Don't judge a blog by its followers

Sunday, 20 October 2013

HIMMAH 2.0 : Kepimpinan Yang Perlu Diberanakkan.



Semalam (19/10/2013) saya menghadiri sebuah nadwah (sejenis aktiviti tarbiyyah selain dari usrah) iaitu Himpunan Mahasiswa 2.0 yang dianjurkan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) di UPM. Menghadiri sebuah himpunan yang dihadiri oleh batang tubuh yang berusaha untuk mencari redha ilahi, membuatkan saya terasa kerdil di sisi mereka semua.

Ibarat seekor semut hitam bersama dengan sekumpulan besar singa dan harimau.

Terasa ingin saya karang dan kongsikan setiap perkara yang saya dapat. Rasanya jika saya dapat kongsikan setiap detik tersebut, mungkin saya dapat membuat sebuah buku agaknya.

Tetapi cukup untuk saya kongsikan beberapa perkongsian mengenai kepimpinan yang di sampaikan oleh al fadhil Dr Aznan Hasan, seorang alim yang sangat saya kagumi. Bukan hanya saya kagumi ilmu yang mencurah-curah dari beliau, malah saya sosok batang tubuhnya yang mana beliau amat lantang apabila bersuara cukup membuat saya terpana.

Kepimpinan Adalah Pengaruh


Menurut seorang sarjana barat (saya terlupa namanya), leadership atau kepimpnan adalah seseorang yang mempunyai kekuatan pengaruh (yang bukan erti kata memerintah) yang mampu untuk mengumpulkan kekuatan orang lain bagi menyelesaikan sesuatu misi.

Dengan erti kata lain, kepimpinan adalah pengaruh.

Perkara ni dah dijelaskan oleh Saidina Umar al Khattab yang dinaqalkan oleh Ibn Qayyim al Jauziyyah, yang mana beliau menyebutkan (lebih kurang mafhumnya) ;

“Aku hendak seseorang lelaki jika sekiranya dia berada dalam sekelompok manusia dan ia bukan ketua kelompok itu tetapi dia seolah-olah ketua kumpulan itu, tetapi sekiranya dia seorang ketua, dia seolah seperti salah seorang dari kita”

Kepimpinan Yang Ada Dalam Setiap Batang Tubuh

Saya masih ingat lagi tegasan yang dibuat oleh Dr Aznan yang mana beliau dengan lantang memberitahu bahawa setiap batang tubuh ahli PEMBINA kena sedar dan faham bahawa mereka adalah PEMIMPIN!

Samada pemimpin melalui jawatan atau pemimpin melalui teladan.

Jadi apa yang perlu dilakukan sebagai pemimpin?

Ini antara point yang Dr Aznan tegaskan apa yang perlu dilakukan, iaitu :

1. Kena faham tuntutan PRIORITI atau keutamaan.

Ibn Qayyim pernah menyatakan bahawa syaitan akan berusaha menyesatkan manusia tanpa putus asa secara berperingkat atau “bervisi” (tambahan saya) iaitu ;

1) Menyesatkan manusia hingga kafir. Jika tidak mampu, mereka akan,
2) Menyesatkan manusia hingga mengamalkan atau melakukan perkara bida’ah.
3) Jika tidak mampu lagi, mereka akan menyesatkan sehingga manusia melakukan dosa besar.
4) Tetapi jika masih tidak mampu lagi, mereka akan menyesatkan dengan membuat manusia berterusan dengan dosa kecil.
5) Jika masih tidak mampu lagi, mereka akan menyesatkan dengan menggalakkan manusia melakukan perkara mubah (harus). Contohnya seperti makan dengan berlebihan, melalaikan dengan bermain game, dan sebagainya.
6) Dan senjata yang terakhir sekali di mana hampir setiap duat (pendakwah) tewas dengan godaan ini adalah dengan mereka menyesatkan manusia  dengan meletakkan atau menentukan aulalwiyyat (keutamaan) yang salah!

2. Bekerja secara berjemaah.
3. Bekerja dalam circle of influence (pengaruh persekitaran seperti kawan-kawan, adik beradik dan sebagainya)
4. Memberi contoh melalui teladan
5. Memberi inspirasi kepada orang lain
6. Bersifat optimistik dan konfiden
7. Bergerak dan bekerja dengan ilmu
Dan yang terakhir sekali adalah mesti proaktif!

Apa Dakwah PEMBINA?

Dakwah yang memberi maksud (secara umum) adalah seruan. Ya, apa seruan PEMBINA?

Dakwah PEMBINA adalah dakwah Islamiyyah. Dakwah Islamiyyah adalah dakwah yang menyeru manusia kepada Allah dan meninggalkan segala jahiliyyah dan kebatilan samada dari sudut akidah (termasuk ideologi), syariah dan akhlak. Dakwah Islamiyyah bukan dakwah yang pragmatis (mengikut sesuatu tanpa prinsip), tetapi ia adalah dakwah prinsip yang bersifat akomodatif (memberi ruang atau acuan untuk faham).

Masih terngiang-ngiang pesanan Dr Aznan yang mana beliau menyatakan, dalam dakwah PEMBINA dan ISMA, kita tidak mahu “pak turut” (mengikut tanpa ilmu) dan taksub. Kita seorang yang taat dalam bentuk yang faham dan proaktif.

 Untuk menghasilkan taat itu, kita kena ada ilmu. Dan untuk ada ilmu itu, kita kena faham sesuatu perkara dengan sungguh-sungguh!

Bangkitlah dengan HIMMAH!


Himmah ini bukan sekadar akronim untuk Himpunan Mahasiswa, malah ia adalah perkataan arab yang memberi makna “semangat yang berkobar-kobar”. Tetapi sebenarnya ia memberi maksud lebih dari semangat, sesuatu yang sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan melayu.

Saya teringat kata-kata Umar al Khattab ,

“Janganlah kamu mengecilkan himmah kamu, kerana aku tidak nampak kemuliaan pada orang yang mempunyai himmah yang lemah”

Dan sebuah kata-kata dari Ibn Qayyim untuk renungan ikhwah dan akhwat sekalian,

“Di antara tanda-tanda orang yang mempunyai kesempurnaan akal adalah orang yang tinggi himmah, tetapi tanda-tanda orang yang lemah akalnya adalah orang yang hina.”

Moga PEMBINA mampu meneraju arus mahasiswa!


Moga Allah redha.


No comments:

Post a Comment