Don't judge a blog by its followers

Saturday, 7 December 2013

Cerpen : Mahu Menikah Ketika Kuliah?



“Danial… Maaf saya menolak luahan hati awak. Saya tidak perlukan teman lelaki… Yang saya perlukan adalah seorang suami… Bukan sebarang suami, tetapi seorang suami yang berdikari…  Dan juga bukan sekadar berdikari, tetapi ia mahu untuk terus memahami ad din ini…”

Masih terbayang di telinga Danial gemersik suara Mariam ketika mana dia menolak permintaannya untuk bercinta.

“Hoih!”

Tersentak  Danial dari lamunan.

“Kau kalau aku sakit jantung nanti, macam mana Aiman. Bagilah salam kot ye pun…”

“Kalau kau sakit jantung, wariskan laptop kau pada aku. Laptop aku dah rosak tuh. Skrin sebelah rosak… Hehe…”

“Ah kau… dah kenapa tiba-tiba sergah aku Aiman?”

“Aku tengok kau termenung dari tadi… Nak kata kalah dota, dengan Hanis je pun… Nak kata kalah PES, dengan Aulia je pun… Kenapa? Cerita la sikit kat aku… Tapi kalau kau nak pinjam duit, aku nak pergi meeting dulu…” Aiman tersengih.

“Cakap cantik sikit okay. Setakat Hanis dengan Aulia tuh, apa ada hal. Bawah kuku aku je… Kemon la, aku ada duit la, baru lepas untung jual jaket kelmarin…”

Aiman mengangkat kening.

“MasyaAllah, boleh belanja KFC… Hehe.. Ha, kenapa, cakap lah. Mana tahu aku boleh tolong..”

Danial tersengih. Kemudian dia memandang ke luar tingkap.

“Semalam aku jumpa Mariam…”

Danial menghela nafasnya.

Bulat biji mata Aiman mendengar intro daripada Danial.

“Wow! Kau memang ada gaya kasanova. Hehe. Then?”

“Cakap baik sikit okay. Muka aku sesuci dalam debu kot… Hehe… Hmm.. Tentang Mariam, dua hari lepas aku confess pada dia, yang aku suka pada dia… Kemudian semalam dia nak jumpa aku, dan dia cakap depan aku yang dia tolak aku…”

Aiman menggelengkan kepala.

“Danial, danial… Aku ajak ikut usrah, kau sibuk nak main dota… Aku ajak ikut masuk sistem baitul Muslim, kau sibuk nak mencari sendiri bidadari muslimah akhir zaman yang ada kat universiti…”

Danial mengerut dahi.

“Habis tu kau nak buat apa sekarang Danial? Pujuk dia balik? Aku nasihatkan kau, tak payah la…”

“Aku nak kahwin waktu belajar ni… Apa pandangan kau?”

Aiman terkejut.

“Kau serius Danial? Mana boleh langkah bendul!”

Danial tersengih.

“Kalau dah jodoh, apa ada hal… Lagipun aku rasa macam tak nak kehilangan Mariam..” Danial mengangkat kening.

Aiman menghela nafasnya.

"Hari tu Hanis, sekarang ini Danial pula. Aduh.. Lepas satu, satu.. Apalah si Mariam tu pakai.." Aiman bermonolog dalam hati.

“Danial, danial… Hmm… Aku nak bagi pandangan pun, aku belum kahwin lagi. Tapi aku perkenalkan kau dengan murabbi aku, akhi Ipin. Dia sekarang dah berkahwin, dan dah ada anak 4. Dulu masa dia berkahwin, dia kahwin waktu belajar. Mungkin kau boleh minta nasihat dia…”

Mata Danial bersinar-sinar.

“Jangan buat muka nak makan penyepak boleh tak? Haha..”

Danial tergelak kecil.

“Bak mai nombor dia. Aku nak jumpa dia… minta nasihat dari tuan guru… minta dari kau, dapat penyepak la jawapnya…”

“Ceh…  aku bagi tu patut kau bersyukur… Ada bisnes kadnya atas meja tuh. Kau pergi tengok sendiri.“

“Syukurlah, Aiman masih bujang… Hehe..”

Aiman gelak kecil dan terus keluar dari rumah.

------


“Ooh… Ini ke kembar Aiman. Muka lebih kurang sama saja, cuma rambut saja berbeza..”

“Hehe.. Ana lebih hensem sikit dari Aiman, dan perbezaan paling ketara adalah pada perut... Hehe..”

Ipin dan Danial gelak bersama.

“Okay, anta nak tahu apa sebenarnya?”

“Aiman cerita, Errr… anta berkahwin waktu belajar kan? Boleh minta pendapat dari anta… Ana berniat juga nak berkahwin waktu belajar, cuma nak minta pendapat dulu…”

Ipin tersenyum.

“Sebelum tu, ana ceritakan dulu siapa ana. Ana dulu semasa belajar di UTP adalah sebagai seorang bapa, suami pelajar, aktivis kumpulan dakwah, anak dan menantu. Jadi ana perlu memastikan masa ana digunakan secara efisyen. Dan salah satu aktiviti yang perlu ana selitkan ialah aktiviti mencari nafkah.”

Danial mengangguk.

“Ana bahagikan kerja mencari nafkah ini melalui kerja harian, kerja mingguan, kerja bulanan dan kerja sampingan.”

“Tapi sebelum kita bercerita lebih jauh, kita order air dulu.. Hehe.”

“Beres… Err.. bang, kasih teh o ais satu, dengan teh o suam..”

“Okay kita sambung tadi.. Kerja harian ana adalah membuat hotdog. Dalam sehari ana membuat sekitar 60 ke 100 biji. Masa yang diperlukan hanyalah 1 jam sehari. Ana akan menyerahkan kepada runner untuk menjualnya semasa waktu malam. Keuntungan per hari sekitar RM30-RM50. Ana buat hot dog 4 hari seminggu. Purata ana dapat RM160 seminggu atau RM640 sebulan.”

“Kemudian, kerja mingguan pula adalah membuat dadih. Ana akan membuat lebih kurang 200 biji dadih dan diletak di dalam peti ais di rumah rakan-rakan di UTP dan letak bekas duit untuk orang membayarnya. Masa untuk membuatnya lebih kurang 1 jam 30 minit. Seminggu sekali, ana akan mengutip wang dari bekas dan memasukkan dadih yang baru. Pendapatan per minggu RM100 atau RM 400 sebulan.”

“Wow.. menarik.. kemudian?” Danial sungguh bersemangat.

“Kerja bulanan pula adalah re-pack kerepek ubi. Ana akan mendapatkan kerepek yang dibungkus per 5 kg, dan membungkusnya semula per 100 gm. Sebulan sekali ana akan re-pack kerepek ubi, 25 kg. Masa yang diperlukan sekitar 2 jam sahaja. Ana letak kerepek ubi yang dibungkus semula di hostel-hostel dan letak bekas duit bersamanya. Sebulan sekali ana akan kutip wang dan menggantikan dengan kerepek yang baru. Pendapatan per bulan lebih kurang RM250.”

“Kemudian, kerja sampingan pula ialah membuat proofread buku untuk diterbitkan. 1 bulan 1 buku, 200 – 300 mukasurat. 1 jam ana boleh selesaikan lebih kurang 50 mukasurat. So, dalam 4-6 jam sahaja sebulan, bolehlah dapat sekitar RM500 per buku.”

“So total lebih kurang 40 jam sahaja sebulan, dapat lebih kurang RM1700. Ok lah untuk menampung isteri dan seorang anak masa tu. Ada lebihan lagi untuk ana berikan kepada ibu di kampung. Itu supaya mereka gembira dan tidak risau. Lahir anak kedua, ana sudah meniaga buku. Pendapatannya berkali gandalah, tapi itu cerita lain..”

Ternganga mulut Danial.

“Ha, Danial. Dah dapat idea? Nak bernikah ketika kuliah? Hehe..”

Danial tersengih.

“Balik kena fikir semula nanti..”

Ipin tersenyum sambil minum air teh o.

----


Terngiang ngian dikepala Danial apa yang diungkapkan Ipin petang tadi.

“Ha, Danial. Dah dapat idea? Nak bernikah ketika kuliah? Hehe..”

“Hmm.. sediakah aku bernikah waktu kuliah?” Danial bermonolog sendirian sambil melihat pandangan di balkoni rumah.

Danial mengeluh. Masih tidak nampak jawapannya. Tetapi hati bertegas untuk kata belum sedia.

“Aiman… mana kau?”

“Apa dia.. Aku tengah buat kerja ni. Ada apa?”

“Esok kau ada usrah kan? Aku nak ikutlah…”

Aiman sedikit terkejut.

“Aik, kau nampak pokok sujud ke kat luar tu? Hehe..” Aiman tersengih.

“Tak la, aku nampak bidadari turun dari kayangan, suruh aku ikut usrah..” Danial terus masuk ke bilik. Malas melayan respon yang akan diberikan Aiman.

Aiman tersenyum..

“Alhamdulillah.. aku ingatkan player dalam dota tu suruh kau ikut usrah..” Aiman gelak sendirian.

---

Moga Allah redha.

p/s: 1. Hanyasanya cerita akhi Ipin itu adalah cerita yang sebenar-benarnya, berdasarkan apa yang dicatit di facebook beliau. Saya hanya copy, paste dan edit mengikut kesesuaian dialog. :)

2. Cerita ni nampak tergantung. Endingnya, anda fikir lah sendiri. Kalau saya rajin, saya sambung lagi. :)

No comments:

Post a Comment