON SENSE”.


Masyarakat melayu Islam khususnya sekarang ni dah hilang common sense. Situasi-situasi di atas ni nampak macam simple dan tiada apa-apa, tapi sebenarnya ia memberi impak besar dalam pembentukan identiti atau akhlak seseorang.

Common sense ni apa?

Aku petik dari kata-kata ustaz Hasrizal tentang common sense,

Common sense itu jika dibahaskan dari aspek falsafah memang panjang lebar diskusi mengenainya. Tetapi cukuplah saya ringkaskan iaitu suatu PERSEPSI yang dikongsi bersama oleh kebanyakan manusia akan betulnya penilaian mereka terhadap sesuatu itu.”

 
Aku bagi situasi di atas ni sebab situasi ini yang banyak berlaku dalam masyarakat, dan pernah berlaku pada aku.


Kalau tengok situasi A dan B (situasi yang hampir sama), tak payah tengok di kantin sekolah atau tempat lain, tengok je di cafeteria universiti, ada je situasi ni berlaku.


Sebab apa?


Takde common sense. Hanya fikirkan diri sendiri. Kita dah kurang berfikir tentang perasaan masyarakat setempat, apatah pula berfikir tentang ummah hari ini. Oh!


Andai kita berada di situasi B dan berada di tempat Azam, sejauh mana kita berani menyatakan begini ;


Eh, maaflah. Kau beratur je la. Kau tengok orang kat belakang aku ni pun penat jugak beratur, takde la potong barisan..


Sejauh mana kita mampu menyatakan begini andai kata wanita itu adalah kawan kita? Persoalan untuk diri sendiri.

Kalau kita berada di pasar malam dan berhadapan situasi C, dan masa tu pula kita takde duit untuk hulurkan derma, sejauh mana kita sanggup lalu di hadapan mereka dan memberikan hanya sekuntum senyuman ikhlas kepada mereka sebagai semangat dan penghargaan untuk mereka yang telah mengorbankan sebahagian masa mereka untuk ummah..??

Kalau kita nampak orang tua nak melintas jalan, kita sanggup tak datang kepada pakcik tu, dan bantu dia untuk melintas?
Atau kita duduk melihat dan pergi? Tak payah jauh-jauh, kalau kita ke masjid dan masa nak balik tu, kita nampak pakcik tua berjalan sorang-sorang keluar masjid, sejauh mana kita datang kepada pakcik tu dan kata,

“pakcik, nak saya tolong tak..?”

Oh! Sesungguhnya common sense dan akhlak aku masih rendah lagi. (istighfar).

Dan kalau kita terlanggar orang, pernah tak terkeluar dari mulut kita perkataan,

“minta maaf”?

Atau keluar perkataan,

“what the..”?


Tepuk dada tanya akhlak.

Korang biasa pinjam motor tak? Jangan tanya aku, sebab aku peminjam tegar motor orang. Woha! Tapi insyaAllah aku dah tak pinjam lagi lepas ni.

Kalau korang pinjam, lepas pinjam tu korang isi minyak tak motor tu walaupun minyak di motor tu melebihi setengah meter?

Kalau korang ada common sense dan akhlak yang tinggi, korang akan isi minyak motor tu sampai penuh meskipun motor tu minyak dia dah nak penuh, apatah lagi minyak yang dah nak habis.

Kalau tanya aku, aku buat ke tak, aku hanya mampu istighfar dengan kelemahan diri aku. Isk isk isk.

Ada macam-macam lagi contoh yang menjadi indikasi atau penunjuk yang common sense kebanyakkan masyarakat Malaysia terutama orang Melayu yang MUSLIM dah semakin merosot, akhlak apatah lagi.


Contoh;


1. Sejauh mana kita menundukkan badan kebawah sebagai tanda penghormatan semasa lalu di hadapan orang yang lebih tua dari kita hatta ibu bapa sendiri?

2. Sejauh mana kita menjaga adab ketika berdebat atau berhujah dengan orang yang berbeza fikrah, pendapat dan pandangan dengan kita? Sejauh mana kita berlapang dada?

3. Sejauh mana kita menjaga adab apabila kita berbahas dengan orang yang berbeza pandangan politik dengan kita?

4. Sejauh mana kita sentiasa mengucapkan terima kasih kepada orang semasa urusan jual beli, mendapat bantuan menyelesaikan tugas kita dan lain-lain?

5. Sejauh mana kita memberikan sekuntum senyuman ikhlas kepada peminta sedekah di jalanan meskipun kita tak mampu atau tak memberi sedekah kepada dia?

6. Sejauh mana kalau kita menyertai atau menganjurkan demonstrasi, kita menunjukkan akhlak yang baik tanpa memaki, mencerca orang lain dengan menggunakan poster, banner, laungan dan lain-lain?

7. Sejauh mana kita merendahkan ego kita untuk meminta maaf meskipun kepada orang yang lebih muda dari kita apabila kita tahu kita bersalah?

8. Sejauh mana kita alert dan melakukan tindakan sebagai seorang muslim jika rasuah, penipuan, judi, arak dan lain-lain yang diharamkan Allah dan Rasul-Nya berlaku di depan mata kita?

9. Sejauh mana bila kita hendak pergi ke masjid, kemudian kita nampak orang berjalan kaki hendak ke masjid jugak, kemudian kita menumpangkan dia?(untuk lelaki). Itu belum masuk kes pulang dari masjid.

10. Sejauh mana jika kita jumpa cikgu sekolah ataupun pensyarah, kemudian kita menegur lalu memberi salam meskipun kita tak kenal?



Sejauh mana..??? Atau kita buat tak tahu je dengan dunia kita sendiri?


Itu belum lagi perkara sunnah yang kena buat walaupun aku sebut satu je tadi. Dan mungkin korang boleh baca artikel ustaz Hasrizal yang aku link kan atas tu mengenai kehilangan common sense masyarakat hari ni.


Antaranya memberi salam kepada sesama muslim meskipun kita tak kenal, mendoakan kesejahteraan orang, menziarahi sahabat-sahabat lama, menziarahi orang sakit dan sahabat yang meninggal dunia, atau lain-lain.



Mana hilang common sense kita?


Common sense ini takde belajar dalam dewan kuliah, ia hadir dalam diri sekiranya kita ada AKHLAK ISLAMIYYAH, kalau dalam diri kita penuh dengan AKHLAK JAHILIYYAH, bermakna common sense pun takde.

Akhlak terpuji atau akhlak islamiyyah ini terpenting yang melambangkan jati diri seorang manusia yang beriman. Ia ibarat identification card (IC) kepada seorang Muslim.


Macam mana nak 'kembalikan' semula common sense kita?


Aku bukanlah pakar motivasi, professor, apatah lagi ustaz atau kiai. Cuma ini pendapat aku dan kita sama-sama usaha.

Banyak cara, tapi cara yang paling penting, iaitu mahu tak mahu kita mesti hidupkan balik AKHLAK ISLAMIYYAH yang kita rendam dalam diri kita. Keluarkan dan tunjukkan kepada masyarakat khasnya.

Lepas tu, perkara asas pertama kena buat, banyakkan senyum meskipun kepada orang yang korang benci dan yang benci korang.

Kemudian, barulah hidupkan semula adab, akhlak dan common sense yang dah mati dalam diri korang tu. Kalau dah ada, kemaskini balik.



tasbih kafarah.



p/s : Erk, nota-nota aku selepas ni ada yang mungkin akan di buat dengan ayat-ayat yang agak skema. Tapi yang penting, aku bukan skema!

Saturday, 14 April 2012

Bagaimana nak berubah..??

(Aku nak tanya, siapa yang tahu tarikh kematian diri sendiri..?)





“Aku nak berubah, tapi aku tunggu datang seru..”

“Ala..rilek la, masih muda lagi. Tunggu tua nanti baru taubat..”

 “Ala..enjoy-enjoy dulu.. lepas kahwin baru berubah..”

“Aku takde kekuatan la nak berubah..”

“Aku masih belum bersedia untuk berubah..”

“Iman aku masih lemah lagi..”

“Aku nak berubah..tapi takut nanti takde siapa nak kawan dengan aku..”

“Nak berubah? Skema la lu bro.. sekarang zaman moden la, apa barang nak jadi orang kampung..”

“Digi, masa untuk berubah.. woha!”



Biasa dengar irama ayat-ayat macam ni..?


Mungkin ramai yang di sekeliling kita nak berubah daripada yang buruk ke yang baik, dan yang baik nak ke lebih baik. Tapi macam-macam halangan setiap kali nak berubah atau berhijrah tu.

Aku akui, aku dulu pernah jugak terjebak lalu terbabas dalam dunia jahiliyyah. Macam mana ceritanya, tak perlu lah tahu.

Tapi Alhamdulillah, Allah tu maha Penyayang, Allah gerakkan sedikit hati aku untuk berubah. Ketika itu aku ada pilihan sama ada nak terus tetap berada dengan cara aku, atau terus berubah. Dan aku tekad untuk berubah sehinggalah jadi seperti aku hari ini.

Tapi sepanjang perjalanan tu, macam-macam perkara aku jumpa dan hadapi. Di pulau, di jauhkan, di kritik, di hina, di gelakkan, di “kampung”kan, dan macam-macam la. Tapi aku yakin, itulah ujian. Sebab Allah ada berfirman dalam Quran yang bermaksud,


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah Al-Ankabut : 2)


Dan sejak kebelakangan ni, aku nampak dengan kedua biji mata aku sendiri ramai sahabat-sahabat aku atau artis yang sebelum ni boleh dikatakan dalam lembah kejahilan, sekarang dah hebat dalam memberi tazkirah (peringatan) dan teguran.


Yang perempuannya,

sebelum ini “free hair”, dah bertudung,

yang pakai tudung biasa-biasa, dah pakai tudung labuh,

Yang pakai baju ketat-ketat macam sarung nangka, dah pakai baju longgar dan labuh,

Yang tak pakai stokin, dah rajin pakai stokin,

Yang sebelum ni kaki dating dengan pakwe (read : teman lelaki/boyfriend) hampir setiap hari, dah clash dan nak berkahwin dengan lelaki yang lebih baik,

Yang malas dengar cermah agama, mula rajin untuk pergi masjid, kuliah subuh, etc,

Dan macam-macam perubahan la yang aku nampak dengan mata aku sendiri.


Yang lelakinya pula,

Sebelum ini kaki mengurat awek, dah jadi kaki masjid,

Yang mulutnya sentiasa merokok sana sini, kini mulutnya sentiasa berzikir sana sini,

Yang dulunya suka mencarut, mengutuk dan memerli, kini suka bertanya hal agama, menasihat dan cakap elok-elok,

Yang selalu suka keluar malam, sekarang dah selalu suka bangun malam untuk tahajjud,

Yang sebelum ni suka solat kat bilik lepas tu solat lambat, sekarang suka solat kat masjid/surau dan solat awal waktu,

Dan macam-macam perubahan juga yang aku nampak.


Tapi..

Ada juga yang aku jumpa sebelum baik, sopan, rajin ke masjid/surau, bertudung dan macam-macam la, tetapi dah berubah ke arah yang buruk macam dah berani “free hair”, pakai seksi, sopan semua tu dah hilang ke mana tah. Oh! (istighfar..)


Sebelum ni, aku ada “interview” dua orang sahabat aku yang baru je berubah, seorang lelaki dan seorang lagi confirm perempuan (identiti mereka dirahsiakan).


Yang lelakinya kata,

Sebelum dia berubah, dia selalu keluar malam untuk melepak-lepak dan balik hampir pagi, merokok, hampir selalu main daun terup, lengahkan solat, dan macam-macam lagi la.

Tapi suatu hari tiba-tiba dia terdetik untuk berubah. Walaupun pada mulanya agak berat nak berubah, tapi kerana dia berfikir,

kalau aku tak berubah hari ini, bila lagi nak berubah..?”

Sejak tu, dia terus berhenti rokok, rajin ke surau, tak keluar malam lagi dan lain-lain.


Yang perempuannya pula,

Sebelum dia berubah, dia ada pakwe dan banyak kali gak keluar dating, tudung pun biasa-biasa je, kadang-kadang pakai tudung lengan pendek, dan macam-macam lagi la.

Tapi hidayah Allah tu datang tanpa di sangka melalui jalan yang tak disangka juga,

Suatu hari dia clash dengan pakwenya waktu final exam untuk semester tu. Tapi sebelum tu, dia berkawan dengan kawan-kawan yang sopan, bertudung labuh dan berilmu. Lepas kejadian tragis tu, dia mula tekad untuk berubah dan nak jadi macam kawan-kawan dia, pakai tudung labuh, sopan.



Lebih kurang macam ni la cerita 2 orang daripada berpuluh-puluh sahabat aku yang dah berubah atau berhijrah.


Macam mana nak berubah..?


Ha, banyak kali juga aku dengar aduan dari sahabat-sahabat, junior atau orang sekeliling aku yang nak berubah, tapi tak tahu macam mana.

Disebabkan aku bukan ustaz mahupun penceramah motivasi, aku hanya mampu bagi cadangan berdasarkan pengalaman sendiri dan cerita sahabat-sahabat aku.


1) Jangan cakap “tunggu datang seru!”, sebab 5 kali sehari Allah menyeru kita melalui muazzin iaitu azan yang berkumandang di surau dan masjid sebelum kita diseru untuk masuk kubur menjadi mayat.

2) Tekad kan niat untuk berubah. Jangan cakap “ aku tak bersedia lagi..” atau sekutu dengannya, sebab ia akan buat syaitan melengahkan lagi masa kau untuk bertaubat. Ibarat kata sahabat aku,

“Kalau tak berubah hari ini, bila lagi..?”

Takkan dah jadi mayat baru nak bertaubat?

3) Jangan tunggu tua atau lepas kahwin, korang boleh jamin ke korang boleh hidup sampai hari esok?

4) Kalau dah tekad untuk berubah, pergi ambil wudu’ dan solat sunat taubat 2 rakaat. Lepas tu, istighfar sebanyak mana yang korang mampu, dan berdoa sampai menangis supaya Allah beri kekuatan untuk maintain atau istiqomah dalam perubahan korang.

5) Cuba korang fahami makna tujuan korang hidup di dunia ni. Aku rasa, korang semua tau sebab apa kita dijadikan di dunia ni, iaitu untuk jadi khalifah (rujuk surah al Baqarah 2:30), dan untuk beribadah kepada Allah (rujuk surah Ad-dzariyyat 51:56). Bila korang memahami apa tujuan korang diciptakan, insyaAllah Allah akan beri korang kebaikan iaitu seperti Rasulullah s.a.w. bersabda ;

“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikkan padanya, Dia (Allah) memberi kefahaman dalam Ad-din”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

6) Cari kawan-kawan yang rajin ke masjid, yang boleh nasihat, yang warak, baik atau apa-apa yang satu geng dengannya. Then kawan-kawan yang lagho tu macam mana? Nasihat aku, jangan tinggalkan mereka. Kalau korang dah berubah dan yakin boleh maintain, maka bantulah mereka pula untuk berubah. Ingat, kawan ini memainkan peranan penting dalam perubahan kita. Kalau korang nak berubah, tapi masih kawan dengan yang masih tak sedar, nanti takut korang kena kutuk atau kritik, lepas tu korang pun tak jadi nak berubah.



7) Kalau lelaki, rajinkan pergi masjid, dengar ceramah atau tazkirah dan program yang boleh menaikkan iman dan menginsafkan diri korang. Bergaul dengan kawan yang cintakan agama dan ummah.

8) Kalau perempuan, rajinkan untuk pergi cermah atau kuliah agama dan program yang boleh menaikkan iman dan menginsafkan diri korang. Cari kawan-kawan yang sama-sama nak berubah dan yang dah berubah, mungkin tak keterlaluan kalau aku kata cari kawan yang bertudung labuh. Kalau keterlaluan, korang nilailah sendiri.

9) Cari kumpulan yang berbincang tentang agama atau nama lainnya usrah, sebab usrah ini pendokong perubahan seseorang.

10) Jangan malu dengan perubahan yang korang buat, walaupun korang mungkin akan di cela atau di ejek oleh kawan lama korang. Benda biasa je tu kalau nak berubah, sebab orang yang di hina dan cerca kerana nak berubah untuk dekat kepada Allah, orang itulah yang akan di naikkan darjatnya di sisi Allah. Dengan erti kata lain, jangan risau, walaupun seluruh dunia tak nak bersama dengan korang, Allah pasti bersama korang.

11) Ini perkara yang pasti berlaku, iaitu korang pasti akan di uji. Macam mana bentuk ujian tu, Allah sahaja yang tau. Jangan tanya aku, setiap orang ujiannya berbeza-beza berdasarkan kadar kemampuan seseorang tu. Maka, nasihat aku, bersedialah dengan ujian tersebut, sebab ia nak naikkan iman korang. Macam peperiksaan la.

12) Yang terakhir sekali, korang kena faham bahawa Islam bukan sahaja mahu melahirkan muslim yang SOLEH (baik), tetapi jugak muslim yang MUSLEH(mengajak kebaikkan).
(surah al hujurat)
(surah ali Imran)

suara sumbang , “Kenapa nak ajak orang kepada kebaikan pulak?”

Korang nak masuk syurga sorang-sorang je ke?



Ada banyak lagi cara untuk berubah, korang boleh rujuk ustaz atau ustazah yang ada di sekeliling korang. Mereka semua boleh bantu korang insyaAllah, tetapi semuanya bermula dari 1 perkara, iaitu


KEMAHUAN, BUKAN PENGETAHUAN.


Semua orang tahu yang syurga hanyalah untuk orang yang baik dan neraka untuk mereka yang sebaliknya, tetapi tidak semua mahu membuat tindakan untuk berubah.

Aku nak petik sebuah kata-kata dari ibnu ‘Athaillah dalam kitab al-Hikam,

"Apabila Tuhan membukakan bagi kamu satu jalan untuk ma'rifat (mengenal pada-Nya), maka jangan menghiraukan soal amal kamu yang masih sedikit, sebab Tuhan tidak akan membukakan bagi kamu, melainkan DIA akan memperkenalkan diri kepada kamu. Tidakkah engkau mengeti bahawa ma'rifat itu semata-mata pemberian kurnia Allah kepada kamu, sedang amal perbuatan kamu hadiah daripada kamu. Maka di manakah letak perbandingannya anara hadiah kamu dengan pemberian kurniaan Allah kepada kamu?"


Ibnu 'Ataillah fi syarah al-hikam al-'ataiyyah, m/s. 118.


Last but not least, maut akan datang bila-bila masa je, dengan erti kata lain, setiap langkahan kaki korang adalah LANGKAHAN MAUT. Anda tak mampu mengubahnya.



Tasbih kafarah

Thursday, 5 April 2012

Spring-Pesanan Buat Kekasih (versi islamik – taubat)

(Disebabkan aku mencari mood untuk study pagi2 ni, aku dengar lagu spring dan tiba2 dapat ilham nak modified lagu sebelum aku study. Hehe )



Mari kita baca lirik dan dengar lagu asal dulu.


( Nota : untuk lelaki - tak perlu nyanyi kalau rasa suara masih under construction
Dan untuk perempuan – tak payah mengada nak menyanyi kalau ada lelaki bukan ajnabi)


(opening sound track – buka sendiri di mp3 anda masing2. Kalau takde, tak perlu download. Tak bertambah iman pun. Woha!)


Sewaktu kau melangkah
Meninggalkan diriku
Sebaknya rasa di dalam dadaku
Menahan titis air mata

Ingin aku berpesan
Kepadamu kekasih
Sekiranya engkau merinduiku
Hubungilah aku di sini

Jika ada kesilapanku
Maafkanlah diriku oh sayang
Dan izinkan aku bertanya
Mengapa kau berubah hati

Kiranya kau ada penggantiku
Tetapi hidupmu tak bahagia
Relaku memaafkanmu
Dan menerimamu sayang

Walaupun hatiku kau lukai
Namunku masih menyayangi
Kerana sehingga waktu ini
Cintaku masih untukmu

Oh sayang di mana kau berada
Janganlah kau lupakan aku
Ingatlah aku walau sesaat
Seorang insan yang terluka

Ingin aku berpesan
Kepada mu kekasih
Kiranya engkau resah dan tak lena
Itulah hembusan rindu ku



Ok best?


Mari kita dengar dan hayati sama2 versi islamik punya pagi-pagi ni.


(opening sound track – tiada dalam mana2 album di pasaran. Kalau google pun tak kan jumpa. So, baca je la sambil dengar lagu minus 1)



Sewaktu ku tersedar..
Daripada dosaku..
Sebaknya rasa di dalam dadaku..
Mengalir titis air mata..

Terus aku berdoa..
Kepadamu Ya Allah..
Jangalah Engkau terus menghukumku,
Terimalah taubatku ini..

Ketika aku berbuat dosa,
Ampunilah diriku ya Allah,
Dan izinkan aku bertaubat,
Untuk aku berubah hati,

Kiranya Kau terima taubatku,
Lindungilah diriku ya Allah,
Relaku untuk berhijrah,
Hanya kerana-Mu Allah..

Walaupun ku buat dosa lagi,
Namun Kau masih mengampuni,
Kerna keampunan-Mu yang luas,
Sehingga tibanya Kiamat,

Walau dimana pun ku berada,
Janganlah Kau tinggalkan aku,
Kerna siapalah diri aku,
Tanpa-Mu, wahai penciptaku..

Ingin aku berpesan
Kepada bakal mayat,
Kiranya engkau resah dan gelisah,
bertaubatlah sebelum lambat..


Woha!
 


p/s : ok sambung study. Oh!

Sunday, 1 April 2012

Pesanan untuk bekas/sedang pelajar sekolah menengah agama (SMA), Maahad, DQ dan sewaktu dengannya..?

(Sesungguhnya aku bukan ustaz, bukan kiai, bukan sesiapa pun, aku hanyalah seorang muslim yang baru nak faham hidup sebagai seorang muslim dan tercari-cari hakikat kehidupan ni…)




Pesanan yang aku nak sampaikan ni bukan bermaksud aku ini alim atau standard ustaz. Serius, aku memang tak pandai, cap ayam je. Apatah lagi nak setanding dengan korang. 

Aku pesan sebab aku sayang pada korang kerana Allah, dan sebelum aku pesan untuk korang, mari aku sampaikan sebuah cerita realiti yang ringkas dan padat kepada korang tentang seorang manusia yang bernama Amat (bukan nama sebenar). Ini bukan cerita novel yang aku reka atau hikayat sang kancil dengan buaya!


(nota : cerita ni bukan aku nak minta simpati daripada korang kepada dia, tapi aku harap korang boleh muhasabah diri. Aku cuma sampaikan je)

  

---------------------------------------------------------

Beginning of the story..



Alkisah ada seorang manusia yang bernama amat, lahir dalam keluarga yang sederhana biasa, tak kira dari sudut harta ataupun didikan agama. Dia seorang anak tunggal, ayah dan ibunya bercerai masa dia kecil lagi. Dalam lingkungan umur 2,3 tahun gitu la. Jadi dia tinggal dengan ibunya, datuk dan nenek serta pakciknya.


Amat membesar dengan kasih sayang ibu dia dan keluarga belah ibu dia je, tapi dia kekurangan kasih sayang seorang ayah. Dengan takde adik beradik lagi, dia membesar dengan keseorangan (tapi takde la forever alone). Antara cerita dia yang paling buat aku agak sedih, bila dia pergi kedai makan dan kalau dia nampak satu family yang ada ibu, ayah dan anak-anak mereka makan, dia akan menangis dan tertanya pada diri dia,


“kenapa aku takde? Kenapa aku takde ayah? Kenapa aku takde akak? Kenapa aku takde adik? Kenapa aku takde abang? Kenapa tak adil!”


Antara hobi dia yang paling dia selalu buat adalah cakap sorang-sorang. Looks funny right? Tetapi cuba korang ada di tempat dia, bercakap sorang-sorang tu la antara aktiviti yang sangat best. Kalau korang ada adik beradik, aku rasa korang tak rasa ia best punya.


Bila dia dalam lingkungan darjah 3, dia pindah ke bandar dengan ibu dia dan ayah tirinya (ibu dia kahwin baru masa dia penghujung darjah 2). Dia bagitau, dia mula-mula sangat tak suka ayah tiri dia.

Sebab apa? Sebabnya dia kata, dia dulu terpengaruh dengan cerita kat tv yang ayah tiri atau yang ada “tiri” ni semuanya jahat.


(iklan : pengaruh TV ni kuat kepada budak-budak kecil terutamanya. Awasi anak-anak anda! Woha!)


Sebelum ni dia tinggal di kawasan kampung, maka bila pindah ke bandar jadi culture shock. Dia mula bergaul dengan budak-budak nakal. Antaranya ada yang kaki smoker, minum arak, malah ada yang hisap ganja. Tapi syukur Alhamdulillah, Allah sayang kat dia ni, dia tak pernah sentuh semua tu kecuali rokok, itupun dia kata sekali sedut je, sebab dia tak tahan dengan asap rokok.


Tetapi yang sedihnya dia kata, agama dia tak amal langsung. Yela, dah la suasana agama takde, dengan kawan-kawan yang tak tentu arah, dia pun jadi tak tentu arah. Solat tinggal macam tu je, bulan ramadhan banyak lompong (baca : tak puasa), dosa dan maksiat tu dah jadi lali.


Benda tu berlarutan sampai lebih kurang tingkatan 2. Masa tu dia kata klimaks yang mana dia di buang sekolah atas beberapa sebab. Masa tu jugak la dia mula di pulaukan, dan dah memburukkan nama keluarga dia especially ibu dia. Masa tu jugak, tak berapa lama tu ayah tiri dia meninggal dunia. Adakah dia sedih? Dia kata dia takde perasaan langsung masa tu. Mungkin sebab hati dah gelap, 
 segelap waktu malam. Oh!



Selepas 2 peristiwa tu, dia dan ibu dia pindah semula kat kampung dan Alhamdulillah dia dapat sambung semula belajar kat sekolah menengah berdekatan tempat dia. Sejak dari peristiwa tu, dia mula berazam untuk ubah kehidupan dia yang serba tak kena tu. Itupun selepas berlaku 2 peristiwa yang mana Allah beri hidayah pada dia melalui 2 peristiwa tu untuk dia berubah.
So masa tingkatan 3 tu, dia baru belajar semula untuk solat balik selepas lama di tinggalkan, masa tu baru nak lancarkan semula bacaan Quran, baru nak mencari buku-buku agama.


Tetapi nak berubah bukan semudah tu. Di kampung dia, situasi atau perangai budak-budak kat sana sebahagiannya lebih kurang je macam masa dia di bandar dulu. Still ada yang smoker, drunker, mat rempit, bohsia, bojan, penagih dan macam-macam la.

Pelajar sekolah pulak tu, bukan orang dewasa. Masa tu dia nak cari kawan-kawan yang cintakan agama, yang selalu ke masjid sukar sangat. Ada tu memang ada, tapi berapa kerat sangat la. Itupun sekadar sahabat yang rajin ke masjid je, masih tak jumpa sahabat yang mewakafkan diri mereka untuk agama dan jalan dakwah ni. Tapi itupun dia kata masih tak ke masjid lagi, pergi masjid masa solat jumaat je.


Selepas SPM, Alhamdulillah dia kata dapat la keputusan yang agak cemerlang, dan terpilih masuk ke matrikulasi. Sebelum tu, begitu banyak cabaran yang dia hadapi untuk berubah dan belajar ilmu-ilmu agama. Dia selalu di kritik dan perli oleh kawan-kawan dan macam-macam la.


Masa dia di matrikulasi, Alhamdulillah, makin banyak dia belajar. Dan dia mula rajin untuk ke masjid apabila semester dua. Masa semester dua tu jugak, dia baru join usrah di sana. Itupun lebih kepada halaqah kerana bilangannya lebih dari 10 orang. Masa tu dia kata, barulah dia sedar ilmu dia terlalu cetek. Basic agama pun lemah. Dalam halaqah tu, ada sahabat-sahabat dia yang guna terms arab, ada quote ayat Quran, hadis, hukama dan macam-macam. Dia kata, rasa macam baru nak mengenal islam masa tu.


Dan Alhamdulillah, di matric ni jugak dia jumpa dengan sahabat rajin ke masjid, selalu bagi nasihat. Tak lama selepas habis matrikulasi, Alhamdulillah dia terpilih masuk ke sebuah university, dan masa tulah baru dia jumpa dengan ramai sahabat-sahabat yang rela wakafkan diri mereka untuk agama dan jalan dakwah. Di university tersebut la baru dia ada usrah mingguan tersendiri, ada halaqah sendiri, ada biah solehah (suasana agama) yang dia cari.


(iklan : doakan semoga dia, aku dan korang sentiasa istiqomah dalam jalan dakwah ni. Amin..)





End of story


----------------------------------------------



Sepanjang aku berada di UKM ni, Alhamdulillah aku dah jumpa pelbagai ragam manusia dari pelbagai pelusuk negeri, dan ada manusia yang aku tak sangka dia begitu walaupun background dia begitu.


Tapi kat sini aku nak fokuskan kepada yang pernah dapat didikan agama seperti di sekolah menengah agama (SMA), Maahad Tahfiz, Darul Quran, Sekolah Arab, Kelas aliran agama (KAA), atau apa-apa pengajian yang berteraskan agama. Berdasarkan yang aku jumpa, golongan yang ada basic tarbiyyah dan basic agama ini, terpecah kepada dua golongan lagi :


(nota : ini pemerhatian aku, kalau maaf sila bagitau)

1) Golongan yang kalau korang jumpa mereka ni, korang tak kan sangka mereka ini bekas budak sekolah agama.


2) Golongan yang kalau korang jumpa mereka ni, dari jauh pun korang confirm dapat cam yang mereka ni bekas budak sekolah agama.



Maka,

pesanan aku untuk golongan yang pertama ;



Kalau korang perasan atau tidak, sebenarnya korang bawak “logo agama”,
Apa tu “logo agama”?


Bila orang tahu korang ni berasal dari sekolah agama, orang akan pandang tinggi pada korang. Orang akan melihat korang sebagai “bench marking” kepada mereka (termasuk aku). Dengan erti kata lain, mereka tsiqah kepada korang. Tetapi kalau korang tak amal dan sampaikan apa yang korang perolehi sepanjang sekolah agama tu, silap-silap korang boleh jadi fitnah untuk agama.


So, logo agama ini perlu dimanifestasikan atau diterjemahkan dengan akhlak dan tingkah laku korang. Orang takkan tengok result korang dapat apa, mumtaz ke, jayyid jiddan kea tau apa-apa la. Tapi orang tengok AKHLAK korang. Orang tengok TINDAK TANDUK korang.


Kalau korang tunjukkan akhlak dan tindak tanduk yang sama seperti kami yang tak pernah mendapat didikan agama yang banyak atau tak sepatutnya dilakukan oleh orang-orang yang pernah bersekolah agama, pernah merasakan manisnya titisan tarbiyyah, pernah mengetahui bahawa kerja dakwah adalah kerja semua umat islam, yang pernah berfikir atas ummah ini, macam mana kami nak faham agama ni??


Sampai bila kami nak faham?? Adakah tunggu kami kena bala, atau tunggu kami dah sesat, atau tunggu kami dah buat maksiat sampai lali, baru korang nak sampaikan ilmu agama, nasihat para asatizah korang kepada kami??


Kami bukan tak nak faham agama, kerana agama itu FITRAH, kami nak fahami, TETAPI takde orang yang BANTU, AJAR dan DAKWAH kepada kami.


Ye kami tahu kerja dakwah bukan kerja para asatizah atau pelajar-pelajar agama sahaja, ia kerja semua umat islam, tetapi bagaimana kami nak faham, bagaimana kami nak apply sekiranya antum semua tak ajar kami, Tak beritahu kami.


Ikhwah wa akhawat, aku sangat hormati korang, kami yang tak pernah sekolah agama, tak pernah belajar Quran dan sunnah, tak pernah belajar bahasa arab tinggi, tak pernah rasa biah solehah ni, tak pernah rasa amal islami, nak sangat agar korang tunjuk ajar, dakwah, didik kepada kami.



Tolonglah.. Jangan tinggalkan background atau logo agama yang telah sedia ada pada korang..


Ye aku tahu, korang bukan malaikat. Sebab korang bukan malaikatlah aku pesan pada korang.


Janganlah sampai Allah kunci hati-hati korang dengan ilmu agama yang korang ada.


Firman Allah yang bermaksud :

“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”
[al-Jaathiyah 45: 23]


Kalau korang lihat sekeliling korang, sangat ramai yang dahagakan agama. Serius, sangat ramai. Kalau korang tinggal di kawasan aku (di felda), korang akan rasa sedih sangat. Tapi kalau korang takde perasaan, muhasabah diri.


Tolong lah, janganlah malu dengan logo agama yang ada pada korang. Izzah kan logo agama tu. Tolonglah jadi contoh untuk kami, supaya kami dapat muhasabah diri kami.



Pesanan aku untuk golongan kedua ;


Alhamdulillah, korang tetap meneruskan momentum tarbiyyah yang korang perolehi sejak dari zaman persekolahan dan sebelum ini. Teruskan momentum tu dan teruskan berdakwah serta mewakafkan diri untuk agama serta ummah ini.


Cumanya, aku terjumpa segelintir dari korang yang mungkin (aku sangka baik), tak sedar akan tindakan dia, lalu mencerca, mengutuk, mengumpat atau memandang rendah kepada segolongan dari pelajar-pelajar yang masih tak faham agama.


Ikhwah wa akhwat fillah sekalian, mereka dan kami ada yang tak faham islam, walaupun mata kami celik, tapi kadangkala tika hati kami gelap, kami tak tau apa yang dah buat. Kami tak sedar pun apa yang kami buat itu berdosa. Serius.



Tolonglah, tolong tegur, nasihat dan pesan kepada kami dengan baik, bukan cara memerli, bukan cara mengumpat ataupun sebagainya. Korang dah bawa logo agama dan korang telah terjemahkan dengan tindak tanduk korang. Maka, terjemahkan la sebaiknya, jangan sekadar terjemahkan macam google translate terjemah bahasa melayu kepada inggeris. Tunggang langgang terbalik terbongkang.


Tolong lah…




Last but not least, aku tahu ada yang tersinggung jika baca nota aku ini. Tapi percayalah, aku takde niat nak kutuk korang, apatah lagi nak benci korang. Korang antara orang-orang yang telah Allah naikkan darjat dengan ilmu agama. Maka, jangan tinggalkan kami yang masih kekurangan ilmu agama ini.


Firman Allah yang bermaksud:


"Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan pengetahuan dengan kelebihan beberapa darjat."  (Surah al-Mujadalah, ayat 11)


Jagalah ilmu yang korang ada serta amalkan lah apa yang korang ada juga sampaikan apa yang korang ada kepada ummah.

Ingat, di akhirat nanti korang akan ditanya tentang ilmu yang korang pelajari. Sejauh mana korang amalkan dan sampaikan.


Masih banyak lagi golongan seperti Amat tu sedang tercari-cari makna dan hakikat sebuah kehidupan muslim ni.

Carilah golongan ini, dan bantu serta bimbinglah mereka dengan ilmu yang korang ada. Sesungguhnya mereka dan aku sangat perlukan dan dahagakan ilmu agama serta nasihat para asatizah yang ada pada korang.
Nanti yang dapat pahala pun korang jugakkan??



I rest my case.


Tasbih kafarah.

p/s: Kalau aku salah dalam nota ini, tolong bagitahu aku.. tolonglah!! (hilang suara sebab ashik menjerit)