Don't judge a blog by its followers

Saturday, 18 January 2014

Sesungguhnya Saya Ini Rasis

“Kau ni rasis!”

Biasa dengar perkataan ini?

Fenomena pelik melabelkan ‘rasis’ ini yang saya perasan mula berlaku pada awal 2013 yang lepas, dan ia menjadi-jadi semasa hampir Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lepas.

Dan kesannya, menyebabkan hampir kesemua orang melayu bila nak sebut perkataan “Melayu” itu sendiri, takut digelar rasis, macai dan sebagainya. Dan fenomena ini mungkin terjadi juga pada bangsa lain.

Kau Rasis


Dan fenomena pelik itu bukan sekadar melanggar disekeliling saya, bahkan saya pun turut kena label sekali. Saya dilabel rasis kerana saya membela Melayu.

Ya, membela bangsa saya sendiri dikritik rasis. Oleh siapa?

Kalau oleh bangsa lain, mungkin boleh buat tak endah lagi. Tetapi oleh bangsa sendiri. Oleh orang Melayu sendiri. Bahkan oleh kawan saya sendiri.

Dan bukan saya seorang saja yang begitu, bahkan semua sahabat-sahabat sefikrah dan seperjuangan saya (baca : ikhwah dan akhwat) ramai dikritik rasis dan sebagainya.

Kemudian bila saya tanya kepada pihak dan kawan saya yang melabel saya rasis ini APA ITU rasis, mereka diam. Paling kuat pun, spin sampai ke laut.

Facepalm

Sebenarnya apa itu rasis?

Pertama kali saya dengar perkataan rasis masa saya tahun 1 di UKM, masa tu belajar subjek Hubungan etnik. Ada cerita mengenai ras, rasisme, dan macam-macam lagi.

Banyak tafsiran terhadap rasis ini, dan kebanyakkannya diberi dengan konotasi negatif. Jadi saya malas nak pusing-pusing, saya simpulkan bagi mudah faham.

Rasis ini adalah apabila sesuatu bangsa itu merasakan bangsanya yang paling SUPERIOR atau paling hebat ke atas bangsa lain, lalu bangsa tersebut menindas bangsa lain yang ada disekelilingnya.

Ia seperti yang berlaku pada orang kulit putih terhadap orang kulit hitam di eropah dan afrika kalau saya tidak silap satu ketika dulu.

Bahkan ia adalah sifat kaum Yahudi sendiri, yang merasakan bangsa yahudi adalah paling MULIA dan SUPERIOR ke atas semua bangsa di dunia, dan merasakan semua bangsa di dunia ini adalah goyim (binatang yang boleh dibunuh – lebih kurang).

Dari definisi tu, satu soalan timbul.

Adakah membela bangsa sendiri yang makin hari makin ditindas dan diperbodohkan di bumi sendiri digelar rasis?

Adakah membela dan mempertahankan hak orang Melayu di bumi Melayu (baca : Malaysia) ini digelar rasis?

“Eleh, kemon la shukery. Ini bukan bumi melayu, ini bumi 1 malaysia. “

Eheh.

Suruh baca sejarah Melayu dan Tanah Melayu, dikatakan sia-sia dan buang masa. Kemudian bila kami membela bangsa KITA atas dasar kajian dan bacaan kami terhadap sejarah, kami pula dikatakan rasis dan segala bagai. Sedangkan kami hanya nak mempertahankan hak KITA bersama.

Orang Arab ada tanah mereka sendiri, orang Eropah ada tanah mereka sendiri, orang Cina ada tanah mereka sendiri, orang India ada tanah mereka sendiri, dan orang Melayu PUN ada tanah mereka sendiri. Orang Melayu tuan rumah kepada tanah ini, dan berhak untuk mentadbir dan membela tanah ini SELARAS dan SEJAJAR dengan tuntutan SYARIAT Islam itu sendiri.

"Habis, macam mana dengan bangsa lain? Kesian mereka.."

Pulak dah. Saya membela bangsa Melayu, bukan "membuli" atau mengabaikan bangsa lain di Malaysia. Ibarat saya sayang keluarga saya, adakah bermaksud saya abaikan atau 'membuli' keluarga jiran-jiran saya?

Oh, penyakit apa yang melanda pada bangsa aku ini?

Teringat saya akan syair yang didendangkan Imam Syafie satu ketika dahulu apabila beliau dituduh secara berterusan sebagai Rafidi hanya kerana beliau menyatakan beliau sayang kepada ahli bayt (ahli keluarga Rasulullah sallahu alayhi wasallam).

إن كان رفضا حب آل محمد فليشهد الثقﻻن إني رافضي

“Jika menjadi Rafidi, mereka yang sayang kepada keluarga Muhammad, maka bersaksilah wahai manusia dan jin (al-thaqalan), sesungguhnya aku ini Rafidi.”

(Manaqib al-Shafie – al bayhaqi, Tabaqat al-Shafie’yyah al-subki)


Oleh itu, jika saya ingin membela bangsa Melayu agar kembali kepada Islam, mengamalkan Islam secara syumul serta bangkit dan bersatu membela hak Melayu juga menegakkan kalimah dan syiar agama Allah (Islam) di bumi Malaysia supaya ini setinggi-tingginya supaya menjadi syaukah memimpin ummat ini digelar rasis, maka bersaksikanlah wahai pembaca blog saya dan sesiapa yang mengenali saya, sesungguhnya saya ini Rasis.
 
Kalau ada masa dan kesempatan, cari dan baca buku ini. Sangat menarik.
Jangan minta saya, sebab saya pinjam dengan pejabat ISMA pusat.
Eheh.
Hasbunallah wa ni’mal wakil.

Moga Allah redha.


- Shukery –
  
p/s: Oh ya, bagi mengelakkan salah faham, saya cakap begini saya BUKAN UMNO atau PERKASA ya. Bahkan saya tak suka pada keduanya. Saya sayang bangsa Melayu, tapi bukan UMNO.


Friday, 17 January 2014

Cerpen - Warkah Cinta Untuk Sang Rasul (Part III - Last Episode)

“Assalamualaikum ikhwah semua.. apa khabar semua? Sihat?”

“Sihat alhamdulillah ya akhi!” Hamdan menjawab dengan penuh semangat.

Abdillah tergelak kecil.

“Baiklah, sebelum kita mulakan usrah, hari ini ana nak perkenalkan pada antum seorang sahabat baru, nama beliau Nizam... Nizam, mungkin anta boleh perkenalkan diri serba sedikit pada kami..”

Semua mata memandang tepat pada mata Nizam.

Malam itu malam pertama Nizam mengikuti usrah.

Setelah satu jam berlalu dan kelihatan usrah akan tamat, tiba-tiba Asyraf bertanya,

“Akh.. ana nak tanya tentang tablet anta yang hilang tu.. macam mana kisahnya?”

Abdillah tersenyum. Abdillah menceritakan kisah yang berlaku, tetapi tidak terlalu detail.

“Innalillah… patutlah ana contact anta malam tadi tak dapat…” Asyraf mengeluh.

Terbeliak biji mata Nizam. Sangat terkejut dengan apa yang berlaku pada Abdillah.

“Aku ke yang curi tablet dia? Allah….” Nizam bermonolog dalam hati.

Nizam dah mula gelisah dan serba salah yang teramat sangat. Namun dia masih keliru adakah tablet Abdillah yang dicuri semalam.

Tamat saja sesi usrah, Nizam bertemu dengan Abdillah secara peribadi.

“Ya akhi, ada apa anta nak jumpa ana secara personal?”

Nizam masih tak senang duduk.

“Tablet abang hilang di mana? Dan pukul berapa?

Abdillah mengusap janggutnya.

“Hmm.. di restoran area seksyen 16. Dalam sekitar tengah hari juga…”

Nizam tergamam. Benar telahan dia. Dia cuba mengingati wajah mangsa yang dicuri itu, tetapi tidak dapat. Namun dia yakin bahawa tablet yang dicuri itu memang milik Abdillah. Dan secara tiba-tiba, menitis sedikit air mata Nizam.

“Eh, kenapa ni syeikh? Anta okay tak? Abdillah kehairanan.

“Saya kagum dengan ketabahan abang… Saya tak pernah jumpa orang macam abang..” Nizam memuji untuk menyembunyikan rasa takut dan serba salah.

Abdillah tersenyum. Lalu dimenepuk bahu Nizam.

“Hadza min fadhli Rabbi… “

“Nabi sallahu alayhi wasallam dulu diuji lagi maha dasyat. Teringat ana masa Nabi diuji di Thaif, baginda dibaling dengan batu sampai berdarah-darah baginda. Di riwayatkan, penuh selipar baginda dengan darah. Itupun baginda tetap mengharapkan hidayah untuk penduduk Thaif. Setakat hilang tablet ni, apalah sangat. Moga si pencuri itu mendapat hidayah.”

Nizam terkesima. Kali ini, air matanya turun dengan deras. Dia segera memeluk Abdillah.

“Abang !! Maafkan saya.  Saya yang mencuri tablet abang. Saya mencuri sebab terdesak nak bayar hutang. Saya takda duit sangat masa tu. Saya diugut. Saya minta maaf bang… Saya janji saya akan ganti balik tablet abang ! Maaf bang !”

Nizam menangis tanpa henti. Basah bahu baju Abdillah dengan air mata Nizam.

Abdillah sedikit terkejut. Namun dia senyum. Senyum yang menggembirakan. Dia turut menitiskan air matanya.

“Akhi, ana maafkan dan ana halalkan apa yang anta ambil tablet ana. Tak perlu nak ganti…”

Nizam melepaskan pelukan. Bulat biji mata Nizam terkejut.

“Hah?! Begitu mudah abang memaafkan saya? Kenapa? Mahal tablet abang tu..”

Jelas segaris senyuman nampak diwajah Abdillah.

“Sedangkan Nabi sallahu alayhi wasallam maafkan ummat, kenapa tidak abang? Nabi dulu pernah dicaci maki, dipukul, malah diugut bunuh, tetapi baginda tetap mendoakan hidayah untuk ummatnya dan memaafkan kepada sesiapa yang memohon maaf pada baginda sallahu alayhi wasallam..”

Nizam tertunduk. Ikutkan hati, ingin saja dia menjerit kerana terharu dengan sikap Abdillah.

“Lagi satu, ana rasa ana nampak hikmah di sebalik kehilangan tablet ana…”

Nizam mengangkat mukanya. Terangkat sedikit kening Nizam.

“Apa hikmahnya?” Nizam kehairanan.

“Mungkin disebabkan tablet ana dicuri anta, Allah kurniakan hidayah pada anta untuk kembali pada Allah. Bayangkan jika anta tak mencuri tablet ana? Mungkin saat ni anta belum sedar dari dunia anta. Kalau benarlah begitu, ana rela hilang beribu-ribu, bahkan berjuta-juta tablet ana demi hidayah untuk ummat ini…”

Nampak jelas keikhlasan di riak wajah Abdillah dan pertuturannya.

Nizam memeluk Abdillah sekali lagi.

“Allah Allah !! Saya nak bertaubat… Saya nak bertaubat !! Tapi saya takut Allah tak terima taubat saya...”

Abdillah tersenyum.

“Kenapa tidak Allah terima taubat anta? Sedangkan Umar al khattab yang pernah berniat untuk membunuh Rasulullah sallahu alayhi wasallam pun, Allah kurniakan hidayah padanya bahkan menjadi penegak agama Allah lagi, apatah lagi kita hamba Allah yang masih beriman dan tidak memusuhi Nabi.  InsyaAllah Allah terima. Bersangka baik sentiasa dengan Allah, sebab Allah adalah apa yang kita sangkakan..”

Nizam mengangguk. Air matanya deras mengalir. Mulutnya tidak mampu mengeluarkan apa-apa lagi perkataan melainkan hatinya penuh rasa syukur dan gembira kerana dipertemukan dengan Abdillah dan diizinkan oleh Allah untuk kembali ke pangkal jalan.


---

TAMAT.

Moga Allah redha.

- Shukery -


p/s : Nizam sudah kembali ke pangkal jalan, anda pula? Ayuh !! 

Wednesday, 15 January 2014

Cerpen - Warkah Cinta Untuk Sang Rasul (Part II)


“Pencuri ! Kejar pencuri tu!! “ Jerit Abdillah.

Abdillah mengejar pencuri yang mencuri Tablet 2.0 nya ketika sedang makan di sebuah kedai makan.

Beberapa minit aksi kejar mengejar berlaku antara Abdillah dan pencuri tersebut. Namun takdir Allah, pencuri itu berjaya melepaskan diri.

Tidak lama kemudian, datang beberapa orang sahabat Abdillah ingin membantu, namun segalanya terlambat.

“Allahu musta’an… Sabar akhi. Ini dugaan Allah… Sabar...” Azlan mengurut belakang Abdillah.

“Moga pencuri tu mampos je masa perjalanan balik!” Aiman hilang sabar.

“Eh, anta pula yang mengamuk tiba-tiba. Sabar akhi. Tablet ana yang kena curi. Cool down akhi..” Abdillah tersenyum memandang Aiman.

“Err… mana taknya. Geram kot ana… kalau ana dapat pencuri tu, macam ayam penyet ana kerjakan dia..” Aiman mendengus.

“Rilek... insyaAllah mesti ada hikmahnya. Dosa ana banyak sangat kot. Tu yang Allah uji ana sebegini.. Moga pencuri diberikah hidayah Allah untuk bertaubat… Dah jom balik…”

“Tapi akhi, tak nak buat report polis?” Azlan mencelah.

“Haha. Tablet je pun. Takpe…”

Abdillah, Aiman dan Azlan berlalu pergi pulang ke kampus.

---

“Aik, mana kau dapat duit banyak macam ni? Menang judi ke semalam? Syafiq kehairanan.

“Ah tak payah banyak tanya. Ini duit hutang kau. Aku kasi langsai.” Nizam menyerahkan not RM100 sebanyak 10 keping kepada Syafiq.

“Kau nak pinjam duit aku lagi tak?” Syafiq provok.

Nizam memandang tajam ke arah mata Syafiq. Dia terus meninggalkannya.

“Come on brader. Business is business. Kalau lu tau tak boleh bayar hutang, lu jangan pinjam gua. Atau lu jadi ‘makanan’ gua…”

Syafiq dan rakannya gelak besar.

Nizam menghidupkan motor dan meninggalkan mereka.

Jam menunjukkan 10 malam dan esoknya pula hari ahad. Kebiasaannya malam minggu begini Nizam akan keluar pergi merempit atau paling tidak, melepak di bukit bintang mencari bohsia jalanan untuk memuaskan nafsunya.

Namun malam itu dia tiada mood untuk semua itu. Hatinya sedikit rasa lega dan gembira kerana sudah menyelesaikan hutang yang ada.

Dia membuka facebooknya, dan tiba-tiba ternampak satu status,

“Jangan kita bergembira di atas kesedihan orang lain yang disebabkan oleh kezaliman tangan kita kepadanya..”

Jantung Nizam berdegup kencang.

Tiap kali membaca status rakan facebooknya yang bernama “Abdillah” ini benar-benar mencengkam jiwanya. Dirinya benar-benar dihimpit rasa bersalah atas peristiwa dia mencuri petang tadi.

Nizam membuka profile facebook “Abdillah”. Dia membaca beberapa status islamik yang ditulis pada status facebook “Abdillah” sehingga dia terjumpa status,

“Siapa berminat untuk sertai usrah. Boleh PM saya.”

Status tersebut dibuat beberapa hari yang lepas.

“Usrah…? Macam aku pernah dengar..” Nizam bermonolog sendirian.

Nizam berfikir sejenak, dan  personal message Abdillah untuk bertanya apa itu usrah dan bagaimana nak menyertainya.

“Assalamualaikum..” sapa Nizam.

Tiada respon. Dia menunggu beberapa minit, tetapi masih tiada respon.

“Ah.. malaslah aku nak join..

Nizam baru saja mahu menutup facebook, tiba-tiba,

“Waalaikumussalam.. :) ya tuan?”

Nizam terkejut. Dia tersenyum.

“Maaf ganggu, saya nak tanya, macam mana nak  join usrah ya? Saya ada nampak di status tadi…”

“Oh yeke… Boleh2. Tuan tinggal di mana ya?”

“Saya di UKM…”

“Alhamdulillah.. samalah kita..”

Nizam sedikit terkejut. Walaupun sama kampus, tapi tidak pernah berjumpa apatah lagi kenal Abdillah ini. Itupun dia hairan macam mana Abdillah boleh ada dalam friend list facebooknya.

“Kalau macam tu, boleh kita mulakan usrah esok. Sebab esok saya ada bawa usrah di masjid UKM. Boleh kita bertaaruf (berkenalan) sekali esok..”

Nizam berfikir sejenak.

“Esok…? Boleh rasanya. Pukul berapa ya?”

“Lepas isyak, dalam pukul 9. Kita jumpa di masjid. Ok?”

“Ok…”


Perbualan terhenti.


- Shukery -

Monday, 13 January 2014

Cerpen - Warkah Cinta Untuk Sang Rasul

“Kepada Rasulullah sallahu alayhi wasallam…

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh ya habibi ya Rasulullah..

Ketika dan saat aku menulis warkah cinta ini kepada mu, aku sudah kembali ke pangkal jalan menuju Allah melalui risalah yang kau bawa kepada umat mu. Setelah aku sebelum ini sesat dan hanyut di dalam dunia yang aku tidak jumpa penghujungnya.

Ya Rasulullah… Jujur ku katakan pada mu, ingin saat ku tulis warkah ini juga, air mata ku tidak henti berlinangan. Berlinangan kerana teringatkan dosa-dosaku yang lampau,  dan teringatkan bertapa mudahnya aku melupakan mu satu ketika dulu. Terasa kotornya tangan ini untuk mengarang sepucuk surat yang ingin diberikan kepada susuk tubuh yang mulia seperti dirimu.

Ya Habibullah.. izinkan untuk ku mencoret sedikit apa yang terbuku dihatiku ini kepada mu. Agar terluah segala rindu dendam dan juga kesedihan yang membalut hati ini. Ya Rasulullah, aku malu padamu. Satu ketika dulu, kau berdakwah kepada umat ini tanpa henti dan tanpa jemu, meskipun kepada wanita tua yahudi yang membenci mu sehingga kau wafat.

Sedangkan aku dahulu hanyut dengan judi, arak, dan sebagainya. Perintah Allah aku langgar, sunnahmu aku buat-buat tidak dengar. Sekarang semuanya sudah aku buang, aku cuba mematuhi perintah Allah, dan mengikuti sunnahmu.

Maafkan aku wahai kekasih Allah. Aku berjanji kepadamu bahawa aku akan senitasa mematuhi perintah Allah, menjauhi larangan-Nya, juga memegang sunnahmu dan sunnah khulafa’ ar rasyidin dengan gigi gerahamku sekuat yang mungkin. Andai memegang sunnahmu ibarat memegang bara api, maka insyaAllah akan ku pegang sampai jadi arang.

Maafkan aku Rasulullah kerana pernah menjadi umat yang mengecewakanmu. Moga kau menerima dari tangan yang penuh noda dan dosa ini.

Allahumma solli ‘ala sayyidina muhammad…. “

Dari sang pencintamu,
Nizam.


---------------


“Halamak! Kalah lagi!” Nizam merungut sambil menepuk dahinya.

“Itulah kau, tangan pengkor. Dah tahu selalu kalah, pi la training dulu. Ini nak main juga. Kan 3 kali kalah tanpa henti…” Danial tergelak sambil mengira duit yang sudah dimenangi hari ini.

Amir, Wan dan Hanis turut gelak sama.

“Dah la, aku nak blah..”

Nizam bangun dan terus ke motornya.

“Kau nak ke mana brader? Membawa diri ke?”  Hanis memprovok.

“Pergi tempat biasa…”

“Bukit bintang ke? Weh, aku nak ikut.” Aiman segera bangun.

“Ah kau, sibuk la. Nanti kau minta aku payung. Dah la kocek aku tengah kopak.” Nizam terus menghidupkan enjin motornya.

“Brader, aku nak kirim carlsberg sebotol. Kalau kau tak de duit, thaisong pun boleh..” Wan tersengih.

“Beli sendiri!”

Nizam terus berlalu meninggalkan 4 rakannya.

---

“Hmm.. apa la budak-budak ni merepek kat status facebook ni..” Nizam bermonolog sendirian sambil scroll newsfeed facebooknya.

“Hmm…?”

Pandangan mata Nizam tertangkap pada satu status yang menarik perhatiannya.

“Selagi kita masih bernafas, maka taubatlah segera pada Allah. Siapa tahu kita akan mati esok sebelum sempat bertaubat?”

Tanpa disedari, menitis air mata Nizam.

Dia tertunduk sayu. Status yang dikongsikan oleh salah seorang rakan facebook yang tidak dikenalinya bernama “Abdillah” benar-benar mencengkam hatinya.

Nizam terus bangun dari tempat duduk, dan berbaring di katilnya.

“Aku nak bertaubat...”

“Tapi….”

“Adakah Allah akan terima taubat orang yang banyak dosa macam aku…?”

Nizam bermonolog sendirian dan mengeluh. Terbayang-bayang akan dosa yang selalu dia lakukan. Judi, arak, perempuan, dan macam-macam lagi. Sekali lagi berkaca mata Nizam. Dan akhirnya dia tertidur dalam keadaan keliru dan celaru.

---

“Tet tet...”

Telefon bimbit Nizam bergetar menandakan ada pesanan ringkas memasuki inbox. Nizam segera mencapai telefon bimbitnya dan membaca SMS tersebut.

“Wei Nizam. Sekarang ni kau hutang aku dah cecah RM1000. Aku malas nak cakap banyak, kau bayar hutang ni hari rabu ni juga. Kalau tak, kau tahu nasib kau macam mana. Kau bukan tak kenal aku..”

Berdegup kencang jantung Nizam apabila membaca SMS tersebut.

“Alamak.. Apa aku nak buat ni. Mana aku nak cekau duit banyak gitu sampai lusa ni..” Nizam monolog sendirian.

Peluh dingin membasahi dahinya.

Dia segera pergi ke mesin ATM berhampiran untuk melihat baki akaun banknya.

Skrin pada mesin ATM itu memaparkan baki akaunnya hanya tinggal RM100.00.

Nizam tertekan. Dia segera menghubungi rakan baiknya.

“Hello Danial. Aku nak minta tolong boleh?”

“Hello.. Apa dia brader?”

“Aku nak pinjam duit kau…”

“Ha? Pinjam duit aku? Sory la brader. Aku takde syarikat beri pinjaman pada orang..”

“Ala, kedekut la kau. Member sendiri nak pinjam pun takkan tak boleh tolong...”

“No no no… kau pergi minta orang lain…”

“Wei tolong……..” talian diputuskan oleh Danial.

Dia tidak membuang masa, segera dia telefon Hanis, Amir, dan lain-lain. Namun sayangnya, tidak ada seorang pun sudi membantu.

Nizam terduduk. Mulutnya penuh dengan mencarut dan air matanya bergelinangan keluar.

Dia termenung seketika. Memikirkan bagaimana untuk mencari duit sebanyak itu. Akhirnya dia mendapat satu idea. Walaupun pada mulanya dia tidak mahu melakukannya, namun sudah tiada cara lain.


Dia benar-benar terdesak.


bersambung...

p/s : nantikan Cerpen - Warkah Cinta Untuk Sang Rasul (Part II)

Moga Allah Redha.

- shukery -

Friday, 10 January 2014

Hoi, Dalam Diri Kau Ada Jahiliyah !

“Pijak kepalaku wahai Bilal!”

“Demi Allah, aku mohon pijaklah!”

Abu Dzar Al-Ghiffari meletakkan kepalanya di tanah yang berdebu. Dilumurkan pasir ke wajahnya dan dia menunggu penuh harap terompah Bilal ibn Rabah segera pijak ke pipinya.

“Ku mohon Bilal saudaraku…” rintihnya…
“Pijaklah wajahku. Demi Allah aku berharap dengannya Allah akan mengampuniku dan menghapuskan sifat jahiliyah dari jiwaku.”

Abu Dzar ingin sangat menangis. Hatinya bercampur baur. Dia menyesal. Dia sedih. Dia takut. Dia marah pada dirinya sendiri. Dia merasa begitu lemah berhadapan dengan hawa nafsunya. Dengan wajahnya yang penuh dengan debu dan pasir, dia mengerang lagi,

“Aku mohon pijak kepalaku!”

Sayang seribu kali sayang, Bilal terus menggeleng dengan mata yang berkaca.

Peristiwa ini berlaku kesan dari kekesalan Abu Dzar kepada Bilal. Dia merasakan Bilal tidak melaksanakan sebuah amanah dengan bersungguh, bahkan seakan membuat alasan untuk membenarkan dirinya sendiri. Abu Dzar kecewa dan sayangnya, dia tidak dapat menahan dirinya. Dari lisannya terluah kata-kata yang kasar. Abu Dzar sempat berteriak menengking,

“Hai anak budak hitam!”

Rasulullah sallahu alayhi wasallam yang mendengar herdikan Abu Dzar pada Bilal ini terus kemerahan wajah baginda. Dengan berbegas bagai petir yang menyambar, baginda menghampiri dan menegur Abu Dzar,

“Wahai Abu Dzar..!” sabda baginda sallahu alayhi wasallam kepada Abu Dzar,

“Sesungguhnya dalam dirimu masih terdapat jahiliyah!”

Maka Abu Dzar yang dikejurkan dengan hakikat itu, terus serta merta dihempap rasa bersalah lalu berbaring dan memohon Bilal memijak kepalanya. Berulang-ulang kali dia memohon.

“Aku memaafkan Abu Dzar ya Rasulullah,” kata Bilal. Dan biarkan urusan ini tersimpan di sisi Allah, menjadi kebaikan bagiku kelak…”

Hati Abu Dzar rasanya sangat pedih apabila mendengar sebegitu. Alangkah lebih ringan andai semua boleh ditebus di dunia. Alangkah tidak indahnya  menelusuri hari dan sisa umur yang berbaki dengan rasa bersalah yang tidak terlupakan.

Karat Jahiliyah Yang Melekat.

Hadis mengenai teguran Rasulullah sallahu alayhi wasallam kepada seorang sahabat Rasulullah yang mulia – Abu Dzar Al-Ghifari - di atas telah dirakamkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim No 3139.

Dan peristiwa itu dirakamkan bukan untuk suka suki, tetapi untuk iktibar kita pada hari ini.

Nak tahu ada atau tidak karat jahiliyah dalam diri kita?

Cuba kita duduk dan berfikir sejenak ke angkasaraya.

Pernahkah kita mencerca orang lain? Pernahkah kita menggelarkan orang lain dengan gelaran yang buruk? Terutama kepada kaum Muslimin? Apatah lagi kepada orang yang kita sendiri mengakui dalam hati akan kesolehan mereka.

Tidak kisahlah, gemuk ke, macai ke, barua ke, tali barut ke, atau apa jua.

Apatah lagi dalam keadaan kita yang kononnya mengaku sang penyeru manusia ke jalan Allah? Atau dalam keadaan kita mengaku kita ini pejuang agama Allah? Malah lebih teruk dalam keadaan kita mengaku kita ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiyah?

Menangis.

Pernahkah kita meringan-ringankan perintah Ilahi?
Pernahkan kita culas dengan larangan dari Rabbul Izzati?
Pernahkah kita mengabaikan Sunnah Sang Nabi?
Pernahkah kita tidak membaca sampai seminggu kalam Ilahi?

Menangis lagi. Tutup muka.

Itu belum hak antara ikhwah sekalian (kalau perempuan akhwat). Hak ukhuwwah yang belum selesai. Ziarah yang tak buat-buat. Abaikan ikhwah yang sedang dukacita, dan sebagainya.

Ada semua ini? Kalau ada, sila jerit pada diri sendiri ;

“Hoi, Dalam Diri Kau Ada Jahiliyah! “

Kemudian lepas jerit, tanya pada diri sendiri, berapa kilogram karat jahiliyah yang masih melekat dalam diri?

Tak tahu bagaimana nak kira berat jahiliyah dalam diri?

Jawapannya ada di sini ;


“Seorang Mukmin adalah CERMIN bagi saudaranya. Seorang Mukmin adalah saudara bagi Mukmin yang lain…”
[Riwayat Abu Dawud 6/923]


Tanyalah ikhwah (perempuan akhwat) yang rapat denganmu, dan mintalah nasihat mereka.


 - Shukery -