Don't judge a blog by its followers

Saturday, 9 March 2013

Ittaqullah ya pahlawan papan kunci!



Alhamdulillah, hari ini Allah bagi peluang pada saya untuk hadir ke Daurah Sirah Nabawiyyah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bangi. Mendengar pengisian daripada pagi sampai ke petang, pengisian bedah buku yang disampaikan Ust Rasyidi Jamil dan Prof. Madya Dato’ Dr. Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) tentang Sirah Nabawiyyah Raheeq al Makhtum dan buku Dr MAZA sendiri, Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah.

Banyak perkara yang boleh saya kongsi, tetapi bukan kali ini. Sebab nanti berjela-jela karangan saya. Cuma saya nak kongsi satu bahagian yang disampaikan Dr MAZA tentang punca pertelingkahan para sahabat Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam terutama sekali semasa perang Jamal, iaitu peperangan antara Saiditina Aisyah radhiyallahu anha, seorang Ummu Mukminin merangkap isteri Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam dan Saidina Ali radhiyallahu anhu, menantu Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam.

Peperangan antara mereka menyebabkan ramai nyawa kaum Muslimin terkorban. Jika kita baca kisah yang sohih, walaupun pada awalnya mereka mahu bersatu untuk menghapuskan pemberontak di Madinah, tetapi apa yang berlaku?

Kerana fitnah Abdullah bin Saba’ dengan melancarkan perang secara senyap-senyap kepada tentera pihak Saiditina Aisyah radhiyallahu anha dan tentera pihak Saidina Ali radhiyallahu anhu, maka akhirnya peperangan tercetus antara kedua-dua pihak menyebabkan ramai terkorban. Antara sebab utama?

SANGKAAN kedua-dua belah pihak!

Pihak Ali radhiyallahu anhu sangka pihak Aisyah radhiyallahu anha menyerang mereka, sama juga seperti sangkaan pihak Aisyah terhadap pihak Ali tanpa sempat mereka berdua menyiasat sungguh-sungguh punca serangan kecil berlaku!

Selepas peperangan tamat, akhirnya mereka menangis sesama sendiri kerana ramai Sahabat dan kaum Muslimin terkorban, antaranya adalah Saidina Talhah dan Saidina Zubair bin Awwam.

Ya, menangis sesama sendiri mengenangkan kaum Muslimin berbunuhan sesama sendiri. Menyesal yang tiada berkesudahan.

Apabila saya mendengar kisah ini, hati saya sebak sangat. Saya terbayang, saya berada di pihak mana jika saya berada pada waktu itu.

Saidina Ali kah?

Saiditina Aisyah kah?

Atau puak-puak pengkhianat Islam?


Allahu Rabbi..


Dan tiba-tiba juga saya teringat tentang apa yang berlaku pada situasi hari ini, terutama di medan Facebook.

Fitnah, mengumpat, mencerca, memaki hamun bahkan mengugut dengan berluasa berlaku terutama apabila perbezaan pendapat tentang pendirian politik seolah-olah perkara-perkara ini tiada DOSA!


Kesat peluh.


Pahlawan Papan Kunci.
 Dengan musim pilihanraya yang semakin hampir, maka kehangatan pilihanraya turut terasa, bahkan kehangatan orang melakukan dosa juga turut terasa!

Ramai pahlawan papan kunci dengan beraninya menyebarkan fitnah, mengumpat, mencerca dan memaki hamun pihak parti lawan.

Tidak kira samada pahlawan papan kunci daripada Parti A, B, C atau atas pagar sekalipun!

Saya takut pada akhir hayat kita nanti, ataupun semasa di hadapan Allah di akhirat kelak, kita akan menangis menyesal tak terhingga kesan daripada dosa kita terhadap orang lain tanpa sempat bertaubat.

Jangan kerana kita terlalu taksub dengan pimpinan kita atau parti kita, kita mengabaikan perintah Allah.

Bukan sekadar isu politik kepartian, bahkan isu terbaru iaitu tentang pencerobohan pun jadi mainan politik!


Geleng kepala.


Saya tengok berita, baca surat khabar, lihat news feed di facebook, sedih sangat dengan segelintir kaum Muslimin dengan mudah memfitnah, menyebarkan berita tanpa bukti, mencerca dan memaki hamun.

Mudah saja pahlawan papan kunci ini menyebarkan berita-berita fitnah, lepas tu berdebat pula untuk mempertahankan fitnah yang disebar.

Allah..

Firman Allah ;


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Al Hujurat 49:12)
 



Bertaubatlah.


Saya tidak menafikan, ada juga pahlawan papan kunci yang menyebarkan berita-berita yang sohih, benar lagi telus. Tetapi berapa ramai saja pahlawan papan kunci sebegini?

Hidup kita ini hanya sekali, lepas mati nanti, kita tak hidup semula. Dan kita juga kena faham, bahawa dosa dengan Allah, mungkin kita boleh minta ampun dengan Allah.

Tetapi jika dosa kita pada manusia, kita nak buat macam mana?

Minta maaf kepada manusia tersebut!

Pesanan saya untuk diri saya dan kepada sesiapa yang terasa pernah buat fitnah, mengumpat, mengutuk, mencerca dan memaki hamun, insaf dan bertaubatlah.

Ingatlah pesanan baginda,


عن أبي هريرة -رضي الله تعالى عنه- قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu, belia berkata: Rasulullah sallallaahu alayhi wa salla, telah bersabda: "cukuplah seseorang itu (dianggap sebagai) pendusta apabila dia menceritakan semua perkara yang dia dengar"
[hadith riwayat Muslim]

Berhati-hati serta bertaqwalah kita semua setiap kali memegang pena dan menaip di papan kekunci.

Moga Allah lindungi saya diri saya daripada memfitnah dan mencerca serta memaki hamun orang lain.

Allahu Musta’an.

Moga amal diterima Allah.

Sunday, 3 March 2013

Adakah kau lupa?



Ingatkah kita, bahawa hari ini genap 89 tahun keruntuhan Khilafah Islamiyyah, iaitu Daulah Turki Uthmaniah pada 3 Mac 1924 dulu?

Ingat?

Lupa?

Atau,

“Eh, baru tahu la. Tak terfikir pula ada khalifah dulu. Ingatkan dalam buku teks je.”


Garu kepala.


Bagaimana boleh runtuh?

Alhamdulillah, saya diberi kekuatan oleh Allah untuk mengkaji beberapa faktor bagaimana Khilafah Turki Uthmaniah ini boleh runtuh dengan begitu tragis dan sadisnya, walaupun sebelum itu Khilafah ini pernah menjadi mimpi ngeri bagi negara eropah khususnya kaum Nasrani dan Yahudi.

Banyak faktor yang menyumbang ke arah keruntuhan khilafah, daripada ;

1. kelemahan kepimpinannya (tanpa saya menafikan bahkan saya kagum dan terinspirasi sumbangan khalifah terakhir Turki Uthmaniah, iaitu Sultan Abdul Hamid II antaranya mengenai isu mempertahankan tanah Palestin),

2. konspirasi dan perancangan rapi musuh-musuh Allah (antaranya Lawrence Arabia),

3. pemberontakan dan pengkhianatan dari dalam Turki (gerakan Al-Ittihad wal Taraqqi, gerakan Turki Muda, Mustafa Kamal, dan lain-lain),

4. penyelewengan fatwa daripada sebahagian ulama’ ketika itu,

5. pergaduhan dan perpecahan antara umat Islam (Penentangan orang Arab ke atas Khalifah dan lain-lain),

6. sehinggalah kelemahan akidah dan iman kaum muslimin itu sendiri.


Persoalan di sini, mahu salahkan siapa?

Musuh-musuh Allah?

Pemerintah?

Ulama’?

Orang Arab?

Orang Turki?

Jawapannya, tak perlu salahkan sesiapa!

Saya yakin dan percaya, 95% orang yang hidup ketika zaman itu sudah meninggal dunia. Bahkan mungkin kesemuanya. Biarlah mereka dengan urusan mereka di hadapan Allah. Tamat sudah kehidupan mereka, maka usah kita sibuk persalahkan mereka walaupun mereka bersalah.

Yang paling penting sekali, tanya pada diri kita,

“Apa aku dah lakukan untuk hidupkan kembali Khilafah Islam?”

 Mari mulakan dari sekarang!

Selepas keruntuhan secara rasmi Khilafah Islam ketika itu, maka ramai umat Islam yang memahami Islam menangis tak berirama. Bumi seolah-olah bergegar menangisi keruntuhan Khilafah Islam. Langit seolah-olah menjerit kesedihan.

Di celah-celah kesedihan umat serta tangisan bumi dan langit, muncul seorang Ulama Agung, Syarkib Arsalan menggariskan langkah ;

“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

Kata-kata ini lahir semasa menjawab beberapa pertanyaan tentang muktamar dan perhimpunan yang diadakan untuk memilih Khalifah yang baru. Tetapi beliau sangat memahami kaedah kebangkitan umat ini.

Kekalahan umat Islam tika dan saat itu bukan saja kalah dari segi pemerintahan dan Khilafah, bahkan lebih teruk dari itu, iaitu kekalahan akidah dan iman kaum Muslimin seluruh dunia!

Ya, walaupun pahit, itulah yang kita alami satu ketika dahulu walaupun Khilafah telah memayungi dunia selama beratus-ratus tahun!

Dan hari ini, genap sudah 89 tahun keruntuhan khalifah. Pelbagai usaha di lakukan demi meninggikan semula kalimah Allah di muka bumi ini, antaranya gerakan Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami, Tabligh, Salafi, Jamaah an Nur dan pelbagai lagi. Masing-masing mempunyai cita-cita yang sama, meninggikan kalimah Allah sehingga hilanglah fitnah ke atas agama Allah ini.
Terjemahan : “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”
(Surah al Baqarah 2 : 193)

Jadi apa yang perlu kita lakukan terutama generasi Gen-Y ni?

Mari sama-sama kita menyahut seruan Syeikh Syarkib Arsalan iaitu tarbiyah individu atau dengan erti kata lain, kita islah diri kita menjadi mukmin sejati selaras dengan saranan al Quran dan as Sunnah!

Antaranya ;

1. Menuntut ilmu agama Islam sedalam mungkin dan sefaham yang mungkin bagi memahami kehendak Allah dan Rasul-Nya terhadap umat Islam.

2. Menguasai sebaik mungkin bidang yang kita ada samada bidang sains, sastera, komputer, atau lain-lain, dan kemudian salurkan ke semua kemahiran kita untuk kebangkitan Islam.

3. Mengamalkan setiap ilmu yang dipelajari sama ada secara bersendiri mahupun berkumpulan (berjemaah). Hindarkan dari mencerca amalan orang lain (selagi mana tidak bercanggah dengan syara’)

4. Memahami agenda dan jenis serangan musuh-musuh Islam seperti Humanisme, Sekularisme, Liberalisme, Hedonisme, dan lain-lain.

5. Menjadi agen penerangan kepada orang ramai tentang bahaya ancaman-ancaman musuh-musuh Islam dan ideologi sesat, serta menyeru kaum Muslimin agar kembali mengamalkan Islam yang syumul selaras dengan al Quran dan as Sunnah (dakwah dan tarbiyyah).

6. Menjadi agen penyatu atau pendamai sekiranya terdapat sahabat-sahabat kita yang Muslim ataupun kaum muslimin bergaduh dan berselisih. Sahutlah seruan Allah dalam al Quran,

Terjemahan :“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah al Hujurat 49:10)

7. Mengambil berat isu-isu semasa terutama berkaitan umat Islam seperti di Palestin, Syria, Mali, dan sebagainya.

8. Tunjukkan akhlak Islamiyah seperti mana yang di tunjukkan oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam tidak kira dalam apa jua situasi sama ada sedang berdebat, bermuamalat, dan sebagainya.

9. Dan terakhir sekali (sebenarnya bukan akhir sekali), sentiasa istiqomah dalam beramal dan sentiasa bersama kumpulan atau gerakan yang memperjuangkan Islam.


Sebenarnya banyak lagi langkah-langkah yang boleh kita lakukan, cumanya ini antara cadangan saya kepada diri saya dan orang lain. Usah kita keluarkan pelbagai langkah dan solusi, tetapi satu perkara pun kita tidak lakukan.

Jadi bila kita hendak lakukkannya?


Lakukan sekarang!


سيروا على بركة الله
Seeru ala barakatillah!


Moga amal diterima Allah.