Don't judge a blog by its followers

Sunday, 22 September 2013

Kepada penyokong parti Melayu dan penyokong parti Islam.



Situasi 1 :

“Makcik, kenapa tak beli barang dapur di kedai sana tu?” sambil saya menunjukkan beliau kepada sebuah kedai melayu berhampiran dengan kami setelah kami keluar dari sebuah kedai runcit.

“Kenapa dengan kedai yang makcik pergi ni? Ada masalah?” muka makcik sedikit berubah dengan soalan saya. Makcik sudah biasa membeli barang dapur di sebuah kedai bukan melayu berhampiran rumahnya.

“Bukan apa makcik, kita sokonglah produk atau perniagaan melayu. Sedikit sebanyak boleh bantu ekonomi orang Melayu naik.” Saya memberikan sedikit pandangan saya.

“Ah kau ni. Kita duduk di Malaysia ni buat apa nak berkira sangat. Barulah 1 Malaysia. Bukan ada masalah pun kalau kita pergi atau beli barang orang cina atau india. Lagipun kedai melayu banyak barang mahal, mencekik darah. Sesama melayu pun nak ‘makan’.” Makcik berleter pada saya dengan nada yang agak tegas.

“Bukan apa makcik, kita…….” tak sempat saya habiskan percakapan saya, makcik terus memotong kata-kata saya.

“Dah jom balik. Cuaca panas ni. Nanti bila nak masak. Malas makcik layan kau.” Makcik terus berjalan sambil membuka payungnya yang berlogo UMNO untuk mengelak cahaya matahari yang membahang.

Saya mengeluh..


Situasi 2 :

“Syeikh, teman ana pergi kedai runcit.” ajak teman serumah saya keluar.

“kedai runcit yang mana?” saya teringin nak tahu ke mana kedai yang ingin kami tuju.

“Alaa, kedai depan tu ha..” beliau menuding jari kepada sebuah kedai yang tidak jauh dengan kami.

“Ooh.. err.. apa kata kita pergi kedai yang sebelah tu.” saya memberikan cadangan padanya.

“Kenapa pula? Sebab bukan kedai melayu? Kemon (baca : come on) la, kita beli barang dapur je pun. Bukan kita pergi kedai makan.” Kawan saya malas nak melayan permintaan saya.

“Ala syeikh, ana bukan apa. Kita sokong la produk atau perniagaan orang Melayu atau orang Islam. Kita tak rugi apa pun, membantu sesama Muslim untuk tingkatkan ekonomi orang Islam di Malaysia ni.” Saya memberikan penjelasan atas ajakan saya.

“Anta ni rasis sangat la. Apa ada hal dengan kedai non Muslim pun? Bukannya mereka semua kafir harbi pun macam zionis atau USA untuk kita boikot. Dah la, kalau anta tak nak pergi, biar ana pergi sorang. Anta balik rumah je.” Kawan saya terus meninggalkan saya di belakang sambil berjalan memakai baju bertulis ‘Anak Muda Sokong PAS’.

Saya mengeluh lagi..



Apa Ada Hal Dengan Melayu Dan Islam?

Dialog di atas adalah rekaan semata-mata. Tetapi saya pernah mengalami kedua-dua situasi di atas cumanya berlainan tempat, waktu, dialog dan ‘watak’nya.

Ya, berhadapan dengan golongan yang menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada sebuah Parti Melayu dan satu lagi golongan yang menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada sebuah Parti Islam.

Tiada masalah nak sokong parti mana pun, itu terpulang pada masing-masing. Cumanya, bukan setiap benda dan setiap saat dalam hidup kita hendak dikaitkan dengan politik keparitan.

Eh, politik kepartian. *batuk kecil*

Contohnya dalam urusan ekonomi dan perniagaan, apa masalahnya kalau kita sama-sama menyokong perniagaan dan produk sesama Melayu dan Muslim?

Tetapi bila kita kemukakan pandangan macam ni, sebahagian dari dua golongan ini akan kata kita ini tidak 1 Malaysia lah, rasis dengan bangsa lain lah, asalkan bukan UMNO lah, ini semua dakyah pembangkanglah, bersyukur Malaysia masih amanlah (eh?) atau apa-apa tohmahan atau kutukan yang dicampakkan kepada kita.

Kemangkukkan apakah yang melanda dalam mentaliti makhluk sebegini?

Kata sokong parti Melayu sebab nak bangkitkan bangsa Melayu, jadi apa masalahnya kalau sokong dan utamakan produk, barangan atau apa-apa agenda berkaitan Melayu walaupun datang dari mana-mana pihak hatta dari pembangkang sekalipun?

Kata sokong parti Islam sebab nak bangkitkan umat Islam dan Negara Islam, jadi apa masalahnya kalau sokong dan utamakan produk, barangan atau apa-apa agenda berkaitan Islam walaupun datang dari mana-mana pihak hatta dari kerajaan sekalipun?

Takkan la sokong semata-mata HANYASANYA kerana PARTI sahaja? Bila datang kepada perkara lain, sokongan dan keutamaan kita berubah arah berlintang pukang?

Perbezaan Memberikan Sokongan Dan Keutamaan Dengan Boikot.

Inilah kesalahan terbesar mentaliti sebahagian besar penduduk di bumi Malaysia yang aman damai indah permai ini. Cewah.

Iaitu menyamakan atau ‘menyekalikan’ antara sokongan/keutamaan dengan boikot.

Bila kita ajak untuk memberikan sokongan dan keutamaan kepada produk Melayu dan Muslim, maka ramai akan berfikir kita kena boikot produk bukan Melayu dan bukan Muslim.

Padahal memberi sokongan dan keutamaan itu tidak semestinya memboikot produk lain.

Bukannya kalau bukan A, mesti B!

Tetapi kalau kita boikot, sudah semestinya kita tidak sokong dan memberi keutamaan kepada sesuatu itu. Seperti boikot Makcik Mekdi, Kokak Kola, dan beberapa lagi.

Sebagai contoh kedai motor, kalau di tempat kita ada 10 kedai motor dan hanya satu saja kedai motor Melayu Muslim, maka apa salahnya pergi ke kedai motor Melayu Muslim itu walaupun kedainya sekecil pondok ngaji dan kedai motor yang bukan Muslim lainnya sebesar gergasi!

Kecualilah jika di sana tiada lagi produk Melayu dan Muslim, maka barulah beli yang lain asalkan menepati garis panduan syarak (halal dan bersih).

Contoh lain, kalau di tempat kita ada 5 kedai kereta, dan kesemuanya milik bukan Muslim, masa itu barulah kita pergi mana yang berhampiran, murah dan menawarkan servis yang terbaik.

Masalah Kedai Melayu Dan Muslim

Ya, saya tidak menafikan ada sebahagian kedai Melayu dan Muslim yang ‘mencekik darah’. Malah tidak kurang juga yang suka menipu.

Apa susah, pergilah buat komen pada kedai tersebut. Bukannya boikot terus lantas menyatakan semua kedai Melayu dan Muslim mahal, cekik darah, dan kuat menipu.

Dah tu, ‘bajek’ kedai bukan Melayu dan bukan Muslim semuanya jujur dan amanah belaka?

Saya bukan nak menimbulkan sentimen keagamaan atau sentimen perkauman yang negatif, tetapi saya nak mengajak untuk kita berfikir,

sekadar mahal seringgit dua, apa salahnya kalau kita ‘tutup mata’ je? Dan kalau mahal sangat, kita nasihatkan dia, sebagai sesama bangsa dan sesama Muslim.

Pengalaman saya, pernah sekali saya pergi ke kedai motor ini, dan pernah dia mencuba untuk ‘menipu’ harga dengan saya. Saya tahu harga biasa di kedai lain lebih murah. Tetapi saya senyum dan buat biasa saja dan terus bayar.

Namun satu perkara yang saya nampak sangat jelas, iaitu riak wajahnya.

Orang Melayu atau Muslim, kalau hendak menipu, dia akan teragak-agak. Sebab apa?

Keterikatan hati dan pemikiran kita dengan Islam.

Dia tetap menipu, tetapi riak wajahnya tidak mampu menipu orang lain.

Saya bukannya orang kaya, malah masih pelajar lagi. Malah buat pinjaman PTPTN lagi. Tetapi saya selalu fikir, kalau perkara yang tak bermanfaat saya boleh berkompromi dengan duit walaupun ia mahal (contoh pergi shopping, atau apa-apa la), inikan pula perkara yang saya boleh membantu sesama Melayu dan sesama kaum Muslimin?

Kepada pekedai, peniaga, pengusaha, hatta bos Melayu dan Muslim yang sudi membaca tulisan saya, jika kita nak orang lain membeli barangan atau produk anda demi membantu sesama Melayu atau sesama Muslim, kenapa tidak anda juga membantu kami dengan berlaku jujur dan amanah dalam urusan jual beli dan perniagaan?

Entahlah, ini pandangan saya. Anda nak campak tepi pun suka hati lah.


Kesepakatan


Tulisan panjang berjela ini hanya coretan dan luahan hati saya berdasarkan pengalaman dan persekitaran saya.

Saya tulis ini bukan nak memaksa anda terima pandangan dan cadangan saya. Tetapi sekadar memberi cetusan idea kepada anda terutama sekali kepada penyokong tegar parti Melayu dan parti Islam agar sama-sama dapat bersepakat atas kepentingan agama dan bangsa melebihi kepentingan diri dan puak sendiri. 

Anda boleh saja untuk membuang tulisan saya ke tepian atau 'menanam' tulisan saya ke pedalaman. Oh ya, kepada yang slow, saya menulis Melayu dan Muslim bukan bermakna saya mengabaikan Cina Muslim, India Muslim, Kadazan Muslim, Iban Muslim, Bidayuh Muslim, atau apa-apa jua. Muslim itu sudah menggambarkan seluruh bangsa yang beragama Islam. Sebab itu saya tulis 'Melayu dan Muslim', bukan 'Melayu Muslim'..

Sebelum saya tamatkan tulisan saya, saya ada satu pengalaman nak dikongsikan. Sesiapa yang tinggal di Bandar Baru Bangi, anda pasti akan mengenali kedai mamak Ameer Ali dan Farez Maju. Kedai mamak ini terletak berdepan antara satu sama lain.

Tetapi yang uniknya, kedua-dua kedai ini selalu dikunjungi oleh ramai orang, terutama sekali kalau ada ‘game’ bola sepak sama ada di Astro atau channel tempatan. Dan kedua-dua kedai ini berdiri maju walaupun meskipun kedai yang berlainan.

Sebab apa?

Mereka bersepakat atas kepentingan bisnes mereka.

Dan lagi satu, mesti anda pernah dengar mengenai Europian Union atau Kesatuan Eropah (EU). Saya tidak membanggakan pun Barat atau Eropah. Malah tidak pernah ‘menggilai’ mereka.

Tetapi sebusuk-busuk Eropah, walaupun mereka mempunyai ideologi yang pelbagai, pemikiran yang pelbagai, tetapi mereka boleh bertolak ansur dengan sentimen masing-masing terutamanya terhadap sempadan negara.  Dan akhirnya mereka mampu membentuk sebuah Kesatuan Eropah.

Kita yang Muslim dengan satu Tuhan, satu Rasul, satu Kitab, satu Kiblat dan satu Syariat, adakah ia mampu menghasilkan sebuah KESATUAN?

Kesatuan Melayu?

Kesatuan Muslim?

Ok lah, kita tukar kepada kesepakatan kaum Muslimin dan kaum Melayu sebab untuk kita bersatu itu mungkin jauh lagi walaupun ia tidak mustahil.

Sejauh mana kita mampu bersepakat demi kepentingan agama dan bangsa dalam pelbagai hal tanpa mementingkan perut dan puak sendiri?

Mereka sudah, kita bila lagi?

Tepuk dahi, lu fikir sendiri.


Moga Allah redha

Comments
1 Comments

1 comment:

  1. Berkaitan artikel ini saya fikir apa-apa sahaja yang bertujuan untuk membangunkan kemajuan sesuatu bangsa sngt dianggap baik. Ianya adalah disebabkan membangunkan tahap ekonomi dan keintelektualan. Cuma jgn menekan kaum yang berlainan.

    Tidak ada masalah untuk bermuamalat (berurusan) dengan mana-mana kaum cuma yang paling penting soal urusan yang dijalankan. Samada baik atau buruk urusan itu.

    Urusan muamalat juga satu pilihan individu yang tidak disyaratkan samada wajib sesama kaum atau agama. Cumanya strategi untuk membangunkan sesuatu kaum. Baik, sekiranya sesuatu kaum melakukan perkara yang sama, justeru pasti semua kaum dalam keadaan yang maju dan ke depan. Jika tiada yang berniat jahat dan menjatuhkan yang satu lagi.

    ReplyDelete