Don't judge a blog by its followers

Sunday, 23 September 2012

Politik itu kotor..?





Bahang pilihanraya sama ada pilihanraya Umum (PRU) mahupun pilihanraya kampus (PRK) kini semakin hangat dan hangit di perkatakan.

Teringat saya ketika di awal sekolah menegah satu ketika dulu, saya gemar mengambil tahu hal-hal politik negara. Tetapi dengan keadaan yang masih mentah lagi, saya jadi pening dengan pertelingkahan parti-parti politik di Malaysia, terutama parti-parti yang dominan. Bukannya “peperangan” idea, tetapi “peperangan” fitnah, jatuh-menjatuhkan, label melabel, dan sebagainya. Sehingga pada satu tahap, saya sedih dengan keadaan orang Islam terutama ketika hampir PRU (Pilihanraya Umum).

Dan saya masih ingat lagi, ketika di tingkatan 4 dan masa itu di perpustakaan, saya membaca Utusan Malaysia (sekarang ada “nama” baru ye?) yang agak mainstream di Malaysia. Di muka hadapan, tajuknya agak “panas dan pedas” (baca : hot and spicy) walaupun saya dah lupa apa tajuknya. Apabila baru nak membaca akhbar tersebut, tiba-tiba datang seorang sahabat baik saya dan menyapa saya lalu menegur,

“Kau baca pasal apa ni? Pasal politik ke? Ala..tak payah ambik tahu la. Bapak aku kata, bukan kita tahu pun siapa yang betul, siapa yang salah. Aku tak ambik tahu pun, kalau bapak aku beli surat khabar, aku baca sukan je.

Lebih kurang begini dialognya, dan saya mula terfikir. Sejak dari saat itu, saya terus tidak ambil peduli mengenai politik negara. Musim pilihanraya Umum adalah musim paling bosan bagi saya, tidak seperti dahulu. Bagi saya, politik itu kotor. Buat apa nak ambil tahu, biarlah orang lain ambil tahu.

Dan keadaan itu berterusan sehingga saya menjejakkan kaki ke universiti, barulah saya ada kesedaran “sivik” semula betapa pentingnya ambil tahu urusan politik negara mahupun kampus, meskipun kita tidak terlibat di dalamnya.



Politik itu kotor?


Jika di tanya saya, jawapan saya,

Politik itu tidak kotor, tetapi Politik Kotor itu yang kotor”

Ya, politik kotor itu yang kotor. Sebabnya, politik yang tidak kotor adalah politik yang berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah, atau lebih di kenali sebagai Politik Islam. Kalau dalam bahasa arabnya, “Siyasah Syar’iyyah”.

Untuk saya jelaskan apa itu Politik Islam, konsep-konsepnya, dalil-dalilnya dan sebagainya, maka saya bukan ahlinya. Saya baru belajar, dan bukan bidang saya untuk membincangkan terlalu detail. Rujuk orang yang ahli dalam bidang ini, bukannya ahli politik semata-mata.


Kenapa ambil tahu tentang politik?


Kadang-kadang ada sahabat saya bertanya saya, kenapa ambil tahu hal perihal politik. Bukan ke politik hari “caca merba” seperti yang dikatakan Prof. Madya Dato. Dr MAZA ? Ya, politik hari ini, terutama di Malaysia memang caca merba, tetapi di sebabkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak mengenal halal dan haram.

Tetapi ini tidak bermaksud kita tidak perlu ambil tahu langsung. Kena ambil tahu, sebab kita hidup bermasyarakat, terutama mahasiswa/i yang so called berintelektual tinggi atau minda kelas pertama. Siapa lagi yang akan memegang tampuk pemerintahan kelak? Adakah kita mahukan penagih dadah, perompak, penyamun dan sebagainya yang memerintah? Saya tidaklah menghina mereka, tetapi rasanya kita boleh berfikir secara logik akal sendiri tanpa saya mengeluarkan dalil-dalilnya.

Mungkin sesetengah daripada masyarakat, bahkan mahasiswa/i sendiri akan berfikir bahawa politik itu kotor dan jijik. Ketahuilah, berpolitik itu bukanlah sesuatu yang buruk atau dikeji oleh syariah. Ia termasuk dalam tanggungjawab Islam juga. Ia adalah fardu kifayah. Rasulullah dan para sahabat pun berpolitik demi amanah Islam. Apa yang dikeji ialah gila berpolitik atau tamakkan jawatan sehingga melupai dasar- dasar agama. (Prof. Madya Dato. Dr MAZA, Siyasah Perubahan Dengan Maslahah)


Politik Kotor


Sungguh, saya masih mentah lagi dalam dunia politik. Dan cuba untuk “update” dari masa ke semasa. Namun, berdasarkan pemerhatian dari kaca mata seorang yang dhaif ini, fenomena iklim Politik Kotor yang berlegar di ruang angkasa Malaysia sudah meresap dengan kadar yang bahaya untuk kesihatan di dalam kampus, tidak kira mana-mana kampus pun (woha!).

Maka pandangan saya ini menjurus kepada pemerhatian di kampus. Antara Politik Kotor yang “di amalkan” di kampus adalah sikap jatuh menjatuhkan dan fitnah menfitnah. Dari saya tahun pertama, sehinggalah saya tahun akhir, saya masih tertanya,

“Untuk apa kita jatuhkan seseorang jika manifesto atau matlamatnya adalah untuk kebajikan mahasiswa sendiri?”

Soal niat itu, kita ketepikan dahulu. Kerana itu antara dia dan Allah. Sedangkan politik ini di bina adalah untuk saling bangun membangunkan antara satu sama lain. Ia sepatutnya seperti sistem “Simbiosis”, saling bantu membantu antara satu sama lain meskipun berbeza ideologi, fahaman, manifesto dan sebagainya selagi mana ia tidak berbeza matlamat utama. Bukannya bersifat “Parasit”.

Saya bercakap secara umum, siapa makan cili, dia terasa. Siapa yang terasa, padan muka (woha!).
 

Kepada “Kerajaan” dan “Pembangkang” mahupun “Bebas”.



Berpolitik lah dengan iman dan taqwa, dengan matang dan bijaksana, dengan hujah dan idea, dengan semangat dan akhlak dan dengan matlamat dan masa depan.

Demi meninggikan semula panji-panji Islam yang kian di patah-patahkan,

demi mengejutkan semula ummah yang kian jauh dari kefahaman Islam yang sebenar,

demi mendirikan semula Tamadun Islam yang hilang di telan zaman,

dan demi memastikan keadilan Islam di rasai oleh segenap makhluk di seluruh cakerawala.

Jauhkanlah dari berpolitik dengan politik jatuh menjatuhkan antara kawan dan lawan, fitnah memfitnah antara sesama Muslim dan sebaliknya, hina menghina antara sahabat dan musuh, juga hasad dengki antara Ulama’ dan Umara’.

Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud ;

“Jangan saling berhasad dengki, jangan saling menaikkan harga bukan untuk membeli, jangan saling membenci dan jangan saling belakang membelakangi (memutuskan hubungan), (tetapi) jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seseorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain. Dia tidak menazalimi, tidak membiarkan, tidak mengabaikan tanpa pertolongan dan tidak menghinanya. Takwa letaknya di sini – sambil menunjukkan kepada dadanya-. Sesorang sudah cukup jahat apabila dia memperlekehkan saudara seislamnya. Setiap darah, harta dan maruah orang Islam adalah haram (diceroboh) oleh orang Islam yang lain.”
(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.’anhu)

Untuk mahasiswa/i di kampus yang bertanding, corak politik anda semua sedikit sebanyak mempengaruhi corak politik negara. Jika politik kotor yang anda pilih untuk di amalkan, maka saya khuatir politik kotor jugalah yang sentiasa bermahasultan sampai bila-bila di Malaysia.

Ayuh, ubah paradigma anda. Fikir tujuan anda hidup, dan fikir tujuan anda berpolitik. Untuk diri anda atau untuk kepentingan ummah?


Kepada “Atas pagar” dan “di luar kawasan (tidak ambil tahu hal semasa)”


Pemimpin masa hadapan bermula dengan generasi maha kini. Pilihlah pemimpin yang di yakini adil dan saksama dalam melaksanakan amanah yang di beri. Walaupun hanya sekadar pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa.  Anda yang menentukan kebajikan anda semua (termasuk saya).

Dan jika anda tidak mengambil tahu urusan umat Islam, maka dengarlah amaran dari junjungan kita Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud

“Sesiapa yang tidak menghiraukan hal ehwal umat Islam, maka dia bukan daripada kalangan mereka”
(Riwayat ath-Thobarani daripada Huzaifah bin al-Yaman)



Dan saya?


Saya sedar dan akui, suara saya hanyalah kecil, sekecil semut di dalam ribuan kerengga. Bahkan jutaan barangkali. Namun saya tetap ingin meluahkan pendapat dan seruan saya yang mungkin tidak bernas di mata sesetengah pihak.

Akhir sekali, saya menyeru anda semua agar menyertai dalam sebuah kerangka gerak kerja yang lebih besar daripada sebarang parti politik, jemaah mahupun organisasi. Penyertaan yang saya serukan ini tidak memerlukan anda meninggalkan apa yang anda sudah sertai, dengan syarat organisasi itu tidak menyanggahi al-Quran dan Al-Sunnah, iaitu bekerja ke arah tajdid dan islah, PEMBAHARUAN DAN PEMBAIKIAN.*


Ketahuilah, kita dilahirkan sebagai ahli politik meskipun kita tidak berparti. (Dr Maszlee Malik, Konvensyen Fiqh Politik 2012)


Semoga Allah Redha.







p/s :
1. * edit sedikit daripada artikel Prof. Madya Dato. Dr MAZA, Fikrah merentasi Jemaah.
2. Disclaimer: Saya tidak berpihak kepada mana-mana blok.

No comments:

Post a Comment