Don't judge a blog by its followers

Tuesday, 25 September 2012

Menyesal, bertaubat, kemudian ulang semula dosa?





Dulu ketika saya kecil, saya seorang budak yang sangat nakal. Kalau nakal yang biasa-biasa, tidak apa lah jua, namun nakal yang “luar biasa”. Apa yang saya buat, biarlah antara saya dengan Allah. Perkara itu berlarutan sehingga saya menghampiri Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Saya mula menyedari kesilapan dan kesalahan saya, saya menyesal teramat sangat. Saya rasa sedih dan malu dengan diri saya.

Namun , kedegilan saya tidak lah berjaya saya bersihkan seratus peratus (100%). Adakala dosa yang sama juga saya sering ulang, ulang dan terus ulang lagi. Ibarat movie di pawagam yang di ulang tayang semula di siaran televisyen. Kadang-kadang selepas saya melakukan dosa tersebut, saya rasa menyesal teramat sangat. Tetapi selepas beberapa hari, saya ulangi dosa tersebut. Saya malu dengan diri saya. Saya takut sangat jika saya mati semasa saya melakukan dosa . Dan apa yang paling saya takut, saya takut sangat jika Allah tidak terima taubat saya kerana saya kerap mengulangi kesalahan dan dosa yang sama.

Saya tahu salah, tetapi saya buat juga. Lepas buat, saya bertaubat. Selepas itu, saya buat lagi. Saya rasa seolah-olah saya bermain-main dalam taubat. Selepas memasuki matrikulasi, saya mula rajin untuk pergi ke masjid. Saya mula rajinkan diri mendengar ceramah-ceramah agama. Saya rajinkan diri saya untuk membaca buku-buku agama.

Alhamdulillah, saya mula mendekati agama Islam walaupun saya dah lama bergelar orang Islam. Saya bersyukur sangat apabila saya mengetahui bahawa Allah akan sentiasa menerima taubat hamba-Nya walau siapa pun dia, dosa apa yang di buat, keluarga apa pun dia, dan sekiranya seorang hamba mahu kembali kepada-Nya, maka tiada halangan untuknya kembali.

Firman Allah s.w.t.,



Terjemahan :

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), jangalah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Az Zumar  39 : 53)


Allahu Rabbi. Allah akan tetap ampunkan kita walaupun kita di hina orang, walaupun orang cakap,

“Orang macam kau ni tak layak di ampunkan Allah.”
“Kau ni memang Tuhan tak ampun dosa kau.”
“Kau ni memang ahli neraka gamaknya.”
“Perangan kau macam syaitan dan iblis, mana Allah nak ampunkan kau.”

yakin lah bahawa Allah tetap akan ampunkan kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :


“Apabila seseorang berkata : “Binasalah manusia”, maka dialah yang akan binasa.”

(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.anhu)

Saya ada mendengar sebuah kisah di mana suatu hari Ma’iz bin Malik datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata kepada Rasulullah,

“Aku berzina wahai Rasulullah, bersihkan aku.”

Tetapi apa Rasulullah buat?

Rasulullah tidak melihat dia, bahkan Rasulullah pusing. Baginda bagi isyarat yang menyuruh Ma’iz pergi. Tetapi Ma’iz tetap berkata ;

“Aku berzina ya Rasulullah, bersihkan aku.”

Rasulullah cuba memberi pengecualian kepada beliau, baginda berkata,

“Boleh jadi kau cium, Ma’iz. Boleh jadi kau raba raba sahaja. ”

Ma’iz berkata,

“Aku berzina wahai Rasulullah, tak kan kau tidak tahu bahawa aku berzina.“

Sesetengah riwayat menyatakan Rasulullah berkata,

“kau mabuk agaknya.”

Namun Ma’iz tetap terus, dan sudah pasti dia mahukan hukuman di jalankan.


Allahu Rabbi.. Islam mengajar kita agar tutup aib kita, kemudian baiki diri kita, bila-bila masa sahaja. Allah mahu kita istighfar kepada Dia, minta ampun kepada-Nya dan kembali semula kepada-Nya.

Pintu keampunan Allah sentiasa terbuka. Allah membuka pintu keampunan pada waktu siang untuk Dia mengampunkan orang yang buat dosa pada waktu malam. Dan Dia membuka pintu keampunan pada waktu malam untuk Dia mengampunkan orang yang buat dosa pada waktu siang.

Allahu Akhbar..

Ketahuilah, di dalam Islam, seluas-luas pintu adalah pintu Taubat.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman :

“Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan”

(Riwayat al-Tirmizi, di nilai hasan oleh al-Albani)

Apa yang Allah tawarkan ini bukanlah bermaksud untuk menggalakkan kita untuk buat dosa, tetapi sebagai semangat untuk orang kecewa dengan kesalahan diri dan ingin kembali kepada Allah.

Ya, saya akui, kadang-kala apabila kita sudah menyesal dan insaf akan dosa kita, kita dah berazam tidak mahu lakukan lagi, namun pada suatu hari kita tergelincir lagi melakukan dosa yang sama.

Nabi bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang  bermaksud,

“ Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata:

“Wahai Tuhanku ampunilah dosaku.”

Lalu Allah azza wa jalla berfirman:

“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya ,( dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya).”

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: 

“Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.” 

Lalu Allah berfirman: 

“Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya).” 

Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata:

“Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.”
Lalu Allah berfirman: 

“Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Allah Allah.. ampunkan la aku. :’(



Bagaimana mahu bertaubat?


Saya ada buat secebis nota mengenai bagaimana untuk bertaubat. Banyak cara sebenarnya, namun yang saya tulis adalah antara salah satu caranya. Di sini.



Penutup

Sebelum saya akhiri nota saya, teringat saya pada sirah baginda Rasulullah s.a.w. yang mana dahulu Abu Jahal menentang baginda sungguh-sungguh, namun anaknya Ikrimah masuk Islam lalu beliau menjadi sahabat baginda dan terkenal sebagai antara orang yang dekat dengan baginda Rasulullah s.a.w.

Ketahuilah, manusia yang tampil menentang Nabi s.a.w., lagi Allah terima taubatnya. Apatah pula sekadar manusia yang minum arak, berzina, hisap dadah dan sebagainya.

Bukanlah saya nak mengatakan itu semua baik, tidak. Tetapi saya nak memberitahu bahawa jika seseorang itu untuk kembali kepada Islam, kembali bertaubat kepada Allah, tiada halangan baginya untuk kembali kepada Allah.

Sama sekali tidak ada...


Moga Allah Redha.


Comments
4 Comments

4 comments:

  1. Alhamdulillah. Perkongsian yang baik. :)

    ReplyDelete
  2. insyaallah teruskan berusaha!!!! bergaullah dgn kwn2 yg baik spy tjebak kebaikan dlm diri kita :D
    jumpa di akhirat!

    ReplyDelete