Don't judge a blog by its followers

Tuesday, 31 December 2013

Perang Antara Dua Cahaya Part II

(sambungan siri sebelum ini. Kalau belum baca, sila baca yang pertama, atau anda akan mengalami sindrom blur tiba-tiba)


Sila sediakan tisu di sebelah anda sebelum meneruskan pembacaan.  *lap hingus*





Pasukan pemberontak telah berpecah kepada dua kumpulan, yang mana satu kumpulan menyerang pasukan ‘Aisyah RA dan satu lagi kumpulan menyerang pasukan Ali RA secara SERENTAK.

Suasana menjadi kelam kabut dan hiruk pikuk dalam keadaan gelap gelita. Masa tu mana ada lampu sportlight pada bola. Dan suasana kelam kabutnya lebih dasyat dari apa yang berlaku semasa penyokong bola sepak negeri bergaduh di padang bola hari tu (tiba-tiba).

Dalam keadaan yang sangat panik, huru hara, hiruk pikuk, kelam kabut, dan apa lagi yang anda nak namakan (baca : you name it), tentera ‘Aisyah RA menyangka bahawa tentera Ali RA menyerang mereka.

Manakala tentera Ali RA pula menyangka bahawa tentera ‘Aisyah RA menyerang mereka. Lalu tanpa diduga dan tak pernah terfikir oleh mereka bahawa tercetusnya Perang Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak dan berakhir dengan kemenangan di pihak Ali RA. Walaupun peperangan ini, kedua-dua belah pihak tidak mempunyai niat untuk mengadakan peperangan.

Dalam kitab Al-Bidayah Wa An-Nihayah, Al-Imam Ibnu Kathir memperincikan kisah ini ;

"Orang-orang pun merasa tenang lagi lega (kerana persatuan tersebut)...pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi, pembunuh Uthman melalui malam tersebut dalam keadaan seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mencetuskan peperangan pada pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbitnya fajar, jumlah mereka menghampiri 1000 orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan 'Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan 'Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata : Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!"

Mereka (pasukan 'Aisyah) menyangka bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana huru hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: "Apa yang terjadi kepada orang ramai?" Mereka menjawab: Penduduk Basrah (pasukan 'Aisyah) menyerang kita!"

[al-Bidayah wa An-Nihayah, jilid 7, ms. 227]

Pada masa perang sedang berlangsung, Ummul Mukminin ‘Aisyah RA sedang berada di atas pelana untanya. Beliau tidak ikut berperang dan juga tidak mengarah sesiapa berperang.

Ini sebab beliau menjangkakan pemergian mereka ke Basrah untuk kemaslahatan kepada umat Islam tetapi sayangnya tidak pergi ke Basrah adalah lebih baik. Sebab itu apabila ‘Aisyah RA mengingat kembali pemergiannya ke Basrah, beliau akan menangis sehingga tangisan itu membasahi kain tudungnya.

Mata berkaca. *lap air mata*

Shuk, kenapa berlakunya perang Jamal?

Cerita di atas sebenarnya dah menjawab persoalan tu. Malah peperangan ini membenarkan sebuah hadis sahih dari Nabi sallahu alayhi wasallam, iaitu

"Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-duanya adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).'

[Shahih Muslim : 157]

Shuk, kenapa tentera ‘Aisyah RA dan tentera Ali RA tidak ‘tabayyun’ (siasat) dahulu siapa yang menyerang tentera mereka?

Logiknya begini ;

1.      Dalam keadaan huru hara, hiruk pikuk, kelam kabut, dan apa jua yang anda nak namakan, mana sempat nak tanya siapa serang siapa. Masa itu anggapan (baca : assumption) saja yang menjadi penentu. Ibarat macam kekecohan antara penyokong bola, mana ada sempat nak tanya siapa cari pasal dengan siapa dulu.

2.      Jangan baca sejarah dengan nada atau imiginasi kita hari ini. Zaman itu mana ada handphone, surat khabar sinar harian (tiba-tiba), email, apatah lagi wechat, whatsapp dan segala bagai. Kalaulah ada whatsapp masa tu, tentera Aisyah’ RA dan tentera Ali RA dah inform maklumat dan situasi mereka dalam group whatsapp supaya salah faham tidak berlaku. Siap ambil gambar upload dalam group. Eheh.

Kesimpulannya, yang pertama jangan sangka buruk pada para sahabat radiyallahu anhum ajmain. Sesungguhnya mereka mendapat tarbiyah yang paling superb dalam sejarah kemanusiaan oleh Rasulullah sallahu alayhi wasallam. Apabila berlaku peperangan di antara mereka, peperangan mereka ibarat peperangan antara cahaya, bukan peperangan antara cahaya dan kegelapan.

Yang kedua, rajin-rajinkanlah baca sejarah, walaupun bila anda mendengar sejarah anda membuat tangan di bahu mata ke atas.


- shukery -


p/s : mata anda terbeliak dan mulut anda ternganga atau tidak? Kalau ya, misi saya berjaya. Kalau tak, kalau tidak, misi saya tetap berjaya. Sebab anda telah habis membaca. Hoyeah!


Sunday, 29 December 2013

Perang Antara Dua Cahaya


Anda masih ingat kisah sejarah zaman sekolah menengah dahulu? Saya rasa mesti ramai yang meletakkan tangan di bahu mata ke atas sambil kata, “sejarah..”.

Saya nak cerita pada anda kisah sejarah yang anda jarang-jarang dengar, dan saya akan pastikan mata anda terbeliak dan mulut anda ternganga dan kemudian anda akan jadi rajin dan bersemangat waja untuk menggeledah buku di stor atau perpustakaan untuk memastikan fakta saya sahih, tulen dan bermutu tinggi.

Eheh. Sembang lebat shukery ni.

Pernah dengar kisah perang Jamal? Kalau anda pertama kali mendengarnya, sila buat muka teruja sambil kata, “belum belum!”.

Perang Jamal adalah peperangan pertama di antara para Sahabat radiyallahu anhum ajmain. Peperangan ini adalah dari dua ketumbukan tentera kaum muslimin yang masing-masing diketuai oleh dua sahabat agung Rasulullah sallahu alayhi wasallam, iaitu Amirul Mukminin Saidina Ali radiyallahu anhu (RA) dan isteri baginda, Ummul Mukminin Saiditina ‘Aisyah radiyallahu anha (RA). Peperangan tersebut dinamakan perang Jamal sebab ketika itu Ummul Mukminin ‘Aisyah RA berada di atas unta (Jamal).


Eh, biar betul shukery ni. Sahabat Nabi mana ada berperang sesama sendiri. Kau fitnah depa ni. Kau ni, macam syiah je.


Puuuhhh.

Tersembur air teh aku.

Mana ada, kisah ini memang betul-betul berlaku. Malah ada dua kali peperangan antara Sahabt radiyallahu anhum ajmain berlaku, iaitu Perang Jamal, dan Perang Siffin. Yang itu nanti saya cerita. Saya nak ceritakan kisah perang Jamal dulu. Dan tujuan saya cerita ini adalah untuk membersihkan fakta sebenar daripada auta yang direka oleh kaum Syiah.


Bagaimana berlakunya peperangan Jamal ini?


Al kisahnya bermula begini. ‘Aisyah RA, Thalhah RA dan Az-Zubair RA serta orang-orang yang bersama mereka telah bertolak dari kota Madinah ke Basrah selepas mendengar perkhabaran bahawa Ali Bin Abi Talib RA dilantik sebagai Amirul Mukminin yang baru selepas Amirul Mukminin Uthman RA dibunuh atas sebab fitnah yang dilemparkan kepadanya berskala raksaksa Gorgon oleh para pemberontak.

Siapa pemberontak ini? Mereka adalah golongan yang memendamkan rasa dendam dan dengki kepada  Amirul Mukminin Uthman RA. Bagaimana pula Saidina Uthman RA dibunuh? Nanti saya cerita kalau saya ada kelapangan (konon).

Berbalik pada kisah awal tadi, kenapa mereka bertolak ke Basrah? Mereka ke Basrah sebab nak menutup perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan zalim lagi keji dan tak berhati perut terhadap Amirul Mukminin Uthman RA.

Dan dalam masa yang sama, selepas dengar perkhabar tentang kisah ini, Amirul Mukminin Ali RA juga mengambil inisiatif untuk pergi ke Basrah bersama dengan ketumbukan tenteranya.

Untuk apa? Ia bertujuan untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan kembali umat Islam dalam menghadapi pemberontakan yang kurang hasam dalam peristiwa pembunuhan Uthman RA.

Tetapi impian kesatuan ketenteraan di antara ‘Aisyah RA dan Ali RA dibenci dan ditakuti oleh para pemberontak pada zaman Uthman RA yang bersembunyi disebalik umat Islam ketika itu. Pada awalnya apabila mereka dengar keberangkatan ‘Aisyah dan tenteranya ke Basrah, mereka mula menimbulkan api fitnah yang marak yang mana mereka menyatakan bahawa pemergian mereka adalah kerana perpecahan dari Khalifah Ali.

Tetapi apabila Ali RA membuat keputusan untuk bersama dan bergabung dengan tentera ‘Aisyah RA selepas siri perbincangan di antara wakil dari Ali RA iaitu Al-Qa’qa’ dan ‘Aisyah, Az-Zubai serta Talhah R.Anhum, para pemberontak yang ada dalam tentera Ali mula takut ibarat mengigil kepala lutut  dan mengigit jari. Eheh.

Para pemberontak telah berbincang sesama sendiri dan berkata,

“Mereka sudah berdamai atas DARAH kita.”

Pada pandangan mereka, perdamaian dan kesatuan ini bererti senjata akan dihalakan ke atas mereka. Jadi, mereka yang dah menggelabah tahap gaban (bukan inche gabanna) berfikir dan terus berfikir serta berbincang strategi untuk memecahkan kesatuan pasukan Ali RA dan pasukan ‘Aisyah RA. Dan akhirnya mereka telah terfikir sebuah idea gila tahap dewa dan mencapai satu kata sepakat membawa berkat, eh membawa keparat.

Sejarah hitam itu bermula pada awal pagi ketika mentari masih lagi belum memancarkan cahayanya yang bersinar cemerlang......




Jeng jeng jeng...















bersambung..... 


Tehee..


- shukery -

p/s : nantikan part Perang Antara Dua Cahaya Part II.

Saturday, 7 December 2013

Cerpen : Mahu Menikah Ketika Kuliah?



“Danial… Maaf saya menolak luahan hati awak. Saya tidak perlukan teman lelaki… Yang saya perlukan adalah seorang suami… Bukan sebarang suami, tetapi seorang suami yang berdikari…  Dan juga bukan sekadar berdikari, tetapi ia mahu untuk terus memahami ad din ini…”

Masih terbayang di telinga Danial gemersik suara Mariam ketika mana dia menolak permintaannya untuk bercinta.

“Hoih!”

Tersentak  Danial dari lamunan.

“Kau kalau aku sakit jantung nanti, macam mana Aiman. Bagilah salam kot ye pun…”

“Kalau kau sakit jantung, wariskan laptop kau pada aku. Laptop aku dah rosak tuh. Skrin sebelah rosak… Hehe…”

“Ah kau… dah kenapa tiba-tiba sergah aku Aiman?”

“Aku tengok kau termenung dari tadi… Nak kata kalah dota, dengan Hanis je pun… Nak kata kalah PES, dengan Aulia je pun… Kenapa? Cerita la sikit kat aku… Tapi kalau kau nak pinjam duit, aku nak pergi meeting dulu…” Aiman tersengih.

“Cakap cantik sikit okay. Setakat Hanis dengan Aulia tuh, apa ada hal. Bawah kuku aku je… Kemon la, aku ada duit la, baru lepas untung jual jaket kelmarin…”

Aiman mengangkat kening.

“MasyaAllah, boleh belanja KFC… Hehe.. Ha, kenapa, cakap lah. Mana tahu aku boleh tolong..”

Danial tersengih. Kemudian dia memandang ke luar tingkap.

“Semalam aku jumpa Mariam…”

Danial menghela nafasnya.

Bulat biji mata Aiman mendengar intro daripada Danial.

“Wow! Kau memang ada gaya kasanova. Hehe. Then?”

“Cakap baik sikit okay. Muka aku sesuci dalam debu kot… Hehe… Hmm.. Tentang Mariam, dua hari lepas aku confess pada dia, yang aku suka pada dia… Kemudian semalam dia nak jumpa aku, dan dia cakap depan aku yang dia tolak aku…”

Aiman menggelengkan kepala.

“Danial, danial… Aku ajak ikut usrah, kau sibuk nak main dota… Aku ajak ikut masuk sistem baitul Muslim, kau sibuk nak mencari sendiri bidadari muslimah akhir zaman yang ada kat universiti…”

Danial mengerut dahi.

“Habis tu kau nak buat apa sekarang Danial? Pujuk dia balik? Aku nasihatkan kau, tak payah la…”

“Aku nak kahwin waktu belajar ni… Apa pandangan kau?”

Aiman terkejut.

“Kau serius Danial? Mana boleh langkah bendul!”

Danial tersengih.

“Kalau dah jodoh, apa ada hal… Lagipun aku rasa macam tak nak kehilangan Mariam..” Danial mengangkat kening.

Aiman menghela nafasnya.

"Hari tu Hanis, sekarang ini Danial pula. Aduh.. Lepas satu, satu.. Apalah si Mariam tu pakai.." Aiman bermonolog dalam hati.

“Danial, danial… Hmm… Aku nak bagi pandangan pun, aku belum kahwin lagi. Tapi aku perkenalkan kau dengan murabbi aku, akhi Ipin. Dia sekarang dah berkahwin, dan dah ada anak 4. Dulu masa dia berkahwin, dia kahwin waktu belajar. Mungkin kau boleh minta nasihat dia…”

Mata Danial bersinar-sinar.

“Jangan buat muka nak makan penyepak boleh tak? Haha..”

Danial tergelak kecil.

“Bak mai nombor dia. Aku nak jumpa dia… minta nasihat dari tuan guru… minta dari kau, dapat penyepak la jawapnya…”

“Ceh…  aku bagi tu patut kau bersyukur… Ada bisnes kadnya atas meja tuh. Kau pergi tengok sendiri.“

“Syukurlah, Aiman masih bujang… Hehe..”

Aiman gelak kecil dan terus keluar dari rumah.

------


“Ooh… Ini ke kembar Aiman. Muka lebih kurang sama saja, cuma rambut saja berbeza..”

“Hehe.. Ana lebih hensem sikit dari Aiman, dan perbezaan paling ketara adalah pada perut... Hehe..”

Ipin dan Danial gelak bersama.

“Okay, anta nak tahu apa sebenarnya?”

“Aiman cerita, Errr… anta berkahwin waktu belajar kan? Boleh minta pendapat dari anta… Ana berniat juga nak berkahwin waktu belajar, cuma nak minta pendapat dulu…”

Ipin tersenyum.

“Sebelum tu, ana ceritakan dulu siapa ana. Ana dulu semasa belajar di UTP adalah sebagai seorang bapa, suami pelajar, aktivis kumpulan dakwah, anak dan menantu. Jadi ana perlu memastikan masa ana digunakan secara efisyen. Dan salah satu aktiviti yang perlu ana selitkan ialah aktiviti mencari nafkah.”

Danial mengangguk.

“Ana bahagikan kerja mencari nafkah ini melalui kerja harian, kerja mingguan, kerja bulanan dan kerja sampingan.”

“Tapi sebelum kita bercerita lebih jauh, kita order air dulu.. Hehe.”

“Beres… Err.. bang, kasih teh o ais satu, dengan teh o suam..”

“Okay kita sambung tadi.. Kerja harian ana adalah membuat hotdog. Dalam sehari ana membuat sekitar 60 ke 100 biji. Masa yang diperlukan hanyalah 1 jam sehari. Ana akan menyerahkan kepada runner untuk menjualnya semasa waktu malam. Keuntungan per hari sekitar RM30-RM50. Ana buat hot dog 4 hari seminggu. Purata ana dapat RM160 seminggu atau RM640 sebulan.”

“Kemudian, kerja mingguan pula adalah membuat dadih. Ana akan membuat lebih kurang 200 biji dadih dan diletak di dalam peti ais di rumah rakan-rakan di UTP dan letak bekas duit untuk orang membayarnya. Masa untuk membuatnya lebih kurang 1 jam 30 minit. Seminggu sekali, ana akan mengutip wang dari bekas dan memasukkan dadih yang baru. Pendapatan per minggu RM100 atau RM 400 sebulan.”

“Wow.. menarik.. kemudian?” Danial sungguh bersemangat.

“Kerja bulanan pula adalah re-pack kerepek ubi. Ana akan mendapatkan kerepek yang dibungkus per 5 kg, dan membungkusnya semula per 100 gm. Sebulan sekali ana akan re-pack kerepek ubi, 25 kg. Masa yang diperlukan sekitar 2 jam sahaja. Ana letak kerepek ubi yang dibungkus semula di hostel-hostel dan letak bekas duit bersamanya. Sebulan sekali ana akan kutip wang dan menggantikan dengan kerepek yang baru. Pendapatan per bulan lebih kurang RM250.”

“Kemudian, kerja sampingan pula ialah membuat proofread buku untuk diterbitkan. 1 bulan 1 buku, 200 – 300 mukasurat. 1 jam ana boleh selesaikan lebih kurang 50 mukasurat. So, dalam 4-6 jam sahaja sebulan, bolehlah dapat sekitar RM500 per buku.”

“So total lebih kurang 40 jam sahaja sebulan, dapat lebih kurang RM1700. Ok lah untuk menampung isteri dan seorang anak masa tu. Ada lebihan lagi untuk ana berikan kepada ibu di kampung. Itu supaya mereka gembira dan tidak risau. Lahir anak kedua, ana sudah meniaga buku. Pendapatannya berkali gandalah, tapi itu cerita lain..”

Ternganga mulut Danial.

“Ha, Danial. Dah dapat idea? Nak bernikah ketika kuliah? Hehe..”

Danial tersengih.

“Balik kena fikir semula nanti..”

Ipin tersenyum sambil minum air teh o.

----


Terngiang ngian dikepala Danial apa yang diungkapkan Ipin petang tadi.

“Ha, Danial. Dah dapat idea? Nak bernikah ketika kuliah? Hehe..”

“Hmm.. sediakah aku bernikah waktu kuliah?” Danial bermonolog sendirian sambil melihat pandangan di balkoni rumah.

Danial mengeluh. Masih tidak nampak jawapannya. Tetapi hati bertegas untuk kata belum sedia.

“Aiman… mana kau?”

“Apa dia.. Aku tengah buat kerja ni. Ada apa?”

“Esok kau ada usrah kan? Aku nak ikutlah…”

Aiman sedikit terkejut.

“Aik, kau nampak pokok sujud ke kat luar tu? Hehe..” Aiman tersengih.

“Tak la, aku nampak bidadari turun dari kayangan, suruh aku ikut usrah..” Danial terus masuk ke bilik. Malas melayan respon yang akan diberikan Aiman.

Aiman tersenyum..

“Alhamdulillah.. aku ingatkan player dalam dota tu suruh kau ikut usrah..” Aiman gelak sendirian.

---

Moga Allah redha.

p/s: 1. Hanyasanya cerita akhi Ipin itu adalah cerita yang sebenar-benarnya, berdasarkan apa yang dicatit di facebook beliau. Saya hanya copy, paste dan edit mengikut kesesuaian dialog. :)

2. Cerita ni nampak tergantung. Endingnya, anda fikir lah sendiri. Kalau saya rajin, saya sambung lagi. :)

Thursday, 21 November 2013

Cerpen : Aku nak bercouple boleh tak?


“Allah... cantiknya perempuan tu. Macam bidadari dari kayangan seh! Ini yang aku suka kuliah ni!”

“Oh yeke. Baguslah tu, rezeki dia Allah bagi cantik.”

“Ala... kau tengoklah  Aiman. Mesti kau pun ternganga punya.”

Aiman menggelengkan kepala melihat kembarnya.

“Ah kau ni. Aku kuat iman kot. Hehe. Hmm... yang mana?”

“Puih. Haha. Tu ha yang  pakai tudung labuh dan muka putih comel tu. Kalau jadi makmun aku, alangkah bahagianya dunia baitul Muslim aku... Kau tak terasa macam tu ke Aiman? Ke kau tak de nafsu? Hehe.” Danial tersengih.

Aiman terkesima seketika apabila melihat pelajar muslimah itu. Dia menarik nafas panjang. Terus Aiman memandang ke muka Danial yang sedang tersengih.

“ Ish kau ni dani, pantang nampak dahi licin, naik tocang...  Solat jemaah kat masjid pun kadang-kadang miss. Dah la, jom balik bilik.”

Aiman terus mengangkat beg dan keluar dari dewan kuliah.

Heh. "Kau kalau tak bagi ayat berasid spesis lebur makan dalam, tak boleh ke?"

“Haha.”

Aiman gelak sendirian.


-----------


“Aiman, aku nak minta fatwa kau boleh tak?”

“Boleh, tunggu 10 tahun lagi.”

“Haha.”

Hanis tergelak dengan respon spontan Aiman.

“ok aku nak minta pendapat kau. Ke nak kena tunggu 10 tahun lagi? Hehe.”

Aiman tergelak kecil.

“Haha. Apa dia? Kalau kau tanya hukum hakam yang kompleks, aku tak da jawapan untuk kau.”

“Okay, kau kenal Mariam?”

Aiman mengerut dahi..

“Alah, budak kuliah kita yang yang cantik tuh, yang bergaya muslimah sejati akhir zaman.”

Aiman tiba-tiba terbayang senyuman Mariam yang manis ketika pembentangan tugasan semasa di kuliah tempoh hari.

“Oh. Ha, ada apa dengan dia?”

“Kau jangan cakap pada orang lain. Hmm... Aku...”

Aiman merenung Hanis dengan terangkat sebelah kening.

“Aku apa?”

“Sabar lah. Aku... Aku suka kat dia..” Hanis tersengih.

“Oh. Alhamdulillah..” Aiman senyum segaris.

Hanis sedikit terkejut dengan respon Aiman.

“Kau perli aku ke apa ni?” Hanis mengerut dahi sambil mengambil sebotol air mineral untuk diminum.

“Mana ada perli. Betullah aku cakap. Alhamdulillah kau masih normal lagi. Bukan gay.” Aiman tersengih.

Tersembur air mineral dari mulut Hanis.

“Selekehlah kau. Ha, dah tu kenapa pun kalau kau suka dia?”

Hanis mengelap mulutnya dan meletakkan air mineral di sebelahnya.

“Kalau aku ketuk kau dengan botol mineral ni, baru kau tahu. Hadoi.” Hanis merungut.

Aiman senyum dengan rungutan Hanis.

“Macam ni. Hari tu aku ada mesej dia. Aku nak bagitau perasaan aku pada dia...” Hanis menyambung cerita.

“Then?”

“Tapi aku segan. Aku... aku nak dia jadi isteri aku. Cumanya, yelah kita masih belajar lagi.”

“Ok. Then?” Aiman mendengar dengan khusyuk dan tawaduk.

“ Tapi aku tak nak kehilangan dia. Aku nak couple dengan dia. Nak jadikan dia isteri belum mampu, aku nak dia jadi awek aku dulu. Itupun kalau dia terima.” Hanis menghela nafasnya.

Aiman mengangkat sebelah kening.

“Kau tahu apa hukum bercouple bagai ni?” Aiman mula bertanya.

Hanis mengerut dahi.

“Ada hukum ke?”

Aiman tersenyum.

“Dalam Islam, kita terikat dengan hukum. Dari bangun tidur sampai kita tidur semula, hatta sampai masuk lubang kubur. Makan, minum, jalan-jalan, pergi kuliah, baca buku, baca Naruto, dan semuanya ada hukum. Hatta nak gerakkan tangan pun ada hukum.”

Hanis makin mengerut dahi.

“Apa hukum gerakkan tangan?”

“Ada satu kaedah fiqh yang menyatakan lebih kurang macam ni, setiap perkara atau perbuatan yang dilakukan adalah harus selagi mana ia tidak dijelaskan hukumnya oleh Allah dan Rasul-Nya secara jelas dalam Al Quran atau As Sunnah. Dan hukum ini berubah mengikut tempat, masa, waktu dan ketika.”

Hanis menggarukan kepala yang tidak gatal.

“Cuba kau jangan cakap bahasa langit. Aku tak faham sangat. Bagi la contoh.”

“Haha. Ok, contohnya makan nasi. Hukumnya harus. Kalau makan berlebihan sampai terlampau kenyang, boleh jadi makruh. Kalau makan nasi hasil dari mencuri hukumnya haram.”

Hanis menangguk.

“Hukum couple?” Hanis semakin berminat nak mengetahui.

Aiman senyum.

“Aku tak pandai nak menjatuhkan apa-apa hukum selagi mana perkara tu tak jelas atau bersuluh. Kalau nak tengok hukum terperinci, kau cuba beli buku “Bolehkah bercouple” keluaran Telaga Biru. Cumanya aku nak tanya kau, kenapa kau nak couple dengan dia?”

Hanis termenung seketika.

“Mungkin sebab aku tak nak kehilangan dia. Aku nak dia dengan aku.”

Aiman memandang mata Hanis.

“Kau agak, kalau kau couple dengan dia, kau confirm boleh kahwin dengan dia?” Aiman mula menduga.

Hanis berfikir sejenak. Teringat kawan-kawannya ada yang couple sampai bertahun-tahun kemudian putus, ada yang baru beberapa hari, lepas tu putus. Sampai ada yang frust tonggeng sebab putus terutama kawannya yang perempuan.

“Habis tu macam mana? Takkan aku nak biarkan saja. Nanti melepas bai...”

Aiman membaringkan diri untuk memandang langit di atas padang tempat mereka berehat dari jogging.

“Ingat tak eksperimen kimia kita yang gagal hari tu. Kau rasa sebab apa?”

Hanis menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Apa kebendalah kau ni menyimpang punyalah ke laut. Err... mungkin sebab kita tak ikut prosedur buku manual tu kot. Kenapa?”

Aiman tersengih.

“Allah jadikan manusia ini ada perasaan cinta dan kasih sayang. Itu lumrah manusia. Tiada manusia yang tak mahukan cinta dan kasih sayang. Tetapi Allah juga turunkan Islam berserta AL Quran sebagai manual agar manusia mengikut prosedur yang telah ditetapkan supaya dapat mengawal perasaan cinta dan kasih sayang itu dengan sebaiknya. Tetapi kena faham baik-baik, Islam bukan saja diturunkan untuk mengawal perasaan cinta dan kasih sayang saja, malah lebih luas dari itu.”

“Apa dia?” Hanis mengerut dahi.

“Highway of life.”

Hanis menangguk. Dia pun turut baring sekali memandang langit.

“Cinta dan kasih sayang itu sepatutnya ditumpahkan kepada orang yang betul supaya satu hari nanti kita tidak menyesal. Letak ketepi dulu cinta kepada Allah, Rasul-Nya dan yang biasa kita dengar. Sekarang ni apa aku nak kata tentang cinta antara lelaki dan perempuan.”

“Antara prosedur yang Allah dan Rasul-Nya ajar kepada manusia adalah dengan berkahwin.”

Hanis termenung. Memikirkan tentang persoalan kahwin barangkali.

“Tetapi kalau tak mampu berkahwin, Rasulullah sallahu alayhi wasallam ajar agar berpuasa. Puasa bukan puasa yang “cap ayam”, tetapi puasa dengan penuh ketaqwaan. Baru betul-betul berkesan. Dan dalam masa yang sama baginda juga ajar untuk menundukkan pandangan apabila berhadapan dengan perempuan kalau pandangan itu tidak bertujuan apa-apa.”

Hanis menghelakan nafasnya.

“Hanis, jodoh ini macam rezeki. Dah ditetapkan pun. Cuma apa yang perlu kita lakukan adalah dengan ikhtiar untuk mencari.”

“Serius?”

Hanis terus terduduk. Bersinar-sinar matanya.

Aiman tergelak.

“Kalau kau suka pada dia, cukup saja kau pendamkan perasaan kau. Dan yang paling penting sekali...”

Hanis mengangkat kening.

“Doa. Kita kan ada Allah. Kita bukan makhluk yang tidak mengaku tuhan. Doa sungguh-sungguh, dalam masa yang sama, buat persediaan yang rapi dan sebaiknya.”

“Persediaan macam mana?” Hanis menggaru kepalanya.

“Persediaan ilmu, persediaan fizikal, dan persediaan mental. Kena ada ilmu tentang munakahat, kena ada persediaan kewangan sedikit, dan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan atau pergaduhan selepas mendirikan rumahtangga. Tentang kewangan, walaupun ia bukanlah syarat, tetapi untuk hari ini, ia menjadi satu keperluan. Aku rasa kau pun faham. “

“Kalau kau dah rasa cukup bersedia termasuk dengan kewangan, maka yakinkan pula mak ayah kau yang kau mampu jaga anak orang. Kalau mereka dah yakin, maka teruslah melamar.”

Aiman mengambil sedikit nafas dan memberikan senyum sebagai sebuah suntikan anjakan paradigma baru kepada Hanis.

“Hmm.. Kalau dia dah dilamar orang?” Hanis mengeluh.

“Ramai lagi muslimat akhir zaman dalam dunia ni. Belum pupus lagi. Mai ikut aku join ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia), kami ada unit Baitul Muslim yang mana menguruskan hal-hal macam ni. Tapi ada prosedurnya lah.”

Hanis memandang Aiman dengan mata yang bersinar gemerlapan.

“Kau jangan buat muka nak kena penyepak boleh tak?” Aiman gelengkan kepala.

“Haha. Macam mana nak join ISMA?”

“Malam nanti ikut aku pergi usrah. Nanti aku kenalkan kau pada murabbi aku. Amacam, ada bran?”

“Demi sebuah masa depan yang gemilang terbilang, aku rela mengikuti kau Aiman.”

“Puih! Tak payah nak bersinetron petang ni la.”

Aiman dan Hanis bergelak besar.

“Hah, kau masih tak menjawab persoalan aku lepas kau bebel panjang-panjang ni. Jadi apa hukum bercouple ni?”

“Heh. Ingat lagi kau rupanya. Ingatkan dah lupa. Aku ambil pendapat yang paling keras dan aku yakin paling benar, iaitu haram bercouple dengan nafsu dan syahwat dengan perempuan bukan mahram.”

“Oh.. Tak boleh couple lah ni. Kan senang kalau kau cakap dari awal.” Hanis mengerut dahi.

“Boleh couple lah...” Aiman menduga.

Terbeliak biji mati Hanis. Dia mengangkat keningnya.

“Selepas kahwin?” Hanis menduga sambungan ayat Aiman.

“Selepas nikah. Dah jom balik. Dah nak maghrib ni...” Aiman terus bangun dan mencapai basikalnya.

“Ceh... lebih kuranglah tuh.” Hanis mencebik bibir.


“Alhamdulillah, aku bersyukur ya Allah kerana mempunyai sahabat seperti Aiman. Moga kami terus bersahabat sampai ke syurga..” Hanis bermonolog sendirian lantas mencapai basikalnya.


---

Moga Allah Redha