Don't judge a blog by its followers

Tuesday, 30 April 2013

Impian Politik Saya


Malam ni penat menaip untuk thesis, jadi saya ambil masa untuk berehat sambil mengarang blog. Sebenarnya beberapa hari ini, banyak je nota yang saya nak buat dalam blog saya yang dah mula berhabuk ni.


*koff*koff*


Impian Seorang Pelajar


Saya ingat lagi masa saya zaman sekolah rendah, antara cita-cita pertama saya adalah nak menjadi askar. Kenapa nak jadi askar? Sebab impian saya nak mati syahid. Cikgu saya kata, kalau mati Syahid, dapat masuk syurga. Saya pun bersemangat nak jadi askar.

Masa saya sekolah rendah juga – seingat saya sekitar darjah 5 atau 6 – saya juga pernah menanamkan impian untuk mengislamkan  walaupun hanya seorang non Muslim dalam hidup saya –impian itu masih kekal sehingga hari ini-. Cikgu saya kata, jika berjaya Islamkan walaupun seorang non Muslim, insyaAllah dapat pahala Syahid.

Dan saya menanamkan impian itu dalam diri saya sekukuh-kukuhnya.

Apabila merangkak ke sekolah menengah, impian saya nak jadi askar semakin pudar, tetapi impian saya nak Islamkan (dakwah) kepada non Muslim semakin menebal disebabkan saya bergaul dengan ramai pelajar Cina dan India yang non Muslim. Untuk pengetahuan, masa saya sekolah rendah, saya hanya bergaul dengan pelajar Melayu Muslim saja, jadi tiada peluang sangat. Apabila masuk sekolah menengah, semangat saya berkobar-kobar.

Saya berkawan dengan beberapa orang non Muslim, dan cuba nak ceritakan tentang Islam kepada mereka walaupun saya sendiri tak tahu nak cakap apa.

Tapi di takdirkan Allah, saya hanya bersekolah di situ sekitar 2 tahun saja, kemudian saya berpindah ke sekolah Felda (kampung saya) disebabkan faktor keluarga.

Di sekolah tu tiada pelajar non Muslim, jadi saya sedikit kecewa. Tetapi apabila saya lihat sendiri perangai pelajar Melayu Muslim yang sangat teruk, saya sedih. Tak pelik lah sebelum ini ada kawan saya yang non Muslim cakap, perangai orang Melayu ini teruk, dan sekaligus bawak imej Islam yang teruk.

Saya akur dengan kenyataan itu. Masyarakat Melayu Muslim di sekeliling saya kebanyakkanya gagal menunjukkan qudwah (teladan) yang baik kepada non Muslim, mungkin itu menjadi faktor utama non Muslim di Malaysia takut masuk Islam, sebab beranggapan jika masuk Islam, bersamaan masuk Melayu. Bila jadi orang Melayu, jadilah malas, kurang hajar, gangster, kaki pukul, kaki perempuan, dan sebagainya.

Tetapi impian itu tetap saya tanam. Saya berazam untuk berdakwah kepada masyarakat khususnya bangsa Melayu agar kembali mengamalkan Islam dengan sempurna. Azam yang saya tanam bersama impian saya.

Kemudian sekitar saya tingkatan 4 (2007), saya mula ambil tahu perkembangan politik Malaysia. Tetapi waktu itu saluran maklumat saya terbatas, hanya Utusan Malaysia, Berita Harian dan Buletin TV3. Perkara yang menghairankan saya, tersangat-sangat hairan adalah kenapa dalam surat khabar dan berita tersebut, ashik menayangkan kesalahan pembangkang, iaitu PAS ketika itu.

Saya berfikir, adakah orang UMNO semuanya bagus-bagus belaka?

Apabila saya bergaul dengan orang UMNO yang “totok”, saya rasa lebih teruk dari apa yang digambarkan di media.

Di takdirkan, pakcik saya adalah orang kuat PAS (ketika itu, sekarang orang kuat PKR). Tetapi pakcik saya seorang yang panas baran. Dan ketika itu juga, dia melanggan surat khabar Harakah. Saya sempat membelek dan membaca surat khabar tersebut walaupun tak kesemuanya.

Kurang lebih sikit macam Utusan Malaysia, cuma bezanya Harakah ni islamik, tiada nombor ekor, dan tiada artis pakai seksi-seksi. (penilaian saya ketika tu)

Saya berfikir, kenapa parti UMNO dan PAS tidak mahu bersatu, sedangkan mereka adalah parti Melayu Muslim. Saya tinggalkan persoalan itu dalam benak fikiran saya, tetapi dalam masa yang sama, timbul impian baru saya – impian tersebut masih kekal sampai hari ini- iaitu saya mengimpikan parti UMNO dan PAS bergabung, kalau tidak pun bersatu di bawah satu bendera seperti Barisan Nasional (atau hari ini Pakatan Rakyat).

Pada tahun berikutnya, iaitu 2008 berlakunya Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) sekitar bulan April kalau saya tidak silap. Waktu itu pertama kali dalam hidup saya mengambil tahu tentang pilihanraya walaupun bukan secara serius.

Tetapi waktu itu juga saya hati saya kecewa kerana pergaduhan, caci maki hamun, kutuk mengutuk berlaku di antara penyokong parti UMNO dan PAS.

Saya kecewa dan sedih.

Sedih teramat sangat dengan perpecahan kaum Muslimin yang berlaku.

Sehingga pada suatu hari, ketika di perpustakaan sekolah, sedang saya membaca surat khabar Utusan Malaysia, seorang sahabat saya – Haziq – memberitahu saya,

“Shuk, kau baca benda ni pun, belum tentu betul. Kita tak tahu siapa yang betul, siapa yang salah. Bapak aku kata, baik kita tak payah ambil tahu..”


Saya tersentap.


Tak payah ambil tahu. Ya, tak perlu ambil tahu.

Seolah ada satu “suis” dalam kepala saya di matikan, lalu saat itu juga, saya tutup surat khabar tersebut, dan saya cari buku Kimia untuk saya ulangkaji pelajaran.

Dan itulah hari pertama bermulanya saya tidak mengambil tahu lagi hal ehwal politik Malaysia. Saya nak tengok berita dalam buletin TV3 pun saya malas. Apatah lagi baca surat khabar.

Juga ketika ini saya masih berfikir bagaimana untuk saya melaksanakan azam saya iaitu mengubah bangsa Melayu Muslim saya menjadi lebih baik agar menjadi teladan kepada non Muslim.

Dan ia berlarutan sehingga beberapa tahun…


2012 – Kesatuan Ummah membara!

Ketika tahun 2012, saya sedang berada di Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam tahun yang kedua pengajian. Tahun inilah, impian dan azam saya sebelum ini mendidih dan membara tidak seperti sebelum ini. Saya mula mengambil tahu hal ehwal politik Malaysia. Di tambah dengan penglibatan saya dalam sebuah organisasi atau gerakan Islam, maka saya menghidupkan semula “suis” kepada saya yang terhenti untuk seketika waktu. Saya juga sudah nampak bagaimana cara untuk melaksanakan azam saya iaitu untuk kembalikan bangsa saya, bangsa Melayu Muslim untuk kembali kepada Islam, iaitu dengan jalan dakwah dan tarbiyyah!

Ketika ini juga, impian saya untuk membangkitkan semula Kesatuan Ummah merentas Jemaah dan ideologi politik semakin membara. Saya tak pernah putus asa, bahkan sampai sekarang (tahun 2013). Walaupun saya lihat ia seolah mustahil terutama pada saat ini, saat di mana PRU-13 akan berlangsung, tetapi jika Allah mentakdirkan itu yang terbaik untuk hamba-Nya, tiada apa yang mustahil.

Mungkin apabila saya melaungkan kesatuan Ummah ini, orang akan menanggap saya dan gerakan yang saya sertai sebagai proksi UMNO, kerana disangka menjadi sebahagian talian hayat UMNO yang dijangkakan kalah PRU-13 ini.

Respon saya?

Allahu Musta'an. Impian politik saya ini bukan saya tanam baru tahun ini atau menjelang pilihanraya, tetapi impian ini saya tanam sejak saya di bangku sekolah lagi. Ia takkan pudar, sekali-kali takkan pudar.

Sampai bila?

Sampailah Islam diletakkan semula kepada tempat yang asal, iaitu menegakkan agama (Islam) dan mentadbir dunia dengannya.

 Dan saya yakin teramat sangat bahawa impian saya ini dikongsi oleh ramai lagi masyarakat Muslim di luar sana, meskipun ada juga yang tidak bersetuju dengan saya. Saya berlapang dada, ini adalah impian saya, dan kamu yang tidak bersetuju tidak boleh halang impian saya.


Dua impian saya serta azam saya (walaupun impian saya untuk menjadi askar kini tinggal kenangan) iaitu dakwah dan tarbiyyah kepada bangsa saya, berdakwah kepada non Muslim dan mengimpikan Kesatuan Ummah merentas Jemaah dan ideologi politik ini tidak akan terpadam, walaupun nyawa saya terpaksa menjadi galang ganti demi melaksanakan misi ini.

Moga saya dapat melaksanakannya.

 
Dan moga amal diterima Allah.


Comments
5 Comments

5 comments:

  1. Ana melalui jalan yang serupa: cakna, frust, tinggalkan dan kini kembali cakna dan cuba untuk berkerja menegakkan Islam. Dulu ana fikir tiadakah jalan tengah? Namun keadaan sekeliling mengejar A atau B. Alhamdulillah, manhaj taghyir (silibus perubahan) di sisi Ikhwan Muslimin memberi pencerahan dan menghidupkan semangat yang dulu mati.
    Apabila slogan MSIB dilaungkan, ana rasa seolah-olah suara hati didengari dan rupanya pendapat itu bukan pendapat anak-anak tingkatan 4 semata-mata.
    Untuk situasi negara sekarang, apa yang berlaku kepada rakyat adalah bersifat reaktif bagi ana. Reaktif terhadap apa yang dilalui depan mata. Walaupun ana yakin di sana ada pihak yang menginginkan perubahan atas daya proaktif dan hujah ilmiah masing-masing. Ya, di sana ada yang ana boleh setuju dan ada yang tidak. Namun ada dua perkara yang menyentuh hati melihat situasi ini:
    1) Sekalipun ada pihak berpendapat kenapa suara macam ana sibuk nak berbicara sekarang. Namun bagi ana, ana terkilan kerana baru sekarang menyatakan pendirian dengan jelas dan memulakan gerak kerja. Tiada isu 'tangguhkanlah dahulu sebaran dakwah kamu' lagi, kerana ana rasa dah agak lambat. Kesimpulannya, tiada alasan menoleh kebelakang, yang ada hanya menggandakan usaha.
    2) apa yang berlaku mengukuhkan keyakinan ana dengan fikrah yang dibawa fathi yakan, revolusi islam adalah revolusi menyeluruh. bukan sekadar pimpinan, bahkan setiap individu haru merevolusi dirinya daripada sudut aqidah, akhlak dan ia akan terpancar pada semua institusi syarak. dan ianya bagi ana tidak mungkin tercapai tanpa proses dakwah dan tarbiyah yang konsisten di setiap generasi.


    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju. Melayu Sepakat Islam Berdaulat, perlu dilihat dari konteks intipati, bukan luaran slogan. Ia boleh mudah difahami sekiranya dalam kepala kita tiada istilah, Melayu = UMNO.

      Seeru 'ala barakatillah

      Delete
  2. dan aku mempunyai tujuan dan semangat yang sama. Masih mengharap pucuk pimpinan UMNO dan PAS akan bergabung satu hari nanti demi meletakkan Islam pada tempatnya. Walaupon cita-cita aku menjadi sebhagian perajurit terkubur namun darah pahlawan y ada membuka mata aku terus menegakkan yang benar. dan yang salah tetap salah.

    #Usahamu dan perjuanganmu bagiku ramai lagi suara yang bersependapat dengan kita. Kita kena cari jalan utk membinanya. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bina dengan dakwah dan tarbiyyah, InsyaAllah :)

      Delete