Don't judge a blog by its followers

Thursday, 15 August 2013

Saya benci ayah saya…




“Ibu, dekat makmal kita ada sorang abang ni namanya abang Hafiz. Dia pernah bekerja sama dengan ayah dulu, bawa van rokok. Saya minta tolong dia carikan ayah. Mana tahu boleh jumpa.” Saya bagitahu ibu tanpa saya terlintas ibu akan fikir lain dan terkilan.

“Kenapa kau nak jumpa ayah kau? Kau tahu kan ayah kau dah buat macam-macam dekat ibu.” Ibu mula menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan saya.

Saya terdiam.

Petang tadi sepanjang memandu sampai ke rumah, ibu meluahkan rasa marah dan sedih dengan sejarah lama. Sejarah antara ayah dan ibu satu ketika dulu. Ibu tidak setuju dengan tindakan saya hendak jumpa ayah saya semula dan ibu merasakan seolah saya seperti menyebelahi ayah.

Sedangkan tidak pernah.

Saya cuba minta ibu tidak perlu cerita lagi dan tukar topik, tetapi emosi ibu yang tidak stabil, ibu tetap meneruskan cerita dalam nada meluahkan perasaan.

Perasaan sedih, marah, kecewa.. semuanya bercampur baur.

Saya rasa serba salah dan menyesal buka topik tersebut. Saya minta maaf dengan ibu.

Saya rasa terkilan dengan tindakan saya tadi, tapi apakan daya.

Perasaan seorang wanita yang dikhianati suaminya satu ketika dulu, adalah perasaan yang sukar untuk digambarkan oleh seorang anak.

Seperti saya.

Ah.. saya benci apa yang berlaku dulu. Saya mengharapkan saya bukan anaknya. Saya benci ayah saya.

Tetapi……

Seburuk Mana Pun Dia.

Sampai sahaja rumah, saya termenung seketika. Memastikan rasional saya mengawal minda, agar tidak dipandu emosi yang tidak menentu.

Saya memang benci apa tindakan ayah satu ketika dulu kepada ibu saya hingga membawa penceraian mereka. Saya benci untuk tahu apa yang berlaku sebelum penceraian itu terjadi.  Tetapi ia suatu realiti yang pernah berlaku, dan saya tidak boleh lari dari itu.

Tetapi..  seburuk mana pun ayah saya, dia tetap ayah saya. Meskipun kalau dia menjadi Firaun sekalipun, dia tetap ayah saya.

Dan itu fakta yang tidak dapat diubah dan saya kena menerimanya.

Tetapi saya sedar dan faham, bahawa tidak WAJIB untuk saya menyayangi bapa saya, hatta ibu saya sendiri!

Allah tidak suruh itu. Sebab apa?

Sebab kasih sayang mustahil boleh dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang tidak diberi nafkah, diabaikan, tidak dijaga, dibiarkan malah pernah satu ketika hendak dijual dahulu, mampu membuta tuli menyayangi orang yang tidak menyayangi kita!

Tetapi Allah meletakkan kewajipan sebagai anak untuk berlaku IHSAN, BERBUAT BAIK dan MENGHORMATI ibu bapa. Ia bukan balasan kepada kebaikan ibu bapa terhadap kita, tetapi ia adalah suatu KEWAJIPAN dan TANGGUNGJAWAB kita sebagai anak, walau seburuk mana pun dia!

Tugas Seorang Anak


Ya, saya tenangkan diri sendiri.

Tugas saya sebagai seorang anak hanyalah tetap menghormati , menjaga kebajikan, mentaati dan memelihara serta memenuhi keperluan mereka selagi ia dibenarkan Syariat.

Biar kejam seorang ayah,
Biar curang seorang ibu,
Biarpun kafir dan sundal ibu dan ayah itu!

Bukan tugas seorang anak untuk menghukum mereka. Segala dosa mereka, kelalaian mereka, dan serba serbi kesalahan dan kekurangan mereka, mereka akan bertanggungjawab di depan Allah tentang apa yang mereka telah lakukan.

Rantai Kebencian


Jika di dunia ini hanya ada ibu bapa dan anak-anak sahaja, nescaya ibu bapa jahat akan sentiasa menzalimi anak-anak, dan anak-anak akan membalas dendam terhadap ibu bapa.

Sebab itu segala perkara akhirnya perlu dirujuk kepada DIA, Tuhan Pentadbir sekalian Alam.

Kita memohon keampunan kepada Allah agar Allah mengampunkan mereka. Jika ibu bapa kita jahat sekalipun kepada kita, kita mesti memberi MAAF TANPA SYARAT seperti mana Allah mengampunkan kita tanpa syarat.

Jika jiwa kita sempit untuk memaafkan ibu bapa kita, nescaya Allah jua akan menyempitkan keampunan untuk kita yang banyak dosa ini.

Menghormati mereka, cukup dengan kita TIDAK MEMBALAS kejahatan mereka dengan kejahatan kita. Sedangkan kita banyak berbuat jahat kepada Allah, tetapi Allah sentiasa Maha Tahu untuk “berbuat baik” kepada kita.

Maka, seorang anak tidak perlu ulang rantai kejahatan dan akhirnya melahirkan rantai kebencian yang berpanjangan sehingga ke anak cucu.

Kewajipan Tanpa Kasih Sayang

Sangat berat untuk melaksanakan sebuah kewajipan tanpa adanya rasa sayang.

Ya, sangat berat kerana saya sedang mengalaminya. Ingin melaksanakan sebuah tanggungjawab dan kewajipan kepada ayah saya dalam keadaan saya benci dan geram kepadanya.

Ia adalah sebuah beban.

Kewajipan adalah sentiasa melakukan perlakuan baik terhadap ibu bapa meskipun layanannya sangat teruk kepada kita. Kerana ia adalah TANGGUNGJAWAB anak sebagai anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Kita perlu TANGGUNG beban itu dan kemudian kita JAWAB di Negeri Akhirat kelak.
Saya teringat kisah di mana satu ketika Umar al-Khattab radiyallahu anhu dan beebrapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “Apakah perihalnya kamu ini?”

Perempuan itu menjawab, “Yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku.”

Umar al-Khattab radiyallahu anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “Wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya.”

Perempuan itu membalas, “ Tidak ya Amir al-Mukminin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaga ketika dia tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”

Nasihat saya kepada anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang berbuat baik kepada anda, maka taatlah kamu setaat yang mungkin kepada mereka.

Dan sayangilah mereka sepenuh hati kamu dalam melaksanakan tanggungjawab kamu sebagai anak.

Sebabnya, binasalah si anak yang lupakan peringatan dari kisah ini!


Moga Allah redha.


Comments
2 Comments

2 comments:

  1. Bagaimana kalo bapa berdendam dengan anak hanya kerana kita tidak bole terima anak angkat dia dilebihkan melampaui anak sendiri?

    ReplyDelete