Don't judge a blog by its followers

Monday, 12 November 2012

Suatu peringatan untuk warga UKM




Usai solat asar, baru sahaja nak keluar dari pintu UKM, ternampak garaj kereta dan laluan ke Fakulti Pengajian Islam (FPI) di hadapan DECTAR runtuh dihempap pokok. Sekaligus menyebabkan sepanjang laluan itu roboh, ibarat teori domino. Ia menyebabkan beberapa biji kereta mengalami “kecederaan”, tetapi alhamdulillah tiada manusia yang cedera.



Malah beberapa hari sebelum ini (hari jumaat), berlaku tanah runtuh di hadapan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang menyebabkan juga kerugian.



Juga sebelum cuti pertengahan semester ini, berlaku beberapa kes kecurian dan ragut juga pecah masuk bilik di beberapa buah kolej kediaman. Semester lepas juga ada beberapa kes kecurian yang boleh dikatakan “mega” kerana hampir bepuluh laptop hilang, dan saya salah seorang yang menjadi mangsa dua kali.



Bagaimana boleh berlaku?



Kita yang terleka dan terlupa.



Ramai mangsa mengalami kerugian, juga mengalami tekanan. Terutama sekali pelajar. Bahkan terus ada pihak yang menuding jari menyalahkan satu sama lain. Lebih parah, ada pihak yang tahu menyalahkan sahaja tanpa berbuat apa-apa. Saya tak mahu untuk menyalahkan mana-mana pihak. Tetapi saya mahu mengajak semua warga UKM khususnya untuk bermuhasabah seketika baik dari pihak pentadbiran juga staff dan pihak mahasiswa/i.



Saya yakin, melalui pengalaman saya, ramai staff UKM yang banyak memberikan khidmat terbaik kepada pelajar, bahkan ada yang bersusah payah dan berkorban untuk memberikan khidmat. Namun saya juga percaya ada staff UKM yang tidak ambil endah urusan pelajar meskipun ia adalah tanggungjawabnya. Bahkan ada yang “makan gaji buta”, tidak ambil peduli hal ehwal pelajar dan universiti.



Saya juga yakin, melalui pengalaman saya, ramai mahasiswa/i UKM yang bergiat cergas dan aktif dalam menaikkan nama universiti, bahkan ada juga yang bergiat aktif dalam menyampaikan risalah dakwah dan pembaikkan kepada masyarakat UKM khususnya. Namun ada juga pelajar yang langsung tidak mengambil endah hal ehwal semasa, bahkan berani buat maksiat secara terang-terangan tanpa mengendahkan hukum hakam agama dan adab sopan.



Mungkin dari semua yang negatif ini, Allah ingin memberi peringatan kepada kita (warga UKM yang Muslim khususnya) yang sering kali terleka dan terlupa akan perintah Allah dan banyak melakukan maksiat. Allahu Rabbi.. (Istighfar..)



Peringatan Allah dalam al Quran yang agung,




Terjemahannya : 


“Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.”

(Surah Assyuraa Ayat 173)



Mari bermuhasabah.



Muhasabah diri masing-masing (terutama diri saya sendiri),

Sebanyak mana kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah?



Sejauh mana kita berlaku adil dengan kerja dan amanah yang diberikan kepada kita?



Sejauh mana kita berlaku amanah dengan tugas kita tanpa mengambil rezeki yang haram?



Sejauh mana kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai pelajar?



Sebanyak mana kita mengingati ibu bapa kita, kita berjasa kepada mereka?



Sebanyak mana kita meninggalkan solat, meninggalkan kewajipan, meninggalkan amanah ibu bapa dan orang lain, juga meninggalkan ketaatan kepada Allah?



Dan terakhir sekali, sejauh mana kita banyak kali menyesal, kemudian bertaubat atas dosa-dosa dan kesilapan kita?



Astarghfirullah.... Ampunkan aku ya Allah... :’(



Mungkin hari ini bukan kita mangsanya, tetapi esok lusa bagaimana? Dan mungkin hari ini kitalah mangsanya, tetapi kesabaran kita bagaimana?



Firman Allah dalam al Quran yang agung,





Terjemahannya :

155 : "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"



 156: "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.""



157: "Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya."



(Surah al Baqarah 2: 155, 156, 157)

 
Saya hanyalah mahasiswa marhaen.



Saya, seorang mahasiswa yang kerdil lagi tiada apa-apa di mata manusia, yang mungkin tiada siapa pun kenal akan saya, namun saya ingin mengajak dan menyeru semua warga UKM, baik yang setinggi-tinggi jawatan dan pangkat, sehingga serendah-rendah pangkat dan jawatan, dan baik dari kepimpinan mahasiswa/i, sehingga ke mahasiswa/i yang langsung tak aktif,



Marilah kembali bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan bermuhasabah dengan apa yang ada. Hentikan seketika “adengan” salah menyalahkan, tapi mulakan cerita bantu membantu daripada staff UKM dan mahasiswa/i UKM.





Dan mari beristigfar..






Moga Allah redha.

No comments:

Post a Comment