Don't judge a blog by its followers

Thursday, 14 November 2013

ISMA, Marina, Comango dan Saman


Dengan mengenepikan terlebih dahulu proses, prosedur dan aspek-aspek teknikal mahkamah, ada beberapa senario yang saya jangka akan berlaku sekiranya Marina Mahathir (MM) mengheret ISMA ke kandang mahkamah.

Saya bukan tukang tilik atau Nujum Pak belalang yang boleh meramal masa depan atau keputusan mahkamah nanti. Tapi pada pandangan saya, telahan-telahan berikut masih lagi boleh dianggap munasabah dan tidak keterlaluan.

Pertama:

Kes ini akan menjadi sensasi kerana melibatkan individu dan organisasi berprofail tinggi. Masyarakat secara umumnya sudah mengenali siapa dia MM, tetapi ISMA akan menjadi perhatian dan tumpuan ramai, termasuk dari media tempatan dan antarabangsa. Apatah lagi, isu yang menjadi tajuk perbicaraan nanti bukanlah sebarangan isu.

Agenda, program-program, pemegang-pemegang utama jawatan dan para pemimpin ISMA akan menjadi sorotan dan bahan perbahasan dan analisa. 

Kedua:

Perbicaraan ini akan diikuti dengan penuh minat oleh kerana ia melibatkan integriti dan kewibawaan dua pihak yang berprinsip. Buatlah carian di Google atau telitilah laman web masing-masing dan anda akan mendapat banyak maklumat tambahan tentang agenda perjuangan masing-masing.

Ketiga:

Perbicaraan ini akan menjadi medan ketiga (setelah Geneva dan media maya) yang menyentuh isu-isu yang dibawa oleh Comango. ISMA akan ditanya dan diminta membuktikan dakwaannya yang MM adalah antara ‘dalang’ di sebalik isu Comango ini. 

Di sinilah MM akan ditanya tentang pendiriannya terhadap beberapa tuntutan Comango yang ditentang oleh ISMA. 

Apakah pendirian MM terhadap:

- agenda SIS,
- kebebasan untuk Murtad, 
- amalan seks bebas sejantina, 
- penghapusan hak dan kedudukan istimewa Melayu,
- pentakrifan Rasisma,
- penolakan terhadap hudud/Syari’ah,
- membenarkan ajaran Syi’ah berkembang,
- mempertahankan hak agama lain untuk berkembang,

dan beberapa isu sensitif yang dipertikaikan oleh ISMA (dan juga sebahagian besar umat Islam) di dalam tuntutan Comango.

Keempat:

ISMA berpeluang untuk menyampaikan pendiriannya terhadap isu Syi’ah, Kristianisasi, Liberalisme, Pluralisme, hubungan kaum, Hudud/Syariah, LGBT, Hak Asasi, Murtad, kedudukan Melayu dan Islam di dalam Perlembagaan. 

Semua yang menjadi isu-isu Comango dan kebetulan merupakan antara sebab utama di sebalik penubuhan ISMA, iaitu membangun Ummah yang Beragenda. Prestasi dan kewibawaan ISMA akan diletakkan di bawah teropong masyarakat dan umat Islam.

Kelima:

ISMA bukan lagi menjadi sebuah jamaah “serpihan”, “perampas”, “pengkhianat” dan seumpamanya. Tetapi ISMA adalah, menurut seorang penulis prolifik berbangsa Cina yang bernama Helen Ang :-

“different kettle of fish”
“intelligent”
“articulate”
“an organizationally savvy bunch of urban professionals”
“can communicate in English as well”
ISMA on “level playing field”
“well funded”
“shows no sign of backing down or backing off”
“they’re also darn effective”
“impressed by their efficient rebuttal to Mujahid Yusof Rawa …”

Keenam:

Episod saman MM ini hanyalah satu rantai daripada puluhan mata rantai yang telah, sedang dan bakal dilalui oleh ISMA demi memperkukuhkan dan membersihkan saf dan organisasi. ISMA dan ahli-ahlinya telah melalui satu pengalaman yang manis dan penuh beremosi ketika membuat keputusan untuk terlibat di dalam PRU13 dengan natijah yang sangat memberangsangkan. 

Pengalaman yang bercirikan karektor “willing to create three-corner fights and cause upsets in the seats that the group chooses to contest.” telah mematangkan ahli-ahli ISMA dan ISMA sendiri yang perlu kepada satu perbahasan khusus pula di ruangan lain.

Pendekatan ISMA adalah pencerminan kepada aspirasi masyarakat Islam yang menanti-nantikan generasi baru umat Islam yang berwawasan Islam dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya, memiliki keprihatinan yang mendalam terhadap masa depan umat Islam dan berani untuk mempertahankan agenda perjuangannya. 

ISMA bukan organisasi yang sanggup berkompromi dengan begitu mudah dan longlai sekali di hadapan wajah anti-Islam dan anti-insaniyah, atau mudah mencairkan identiti dan menggadai prinsip dalam apa jua keadaan atau tekanan, walaupun perlu hadir ke mahkamah untuk membuktikan kesungguhan dan keseriusan mereka.

Dalam pada itu, adalah dinasihatkan (khusus kepada penulis sendiri) supaya ahli-ahli ISMA tidak melupai barang sedetik pun bahawa kekuatan dan keberadaan kita adalah dengan limpah taufik, inayah dan rahmat dari Allah juga. 

Sumber kekuatan ISMA (selepas kekuatan akidah dan ukhuwwah) terletak kepada produk utama kita iaitu TARBIYAH dan pra-sarana amal soleh yang lain. 

ISMA adalah wadah dan jamaah yang berteraskan Islam, luar dan dalam. Dulu, kini dan selamanya.
Masa akan menentukan, sejarah akan membuktikan!

Muhammad Luttfi Abd Khalid
Yang Dipertua 
Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Sg Petani


No comments:

Post a Comment