Don't judge a blog by its followers

Saturday, 6 October 2012

Bajet 2013 : Antara Material dan Moral




Hari ini hampir lebih kurang seminggu bajet 2013 telah dibentangkan oleh YB Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam dewan parlimen. Ramai pihak telah mengkaji impak positif dan negatifnya lantas memberikan respon positif atas pembentangan bajet tersebut, namun tidak kurang juga yang memberi kritikan kepada bajet yang di bentangkan. Selain itu, pihak Pakatan Rakyat (PR) juga telah membentangkan bajet bayangan sebagai salah ‘manifesto’ untuk menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 kelak.

Namun apa yang saya ingin fokuskan mengenai bajet yang di bentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), di mana kita cuba lihat daripada dua sudut pandangan, iaitu daripada sisi impak positif dan negatif.


Bajet Rakyat Tersenyum


Jika di lihat selayang pandang bajet ini seolah banyak memberi “hadiah istimewa” kepada rakyat terutama sekali golongan urban dan muda. Ini kerana kita dapat lihat di mana kerajaan menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan kepada persekolah yang diperuntukkan sebanyak 2.6 bilion ringgit pada tahun 2013.

Selain itu, kita dapat lihat juga dimana kerajaan juga meneruskan pemberian baucer RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah kepada 5.4 juta pelajar, dan meneruskan Baucar Buku 1 Malaysia kepada pelajar IPT dan pra-universiti dengan penambahan dari RM200 kepada RM250 kepada lebih kurang 1.3 juta pelajar seluruh negara.

Selain itu, pemberian rebat RM200 juga di berikan untuk  pembelian telefon pintar 3G, BR1M 2.0 untuk golongan bujana yang berumur 21 ke atas dan berpendapatan RM3000 ke bawah . Pemberian potongan diskaun 20% PTPTN kepada sesiapa yang membayar penuh dan 10% PTPTN kepada sesiapa yang membayar secara konsisten dalam tempoh setahun.

Jika di lihat pada segi pendapatan individu, pekerja sektor kerajaan pula di beri setengah bulan bonus. Selain itu, kerajaan juga meningkatkan cukai keuntungan hartanah (RPGT) sebanya lima peratus untuk menangani masalah spekulator dan juga akan membelanjakan RM1.9 billion untuk membina 123,000 rumah mampu milik. Ia secara tidak langsung menjadikan golongan muda lebih mudah memperoleh pinjaman perumahan walaupun pendapatan mereka kurang dari RM5,000 tanpa memerlukan tiga bulan pembayaran ansuran daripada simpanan mereka sendiri.

Jika di lihat pula dari segi pembangunan ekonomi, kerajaan banyak menawarkan insentif seperti pemotongan cukai untuk penyelidikan dan pembangunan, sejumlah RM1 billion untuk meningkatkan pelaburan domestik, insentif untuk mengambil alih syarikat asing, insentif untuk industri teknologi seperti pemotongan cukai pendapatan untuk pelabur Angel serta mengiktiraf harta intelek dan juga RM10 billion untuk skim pembangunan untuk industri kecil dan sederhana (IKS).


Bajet Yang Bejat


Mahu tidak mahu, pihak “penyokong” kerajaan kena akur bahawa bajet 2013 yang di bentangkan adalah bajet yang merugikan untuk satu jangka masa yang panjang. Ia merupakan bajet yang bersifat sementara atau dalam istilah ekonominya, kerajaan yang memerintah ini adalah kerajaan myopik, yakni rabun dekat.

Pertama sekali kita lihat bahawa perbelanjaan kerajaan kali ini masih mengalami defisit (lebihan perbelanjaan berbanding pendapatan) walaupun sudah berkurangan berbanding tahun lepas (2012) iaitu daripada 4.7% kepada 4.0% iaitu sebanyak 21.6 billion sekaligus terkumpul hutang terkumpul kerajaan sebanyak hampir 503 billion atau setengah trillion untuk tahun yang ke-16 berturut-turut semenjak tahun 1997. Jumlah itu adalah 53.7% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK atau GDP) untuk tahun 2012. Dalam ekonomi, keadaan ini sangat kurang sihat kerana secara tidak langsung ia akan membabitkan bunga atau riba’. Saya tertarik dengan penjelasan oleh Professor Nazari, pensyarah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya, di mana beliau berkata ;

Dari perspektif Islam, adalah tidak salah untuk kerajaan berhutang bagi memberikan manfaat kepada rakyat. Tetapi langkah berhutang tersebut mesti memenuhi dua syarat utama iaitu hutang tersebut bebas dari unsur Riba’ serta hutang tersebut boleh dibayar balik oleh kerajaan. Malangnya, kedua-dua syarat utama tersebut jelas tidak dapat di penuhi. Sumber utama kepada hutang negara adalah dengan menggunakan instrumen ‘Sekuriti Kerajaan Malaysia’ (Malaysian Government Securities atau MSG) yang menggunakan kaedah Riba’ yang jelas haram dari perspektif Syariah. Tambahan pula, hutang kerajaan yang terkumpul sekarang telah meningkat ke angka lebih dari separuh trillion ringgit dengan penjelasan hutang tahunan (Debt Service) yang meningkat setiap tahun. Untuk makluman, pada tahun 1998, penjelasan hutang tahunan oleh kerajaan hanya berjumlah RM7 billion, namun sekarang ini ianya akan melebihi RM20 billion setahun pada tahun 2013. Tren ini jelas membuktikan bahawa kerajaan sekarang ini bukan sahaja tidak berupaya mengambil langkah mengurangkan jumlah hutangnya, bahkan juga tidak berupaya atau tidak bercadang untuk mengambil langkah bagi mengelak dari menambahkan beban hutangnya.”

Dan menariknya, bagaimana kerajaan mampu untuk berbelanja besar pada masa yang sama, berani menurunkan kadar cukai pendapatan walaupun hanya 1%. Ianya kerana belum ada lagi negara-negara maju mempunyai kada cukai pendapatan yang sangat tinggi ; Kerajaan Bersatu mengenakan 50% cukai pendapata ke atas rakyatnya, Amerika Syarikat pula 35%, Sweeden 75%, Jepun pula sebanyak 40%, China dan Australia masing-masing 45%, dengan pengecualian Singapura, 20%.

Persoalan di sini, siapakah yang akan terpaksa membayar ke semua hutang yang ditanggung ini? Jawapan ada di tangan anda.



Kemudian, jika kita analisa dengan sebaik mungkin, kita akan mendapati bahawa bajet kali ini merupakan ‘bajet pilihanraya’. Kerana seperti yang saya nyatakan di atas, golongan sasaran khas kepada bajet 2013 ini merupaka golongan muda dan urban. Namun kebanyakkan peruntukkan juga bersifat “one-off”, antaranya Baucar 1 Malaysia, rebat RM200, BR1M dan sebagainya kerana saya merasakan ianya mampu memancing anak-anak muda untuk mengundi Barisan Nasional. Saya rasa ramai mengakuinya meskipun dalam hati.

Jika di fikir secara rasional, contohnya rebat RM200, apakah manfaat kepada pemuda-pemudi dalam membeli telefon pintar 3G? Dan yang paling ketara sekali, saya masih tertanya kenapa tiada peruntukan untuk pelajar Tahfiz, atau mereka yang berada di institusi agama dan pondok, sedangkan mereka ini juga merupakan aset yang teramat penting untuk negara. Apalah kiranya jika rebat RM200 itu di kumpulkan jumlahnya kemudian di peruntukkan untuk golongan ini? Atau adakah golongan ini di pandang sebagai “low class”?

Selain itu, kerajaan juga tiada menyediakan insentif untuk sektor-sektor swasta, walhal sektor inilah yang banyak menggerakkan ekonomi negara. Fokus dan tumpuan banyak diberikan kepada kemaslahatan dan kebajikan rakyat semata.


Ketirisan Nilai



Ruangan ini tidak cukup untuk saya mengulas bajet yang di kemukakan oleh Pakatan Rakyat. Namun jika selayang pandang kepada kedua-dua bajet yang di bentangkan, kita akan mendapati bahawa beberapa perkara yang amat penting tidak di “highlight” kan, antaranya ;

1. Peningkatan cukai rokok (2 tahun berturut-turut tidak di naikkan)
2. Pengusaha kelab-kelab malam, bar dan arak. (7 tahun berturut-turut tidak di naikkan ke atas arak).
3. Bantuan untuk pusat kebajikan masyarakat terutama rumah orang tuan, anak yatim, dan sebagainya. Juga pusat pemulihan akhlak atau pusat perlindungan.
4. Bantuan untuk membantu program yang mencegah zina, buang anak,
dan sebagainya.

Jika kita benar-benar menganalisa dari sudut kaca mata Islam dan nilai moral, kita akan mendapati bahawa masyarakat kita menghadapi krisis atau ketirisan nilai yang amat kritikal, yang mana kedua-dua pihak berusaha untuk menambat hati rakyat dengan nilai materialistik atau kebendaan. Ia menyebabkan hampir majoriti rakyat Malaysia yang Muslim mengalami kecelaruan identiti Muslim yang ketara.
Namun saya tidak menyalahkan kedua-dua pihak, kerana semua yang mereka berikan adalah permintaan kita. Namun saya berharap agar suatu hari nanti, bajet yang akan di bentangkan benar-benar mencerminkan permintaan dan keperluan rakyat yang berlandaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah semata-mata selain untuk menegakkan keadilan kepada manusia.

Akhir sekali, saya tertarik untuk memetik kata-kata Prof. Nazari,

“Kita kena sedar bahawa maqasid atau tujuan Syariat Islam adalah untuk mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Senario kegawatan ekonomi, huru-hara dan kesengsaraan yang sedang berlaku di negara-negara Eropah dan yang juga berlaku di negara kita jika kaedah pengurusan kewangan negara ini tidak di ubah kepada cara Islam, jelas menunjukkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua ahli masyarakat, terutama sekali dari kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah berusaha dengan segala daya mereka untuk memastikan bahawa ajara Islam di amalkan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan termasuk di dalam aspek penyediaan bajet negara.”

Wallahu’alam.

Moga Allah Redha.




p/s: 
1. Jika ada sebarang kritikan keatas ulasan saya ini, adalah amat di alu-alukan. Kerana saya budak baru belajar.


No comments:

Post a Comment