Don't judge a blog by its followers

Thursday, 21 November 2013

Cerpen : Aku nak bercouple boleh tak?


“Allah... cantiknya perempuan tu. Macam bidadari dari kayangan seh! Ini yang aku suka kuliah ni!”

“Oh yeke. Baguslah tu, rezeki dia Allah bagi cantik.”

“Ala... kau tengoklah  Aiman. Mesti kau pun ternganga punya.”

Aiman menggelengkan kepala melihat kembarnya.

“Ah kau ni. Aku kuat iman kot. Hehe. Hmm... yang mana?”

“Puih. Haha. Tu ha yang  pakai tudung labuh dan muka putih comel tu. Kalau jadi makmun aku, alangkah bahagianya dunia baitul Muslim aku... Kau tak terasa macam tu ke Aiman? Ke kau tak de nafsu? Hehe.” Danial tersengih.

Aiman terkesima seketika apabila melihat pelajar muslimah itu. Dia menarik nafas panjang. Terus Aiman memandang ke muka Danial yang sedang tersengih.

“ Ish kau ni dani, pantang nampak dahi licin, naik tocang...  Solat jemaah kat masjid pun kadang-kadang miss. Dah la, jom balik bilik.”

Aiman terus mengangkat beg dan keluar dari dewan kuliah.

Heh. "Kau kalau tak bagi ayat berasid spesis lebur makan dalam, tak boleh ke?"

“Haha.”

Aiman gelak sendirian.


-----------


“Aiman, aku nak minta fatwa kau boleh tak?”

“Boleh, tunggu 10 tahun lagi.”

“Haha.”

Hanis tergelak dengan respon spontan Aiman.

“ok aku nak minta pendapat kau. Ke nak kena tunggu 10 tahun lagi? Hehe.”

Aiman tergelak kecil.

“Haha. Apa dia? Kalau kau tanya hukum hakam yang kompleks, aku tak da jawapan untuk kau.”

“Okay, kau kenal Mariam?”

Aiman mengerut dahi..

“Alah, budak kuliah kita yang yang cantik tuh, yang bergaya muslimah sejati akhir zaman.”

Aiman tiba-tiba terbayang senyuman Mariam yang manis ketika pembentangan tugasan semasa di kuliah tempoh hari.

“Oh. Ha, ada apa dengan dia?”

“Kau jangan cakap pada orang lain. Hmm... Aku...”

Aiman merenung Hanis dengan terangkat sebelah kening.

“Aku apa?”

“Sabar lah. Aku... Aku suka kat dia..” Hanis tersengih.

“Oh. Alhamdulillah..” Aiman senyum segaris.

Hanis sedikit terkejut dengan respon Aiman.

“Kau perli aku ke apa ni?” Hanis mengerut dahi sambil mengambil sebotol air mineral untuk diminum.

“Mana ada perli. Betullah aku cakap. Alhamdulillah kau masih normal lagi. Bukan gay.” Aiman tersengih.

Tersembur air mineral dari mulut Hanis.

“Selekehlah kau. Ha, dah tu kenapa pun kalau kau suka dia?”

Hanis mengelap mulutnya dan meletakkan air mineral di sebelahnya.

“Kalau aku ketuk kau dengan botol mineral ni, baru kau tahu. Hadoi.” Hanis merungut.

Aiman senyum dengan rungutan Hanis.

“Macam ni. Hari tu aku ada mesej dia. Aku nak bagitau perasaan aku pada dia...” Hanis menyambung cerita.

“Then?”

“Tapi aku segan. Aku... aku nak dia jadi isteri aku. Cumanya, yelah kita masih belajar lagi.”

“Ok. Then?” Aiman mendengar dengan khusyuk dan tawaduk.

“ Tapi aku tak nak kehilangan dia. Aku nak couple dengan dia. Nak jadikan dia isteri belum mampu, aku nak dia jadi awek aku dulu. Itupun kalau dia terima.” Hanis menghela nafasnya.

Aiman mengangkat sebelah kening.

“Kau tahu apa hukum bercouple bagai ni?” Aiman mula bertanya.

Hanis mengerut dahi.

“Ada hukum ke?”

Aiman tersenyum.

“Dalam Islam, kita terikat dengan hukum. Dari bangun tidur sampai kita tidur semula, hatta sampai masuk lubang kubur. Makan, minum, jalan-jalan, pergi kuliah, baca buku, baca Naruto, dan semuanya ada hukum. Hatta nak gerakkan tangan pun ada hukum.”

Hanis makin mengerut dahi.

“Apa hukum gerakkan tangan?”

“Ada satu kaedah fiqh yang menyatakan lebih kurang macam ni, setiap perkara atau perbuatan yang dilakukan adalah harus selagi mana ia tidak dijelaskan hukumnya oleh Allah dan Rasul-Nya secara jelas dalam Al Quran atau As Sunnah. Dan hukum ini berubah mengikut tempat, masa, waktu dan ketika.”

Hanis menggarukan kepala yang tidak gatal.

“Cuba kau jangan cakap bahasa langit. Aku tak faham sangat. Bagi la contoh.”

“Haha. Ok, contohnya makan nasi. Hukumnya harus. Kalau makan berlebihan sampai terlampau kenyang, boleh jadi makruh. Kalau makan nasi hasil dari mencuri hukumnya haram.”

Hanis menangguk.

“Hukum couple?” Hanis semakin berminat nak mengetahui.

Aiman senyum.

“Aku tak pandai nak menjatuhkan apa-apa hukum selagi mana perkara tu tak jelas atau bersuluh. Kalau nak tengok hukum terperinci, kau cuba beli buku “Bolehkah bercouple” keluaran Telaga Biru. Cumanya aku nak tanya kau, kenapa kau nak couple dengan dia?”

Hanis termenung seketika.

“Mungkin sebab aku tak nak kehilangan dia. Aku nak dia dengan aku.”

Aiman memandang mata Hanis.

“Kau agak, kalau kau couple dengan dia, kau confirm boleh kahwin dengan dia?” Aiman mula menduga.

Hanis berfikir sejenak. Teringat kawan-kawannya ada yang couple sampai bertahun-tahun kemudian putus, ada yang baru beberapa hari, lepas tu putus. Sampai ada yang frust tonggeng sebab putus terutama kawannya yang perempuan.

“Habis tu macam mana? Takkan aku nak biarkan saja. Nanti melepas bai...”

Aiman membaringkan diri untuk memandang langit di atas padang tempat mereka berehat dari jogging.

“Ingat tak eksperimen kimia kita yang gagal hari tu. Kau rasa sebab apa?”

Hanis menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Apa kebendalah kau ni menyimpang punyalah ke laut. Err... mungkin sebab kita tak ikut prosedur buku manual tu kot. Kenapa?”

Aiman tersengih.

“Allah jadikan manusia ini ada perasaan cinta dan kasih sayang. Itu lumrah manusia. Tiada manusia yang tak mahukan cinta dan kasih sayang. Tetapi Allah juga turunkan Islam berserta AL Quran sebagai manual agar manusia mengikut prosedur yang telah ditetapkan supaya dapat mengawal perasaan cinta dan kasih sayang itu dengan sebaiknya. Tetapi kena faham baik-baik, Islam bukan saja diturunkan untuk mengawal perasaan cinta dan kasih sayang saja, malah lebih luas dari itu.”

“Apa dia?” Hanis mengerut dahi.

“Highway of life.”

Hanis menangguk. Dia pun turut baring sekali memandang langit.

“Cinta dan kasih sayang itu sepatutnya ditumpahkan kepada orang yang betul supaya satu hari nanti kita tidak menyesal. Letak ketepi dulu cinta kepada Allah, Rasul-Nya dan yang biasa kita dengar. Sekarang ni apa aku nak kata tentang cinta antara lelaki dan perempuan.”

“Antara prosedur yang Allah dan Rasul-Nya ajar kepada manusia adalah dengan berkahwin.”

Hanis termenung. Memikirkan tentang persoalan kahwin barangkali.

“Tetapi kalau tak mampu berkahwin, Rasulullah sallahu alayhi wasallam ajar agar berpuasa. Puasa bukan puasa yang “cap ayam”, tetapi puasa dengan penuh ketaqwaan. Baru betul-betul berkesan. Dan dalam masa yang sama baginda juga ajar untuk menundukkan pandangan apabila berhadapan dengan perempuan kalau pandangan itu tidak bertujuan apa-apa.”

Hanis menghelakan nafasnya.

“Hanis, jodoh ini macam rezeki. Dah ditetapkan pun. Cuma apa yang perlu kita lakukan adalah dengan ikhtiar untuk mencari.”

“Serius?”

Hanis terus terduduk. Bersinar-sinar matanya.

Aiman tergelak.

“Kalau kau suka pada dia, cukup saja kau pendamkan perasaan kau. Dan yang paling penting sekali...”

Hanis mengangkat kening.

“Doa. Kita kan ada Allah. Kita bukan makhluk yang tidak mengaku tuhan. Doa sungguh-sungguh, dalam masa yang sama, buat persediaan yang rapi dan sebaiknya.”

“Persediaan macam mana?” Hanis menggaru kepalanya.

“Persediaan ilmu, persediaan fizikal, dan persediaan mental. Kena ada ilmu tentang munakahat, kena ada persediaan kewangan sedikit, dan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan atau pergaduhan selepas mendirikan rumahtangga. Tentang kewangan, walaupun ia bukanlah syarat, tetapi untuk hari ini, ia menjadi satu keperluan. Aku rasa kau pun faham. “

“Kalau kau dah rasa cukup bersedia termasuk dengan kewangan, maka yakinkan pula mak ayah kau yang kau mampu jaga anak orang. Kalau mereka dah yakin, maka teruslah melamar.”

Aiman mengambil sedikit nafas dan memberikan senyum sebagai sebuah suntikan anjakan paradigma baru kepada Hanis.

“Hmm.. Kalau dia dah dilamar orang?” Hanis mengeluh.

“Ramai lagi muslimat akhir zaman dalam dunia ni. Belum pupus lagi. Mai ikut aku join ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia), kami ada unit Baitul Muslim yang mana menguruskan hal-hal macam ni. Tapi ada prosedurnya lah.”

Hanis memandang Aiman dengan mata yang bersinar gemerlapan.

“Kau jangan buat muka nak kena penyepak boleh tak?” Aiman gelengkan kepala.

“Haha. Macam mana nak join ISMA?”

“Malam nanti ikut aku pergi usrah. Nanti aku kenalkan kau pada murabbi aku. Amacam, ada bran?”

“Demi sebuah masa depan yang gemilang terbilang, aku rela mengikuti kau Aiman.”

“Puih! Tak payah nak bersinetron petang ni la.”

Aiman dan Hanis bergelak besar.

“Hah, kau masih tak menjawab persoalan aku lepas kau bebel panjang-panjang ni. Jadi apa hukum bercouple ni?”

“Heh. Ingat lagi kau rupanya. Ingatkan dah lupa. Aku ambil pendapat yang paling keras dan aku yakin paling benar, iaitu haram bercouple dengan nafsu dan syahwat dengan perempuan bukan mahram.”

“Oh.. Tak boleh couple lah ni. Kan senang kalau kau cakap dari awal.” Hanis mengerut dahi.

“Boleh couple lah...” Aiman menduga.

Terbeliak biji mati Hanis. Dia mengangkat keningnya.

“Selepas kahwin?” Hanis menduga sambungan ayat Aiman.

“Selepas nikah. Dah jom balik. Dah nak maghrib ni...” Aiman terus bangun dan mencapai basikalnya.

“Ceh... lebih kuranglah tuh.” Hanis mencebik bibir.


“Alhamdulillah, aku bersyukur ya Allah kerana mempunyai sahabat seperti Aiman. Moga kami terus bersahabat sampai ke syurga..” Hanis bermonolog sendirian lantas mencapai basikalnya.


---

Moga Allah Redha

Thursday, 14 November 2013

ISMA, Marina, Comango dan Saman


Dengan mengenepikan terlebih dahulu proses, prosedur dan aspek-aspek teknikal mahkamah, ada beberapa senario yang saya jangka akan berlaku sekiranya Marina Mahathir (MM) mengheret ISMA ke kandang mahkamah.

Saya bukan tukang tilik atau Nujum Pak belalang yang boleh meramal masa depan atau keputusan mahkamah nanti. Tapi pada pandangan saya, telahan-telahan berikut masih lagi boleh dianggap munasabah dan tidak keterlaluan.

Pertama:

Kes ini akan menjadi sensasi kerana melibatkan individu dan organisasi berprofail tinggi. Masyarakat secara umumnya sudah mengenali siapa dia MM, tetapi ISMA akan menjadi perhatian dan tumpuan ramai, termasuk dari media tempatan dan antarabangsa. Apatah lagi, isu yang menjadi tajuk perbicaraan nanti bukanlah sebarangan isu.

Agenda, program-program, pemegang-pemegang utama jawatan dan para pemimpin ISMA akan menjadi sorotan dan bahan perbahasan dan analisa. 

Kedua:

Perbicaraan ini akan diikuti dengan penuh minat oleh kerana ia melibatkan integriti dan kewibawaan dua pihak yang berprinsip. Buatlah carian di Google atau telitilah laman web masing-masing dan anda akan mendapat banyak maklumat tambahan tentang agenda perjuangan masing-masing.

Ketiga:

Perbicaraan ini akan menjadi medan ketiga (setelah Geneva dan media maya) yang menyentuh isu-isu yang dibawa oleh Comango. ISMA akan ditanya dan diminta membuktikan dakwaannya yang MM adalah antara ‘dalang’ di sebalik isu Comango ini. 

Di sinilah MM akan ditanya tentang pendiriannya terhadap beberapa tuntutan Comango yang ditentang oleh ISMA. 

Apakah pendirian MM terhadap:

- agenda SIS,
- kebebasan untuk Murtad, 
- amalan seks bebas sejantina, 
- penghapusan hak dan kedudukan istimewa Melayu,
- pentakrifan Rasisma,
- penolakan terhadap hudud/Syari’ah,
- membenarkan ajaran Syi’ah berkembang,
- mempertahankan hak agama lain untuk berkembang,

dan beberapa isu sensitif yang dipertikaikan oleh ISMA (dan juga sebahagian besar umat Islam) di dalam tuntutan Comango.

Keempat:

ISMA berpeluang untuk menyampaikan pendiriannya terhadap isu Syi’ah, Kristianisasi, Liberalisme, Pluralisme, hubungan kaum, Hudud/Syariah, LGBT, Hak Asasi, Murtad, kedudukan Melayu dan Islam di dalam Perlembagaan. 

Semua yang menjadi isu-isu Comango dan kebetulan merupakan antara sebab utama di sebalik penubuhan ISMA, iaitu membangun Ummah yang Beragenda. Prestasi dan kewibawaan ISMA akan diletakkan di bawah teropong masyarakat dan umat Islam.

Kelima:

ISMA bukan lagi menjadi sebuah jamaah “serpihan”, “perampas”, “pengkhianat” dan seumpamanya. Tetapi ISMA adalah, menurut seorang penulis prolifik berbangsa Cina yang bernama Helen Ang :-

“different kettle of fish”
“intelligent”
“articulate”
“an organizationally savvy bunch of urban professionals”
“can communicate in English as well”
ISMA on “level playing field”
“well funded”
“shows no sign of backing down or backing off”
“they’re also darn effective”
“impressed by their efficient rebuttal to Mujahid Yusof Rawa …”

Keenam:

Episod saman MM ini hanyalah satu rantai daripada puluhan mata rantai yang telah, sedang dan bakal dilalui oleh ISMA demi memperkukuhkan dan membersihkan saf dan organisasi. ISMA dan ahli-ahlinya telah melalui satu pengalaman yang manis dan penuh beremosi ketika membuat keputusan untuk terlibat di dalam PRU13 dengan natijah yang sangat memberangsangkan. 

Pengalaman yang bercirikan karektor “willing to create three-corner fights and cause upsets in the seats that the group chooses to contest.” telah mematangkan ahli-ahli ISMA dan ISMA sendiri yang perlu kepada satu perbahasan khusus pula di ruangan lain.

Pendekatan ISMA adalah pencerminan kepada aspirasi masyarakat Islam yang menanti-nantikan generasi baru umat Islam yang berwawasan Islam dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya, memiliki keprihatinan yang mendalam terhadap masa depan umat Islam dan berani untuk mempertahankan agenda perjuangannya. 

ISMA bukan organisasi yang sanggup berkompromi dengan begitu mudah dan longlai sekali di hadapan wajah anti-Islam dan anti-insaniyah, atau mudah mencairkan identiti dan menggadai prinsip dalam apa jua keadaan atau tekanan, walaupun perlu hadir ke mahkamah untuk membuktikan kesungguhan dan keseriusan mereka.

Dalam pada itu, adalah dinasihatkan (khusus kepada penulis sendiri) supaya ahli-ahli ISMA tidak melupai barang sedetik pun bahawa kekuatan dan keberadaan kita adalah dengan limpah taufik, inayah dan rahmat dari Allah juga. 

Sumber kekuatan ISMA (selepas kekuatan akidah dan ukhuwwah) terletak kepada produk utama kita iaitu TARBIYAH dan pra-sarana amal soleh yang lain. 

ISMA adalah wadah dan jamaah yang berteraskan Islam, luar dan dalam. Dulu, kini dan selamanya.
Masa akan menentukan, sejarah akan membuktikan!

Muhammad Luttfi Abd Khalid
Yang Dipertua 
Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Sg Petani


Video Tanpa Nama : Promosi Pluraliti Agama Yang Tersembunyi


Pagi tadi saya ternampak ‘posting’ video dari page Gabungan Mahasiswa Ukm mengenai sebuah video pendek yang bertajuk “Tanpa Nama”. Pada mulanya saya rasa seperti tiada apa, tetapi ia menarik perhatian saya ketika mana membaca penerangan mengenai video itu ;

“ This story tells about the journey of a man who seeks God, and finally come to an understanding that God is indeed unbound by anything, including religions. “

Saya merasa curiga dengan ayat ini. Kemudian saya segera menonton video pendek yang berdurasi 10 minit 57 saat ini.

Setelah tamat menonton, saya amat terkejut dengan apa yang cuba disampaikan atau dipromosikan pada video ini, iaitu mengenai PLURALISME agama.

Antara ayat-ayat mengandungi seruan atau elemen pluralisme agama ;

"Aku bukan nationalist, bukan katholik, bukan sosialist, bukan bukan buddhist, bukan westernist, bukan protestant, bukan communist, bukan juga humanist, aku adalah semuanya.."

"Di luar sana, ada orang yang mempertentangkan kepercayaan. Padahal, kita hanya berjalan pada jalan yang berbeda, tetapi dengan tujuan yang sama ; TUHAN"

Komentar saya begini :

1. Saya mengenali pelakon utama (walau tidak secara rapat) yang bernama Rachmat. Beliau merupakan junior saya di Kolej Antarabangsa Ibu Zain (IZISH) yang terletak di dalam kampus UKM. Alhamdulillah, saya kerap kali berjumpa dengan beliau ketika solat di surau IZISH. Jadi saya yakin dan bersangka baik, insyaAllah, bahawa beliau seorang yang menjaga tuntutan agama disamping mencari makna disebalik beragama Islam.

Tetapi sayangnya, pencarian beliau sedikit terpesong dengan apa yang dibawa Islam oleh Rasulullah sallahu alayhi wasallam, para sahabat radiyallahu anhum dan para pejuang Islam berlandaskan prinsip Al Quran dan As Sunnah. Mungkin di sini dia (Rachmat) dan sahabatnya perlu sedikit pencerahan mengenai ketinggian Islam.

2. Islam itu TINGGI, dan TIADA lagi tinggi mahupun SETARA dengan Islam. Jalan (agama) menuju Allah hanya satu, tiada berbeda beda!

Kalaulah jalan menuju Allah itu berbeda-beda, nescaya Rasulullah sallahu alayhi wasallam akan mengikut kata para musyrikin Mekah untuk menyembah tuhan mereka pada hari ini, dan menyembah Allah pada hari esoknya dan secara bergilir-gilir hingga hari-hari yang mendatang.

Namun apa yang Rasulullah sallahu alayhi wasallam katakan kepada musyrikin Mekah?

(Terjemahan surah Al Kafirun ayat ke 6)

"For you is your religion, and for me is my religion.

“Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.”

Rasulullah sallahu alayhi wasallam memberitahu secara clear cut bahawa Islam adalah Islam, dan selain Islam itu bukan Islam.

Wahai sahabat, ketahuilah jalan menuju Allah adalah dengan akidah yang jelas, iaitu mengaku dan bersaksi dengan hati, lisan dan perbuatan bahawa TIADA tuhan yang LAYAK disembah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan dan pesuruh Allah.

Selain dari jalan dan akidah ini, maka semuanya adalah bertentangan dan sama sekali tidak menuju Allah.

2.  Ketahuilah, bahawa jika agama lain di dunia juga membawa menuju kepada Allah, jadi apa ertinya Allah melantik Muhammad sallahu alayhi wasallam sebagai Rasul-Nya sebagai pembawa rahmat kepada sekalian manusia?

Jika semua agama di dunia akan menuju tuhan yang sama, jadi apa ertinya Islam ini perlu bertapak dan memerintah di muka bumi ini sekiranya kita boleh menyembah agama lain?

Jika semua agama di dunia akan menuju tuhan yang sama, jadi apa ertinya Rasulullah sallahu alayhi wasallam dan para sahabat radiyallahu anhum bersusah payah mengorbankan perasaan, harta, malah nyawa mereka demi menegakkan dan menyampaikan Islam sehingga hari ini?

Jalan menuju ke syurga memang ada banyak, tetapi hanya mempunyai satu ‘jenis tiket’ sahaja.

Iaitu mempercayai dan mengakui bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, mengakui dengan hati, lisan dan perbuatan bahawa Allah itu Esa, tidak diperanakkan dan tidak beranak, tidak bergantung kepada sesiapa, tiada yang setara dengan-Nya, juga mengakui bahawa Muhamamd sallahu alayhi wasallam, Isa (Jesus) alayhi sallam, Musa (Moses) alayhi sallam, dan sekalian para Nabi adalah UTUSAN dan PESURUH Allah.

Dan semua ini hanya ada pada Islam, bukan pada agama lain.

3. Fahamilah wahai sahabat, Allah hanya redha dengan Islam, bukan pada semua agama yang pada luarannya dikatakan menuju ‘tuhan’.

Allah telah berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :

“This day those who disbelieve have despaired of [defeating] your religion; so fear them not, but fear Me. This day I have perfected for you your religion and completed My favor upon you and have approved for you Islam as religion.”

“pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”.

(Surah al-Maidah, ayat 3).

Allah hanya redha pada Islam, bukan pada agama atau fahaman lain, samada Kristian, Yahudi, Komunisme, Sosialisme, Buddha, Hindu, atau apa jua yang wujud di atas muka bumi ini.


4. Jadi adakah kita akan sentiasa bermusuhan pada agama lain? Jangan salah faham. Islam mengajar kita bertoleransi dengan agama lain, tetapi ada LIMITASI toleransi itu. Kita boleh bertoleransi dalam muamalah atau perhubungan seharian seperti berkawan, pergi kuliah bersama-sama, study group secara bersama, dan sebagainya.

Malah Allah sendiri melarang kita semua umat Islam untuk mencerca agama lain.

Allah berfirman dalam surah Al An’am ayat 108 yang bermaksud :

“And do not insult those they invoke other than Allah , lest they insult Allah in enmity without knowledge.”

“ dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”

Tetapi apabila sampai bab Akidah atau kepercayaan, kita TIADA toleransi. Kita mempunyai prinsip yang tegas lagi kental iaitu meyakini dan mempercayai dengan sepenuhnya bahawa Islam adalah agama yang benar. Selain Islam (menyembah selain Allah atau menyekutukan Allah) adalah sesat dan perlu di bawa kepada Islam.

Prinsip kita bukan seperti lalang, sekejap kata Islam benar, sekejap kata agama lain benar, sekejap kata semua agama benar. Tidak sama sekali.

5. Saya berharap kepada kamu sahabat, sebelum meneliti buku-buku atau tulisan orang yang bukan Islam atau buku-buku golongan liberalis atau pluralis, kenapa tidak meneliti buku-buku yang ditulis ulama dan cendekiawan Islam yang sebenar. Sebelum kita memahami ajaran atau fahaman lain, fahamilah Islam itu sebaik mungkin dahulu.

Saya mencadangkan agar sahabat membaca buku Akidah Islam karangan Sayyid Sabiq, Kenapa Aku Menganut Islam karangan Fathi Yakan, dan beberapa lagi buku mengenai akidah tentang Islam. Juga baca buku tentang salah faham dan pemesongan terhadap Islam karangan Syed Qutb dan sebagainya.

Dan jika mahu berdiskusi, saya dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sudi menghulurkan tangan kami dan kemampuan kami yang sedikit untuk kita sama-sama berbincang. Saya masih lagi pelajar di UKM. Moga kita sama-sama dapat kembali kepada fahaman Islam yang tulen, bukan fahaman Islam yang pluralitas.


Moga Allah redha.

Ahmad Shukery
Aktivis PEMBINA.