Don't judge a blog by its followers

Sunday, 11 August 2013

Aku, hantaran dan pernikahan.



Hari ni dan semalam agak kecoh (err tak la berapa kecoh sangat) apabila semalam muka hadapan surat khabar Kosmo bertajuk “Ramai membujang lantaran hantaran mahal”.

Berita ni bertambah hangat terbakar apabila ditambah lagi dengan ayat
“Nilai anak dara berkelulusan ijazah boleh mencecah RM50 000”.

Itu baru ijazah (mungkin ijazah sarjana muda), macam mana pula dengan Sarjana (Master) dan PhD?

Sesuatu tak kena

Sebenarnya isu ni dah lama diperkatakan, malah sejak saya meja sekolah lagi. Saya ingat lagi dulu, masa di sekolah ramai kawan saya yang lelaki merungut hantaran perkahwinan mahal, malah mencecah puluhan ribu.

Walaupun saya tak berapa ambil kisah sangat, tapi terfikir juga.

Ya, kenapa mahal sangat? Tapi saya cuma pendamkan saja, sebab bagi saya masa tu, saya kahwin pun lama lagi.

Dan apabila semalam saya baca berita tentang tu, saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Saya tetap tak bersetuju dengan hantaran yang hanya sekadar adat je pun, tetapi nilainya ditinggikan sehingga memaksa para lelaki berhutang untuk berkahwin!

Tetapi dari sudut lain, saya merasakan sesuatu yang tak kena. Sesuatu yang saya sukar nak letakkannya dalam tulisan mahupun perkataan. Saya tak tahu bagaimana nak luahkan. Mungkin satu hari nanti jika saya faham bagaimana untuk di luahkan, saya akan kongsikan..

Nilai sebuah pernikahan.

Saya rasa saya bukan orang yang layak untuk menulis perkara ni, sebab saya belum bernikah lagi.

Tapi saya menulis berdasarkan pembacaan dan pengalaman berharga, termasuklah pengalaman saya sendiri yang pernah duduk di bawahpayung perkahwinan ibu bapa, dan pernah menangis bawah awan penceraian ibu bapa.

Apabila sebut bab pernikahan, ramai para pemuda pemudi terutama sekali mahasiswa/I yang bulat mata dan bersedia dengan penuh semangat untuk mengetahui lebih dalam tentang bab pernikahan.

Lantaran semangat yang membuak-buak, ada yang tanpa berfikir panjang terus memberitahu ibu bapa ingin berkahwin semasa di alam kampus.

Apabila ibu bapa tak mengizinkan, atau hantaran yang dikenakan dari pihak perempuan terlalu mahal, atau ada ibu bapa yang mahukan anaknya (terutama lelaki) mesti ada kerja, rumah dan kereta sendiri, ramai yang memberontak di dalam hati.

“Mak ayah ana tak faham lagi nih.. Kalau mak ayah ana orang dakwah, mesti dia bagi je ana kahwin awal..”

Keluhan yang saya kadang-kadang dengar. Jujurnya, saya dulu pun pernah berfikiran sebegini.

Ibu bapa tak faham dakwah dan tarbiyyah.

Itulah rungutan yang kebanyakkan dari kita (malah aktivis dakwah) sebutkan..

Tetapi..

Jarang antara kita yang cuba memahami dan mendalami, kenapa ibu bapa tak mengizinkan kita kahwin awal, ataupun bakal mertua meletakkan harga hantaran yang tinggi kepada kita (lelaki).


Beban, tugas dan tanggungjawab

Saya membaca buku “Aku terima Nikahnya” karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Habis baca buku tu, saya menangis sendirian.

Kenapa?

Akhirnya saya memahami kenapa ibu saya begitu berat untuk melepaskan saya kahwin awal. Saya faham kenapa ibu saya minta saya bekerja dahulu, mempunyai kenderaan dan rumah sendiri dulu.

Ibu saya masih belum bersedia untuk membiarkan anaknya menggalas beban, tugas dan tanggungjawab yang sangat berat di kemudian hari.

Ya, ibu saya belum bersedia. Ibu saya dah merasakan betapa peritnya sebuah penceraian rumah tangga, dan ibu saya tak mahu saya melaluinya pada masa akan datang.

Dulu saya gagal melihat sebuah pernikahan secara holistik (keseluruhan). Saya hanya melihat pernikahan itu dari kaca mata sentimental, romantis, dan kehendak hati.

Sedangkan nilai pernikahan menuntut lebih dari itu!

Ia melibatkan beban, tugas dan tanggungjawab.

Beban membina  dan mengukuhkan sebuah rumahtangga.
Tugas memberi nafkah serta membentuk makhluk yang bernyawa bernama manusia.
Serta tanggungjawab menjadikan manusia itu hamba dan khalifah di bumi Sang Pencipta.

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al Furqan ayat 74)


Moga Allah redha.

No comments:

Post a Comment