Don't judge a blog by its followers

Saturday, 27 October 2012

Di mana “Ismail” kita?





Kelmarin, ketika dalam usrah, naqib saya ada menyampaikan tazkirah berkaitan dengan haji memandangkan kita akan menyambut hari raya aidiladha. Apa point utama yang saya rasakan sangat penting untuk saya khususnya, iaitu ;

“Di mana “Ismail” kita?”

Ya, di mana “Ismail” kita? Mungkin ada yang tertanya, apa itu “Ismail” kita?


Roh pengorbanan yang hilang


Rata-rata masyarakat umumnya sudah mengetahui kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya yang tercinta, Nabi Ismail a.s. Sekali imbas apabila kita membuka lembaran sejarah baginda, kita dapat lihat bagaimana kesungguhan dan pengorbanan baginda demi mendapat keredhaan Allah.

Di mana pada awalnya baginda di arahkan oleh Allah agar meninggalkan isteri dan satu-satunya anak yang di sayanginya, iaitu Ismail a.s. di tengah padang pasir yang tandus dan kontang. Jika kita seorang ayah, sudah pasti kita dapat merasakan betapa peritnya meninggalkan isteri dan anak yang kita sayang di kawasan yang asing, bahkan tiada tanda-tanda kehidupan atau kampung wujud di sekitar kawasan tersebut. Seolah-olah jika kita tinggalkan anak dan isteri kita di situ, peluang untuk mereka hidup amat-amatlah rendah. Namun atas perintah Allah yang Maha Mengetahui, baginda akur dan melaksanakan dengan tunduk dan patuh.

Selepas beberapa tahun, baginda di benarkan untuk kembali ke pangkuan anak dan isterinya. Bayangkan betapa gembiranya seorang ayah yang sudah lama tidak berjumpa kini dapat berjumpa semula anak dan isterinya. Namun apabila sampai di sana, tanpa sempat baginda untuk bergembira bersama anak dan isteri yang ditinggalkan, Allah memerintahkan lagi agar di tinggalkan lagi isteri dan anaknya. Namun kerana kasih dan cintanya kepada Allah melebihi segala-galanya, baginda pergi meninggalkan sekali lagi keluarga yang tercinta bagi memenuhi perintah Allah yang Maha Mengetahui.

Beberapa tahun kemudian, baginda pulang sekali lagi ke pangkuan anak dan isterinya. Namun kali ini ujian yang Allah berikan kepada mereka sekeluarga lebih dasyat lagi, iaitu baginda di perintahkan oleh Allah agar menyembeli anaknya Nabi Ismail a.s. menerusi wahyu yang di peroleh dalam mimpinya.

Ya, Nabi Ibrahim a.s. di arahkan agar menyembelih anak kesayangannya sendiri yang telah lama tidak dapat berjumpa. Allahu Rabbi. Namun, sekali lagi kerana kasih dan cintanya kepada Allah, baginda sanggup untuk menyembelih anaknya, dan anaknya, Nabi Ismail a.s. kerana kecintaan baginda juga kepada Allah, rela untuk di sembelih. Ya, itulah Ismail baginda, lambang sebuah pengorbanan agung dalam sejarah ketamadunan manusia. Namun kuasa dan perancangan Allah melebihi segala-galanya, Allah menukarkan anak baginda kepada kibas.


Ya, kisah pengorbanan agung ini sering kali di “ulang tayang” dalam ceramah-ceramah oleh para asatizah agar ibrah atau pengajarannya dapat di teladani masyarakat Islam terutama sekali ketika hampir menjelang Aidil Adha.

Namun begitu, berapa ramai sahaja yang mengambil ibrah dari kisah ini? Roh pengorbanan agung ini jarang sekali di resapi dalam jiwa masyarakat. Akhirnya, sirah agung ini hanyalah tinggal sebagai kata-kata tanpa kefahaman dan penghayatan. Banyak masyarakat yang melakukan ibadah korban, namun tidak dapat menghayati pengajaran di sebalik pengorbanan yang dilakukan. Apa yang dapat hanyalah sedikit daging korban untuk santapan. Roh pengorbanan ini hilang dari jiwa-jiwa umat Islam.


Ayuh buktikan “Ismail” kita kepada Allah!


Tidak keterlaluan jika saya menyatakan pengorbanan itu suatu kewajipan untuk setiap ummat Islam. Pengorbanan dari segi bagaimana? Sudah pasti pengorbanan untuk Islam!

Korbankan sebahagian masa kita untuk amal Islam.
Korbankan sebahagian harta kita untuk kepentingan ummat Islam.
Korbankan sebahagian perasaan kita untuk kebangkitan Islam.
Korbankan sebahagian hati dan jiwa kita untuk mengembalikan maruah Islam.
Korbankan sebahagian hidup kita untuk Islam.


Ya, untuk Islam, semata-mata kerana agama Allah yang suci ini!!

 
Ayuh, mari kita cuba untuk faham, menghayati, mengambil ibrah dan melaksanakan dengan amal melalui pengorbanan yang telah di lakukan bukan hanya Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. sahaja, tetapi seluruh manusia yang telah membuktikan pengorbanan masa, air mata, harta dan darah mereka untuk Islam!!



Moga Allah Redha.

No comments:

Post a Comment