Don't judge a blog by its followers

Monday, 10 February 2014

Padang Bola Tanpa Tiang Gol


“Eh, kau okay tak? Muka penat je…” tegur sahabat saya.

“Okay je. Aku nak balik dulu...” Saya mula menghidupkan enjin motor.

“Kalau tak larat, kau tidur bilik aku je...”

“Aku pakai motor orang ni. Takpe...”

Saya hanya mampu membalas senyuman atas ajakannya. Dan dalam keadaan penat yang teramat sangat, saya menguatkan diri untuk pulang ke kolej sendiri setelah menghantar seorang sahabat saya ke kolej kediamannya.

Sepanjang perjalanan pulang, saya teringat dan berfikir mengenai apa yang disampaikan oleh Abang Khalid, seorang pelajar yang sama batch dengan saya tetapi tua enam tahun dari saya semasa kuliah sirah selepas maghrib di surau kolej saya.

Penyampaian yang membuka kotak pemikiran dan cara fikir saya.

Abang Khalid menceritakan tentang sirah Nabi Adam alayhi salam sehingga beberapa Nabi selepas baginda. Walaupun tidak beberapa detail, ia cukup memberi sebuah paradigma baru kepada sesiapa yang mendengarnya.

Namun dalam banyak-banyak kisah, saya paling tertarik pada bahagian yang terakhir sebelum penutup kuliah tersebut.

Beliau bertanya beberapa soalan yang mencabar minda saya untuk berfikir terutama sebagai pelajar tahun satu di universiti.

Untuk apa kita makan dan minum? Untuk apa kita belajar? Untuk apa kita sambung belajar di sekolah, matrikulasi (atau tempat lain), dan seterusnya universiti? Untuk apa datang ke kuliah? Untuk apa kita bekerja akan datang?

Dan paling penting, untuk apa kita hidup?

Ya, untuk apa sebenarnya kita hidup?

Bersuka ria? Atau tiada tujuan? Dan penting sangatkah kita perlu tahu tujuan hidup kita?

Saya bagi contoh. Anda beli sebatang pensel, kemudian pensel tersebut digunakan untuk menjadi paku di dinding bagi menggantung bingkai gambar. Rasanya apa yang akan berlaku pada pensel tersebut? Sudah pasti pensel tersebut akan pecah dan rosak semasa diketuk. Apabila rosak ia dibuang ke tong sampah. Bagaimana pensel yang dicipta sebaik mungkin boleh menjadi sampah sedangkan pensel diciptakan atas tujuan yang khususnya. Apabila disalah guna dia akan rosak. Dan apabila rosak ia menjadi sampah.

Demikian juga manusia. Allah menciptakan manusia dengan satu tujuan yang khusus. Jika manusia hidup dengan tujuan yang lain, dia akan menjadi rosak. Apabila rosak, mereka menjadi sampah masyarakat. Mungkin itu asal usulnya sampah masyarakat. Siapakah sampah masyarakat? Kita boleh namakan mereka sebagai penagih dadah atau mat rempit. Tetapi hakikatnya, mereka adalah manusia yang gagal menjawab soalan paling penting ;

HIDUP INI UNTUK APA?

Jika masih tidak tahu hidup untuk apa, ibarat kita bermain bola di padang bola tanpa tiang gol atau bermain golf di padang golf yang tiada lubang.

Sains tidak mampu memberi jawapan. Matematik juga tidak boleh memberi jawapan. Apatah lagi kimia. Tetapi, hanya AGAMA sahaja mampu memberi jawapan kepada persoalan ini.

Bagaimana agama mampu menjawab persoalan ini?

Contoh macam kipas angin. Jika ditanya pada kipas angin itu kenapa ia diciptakan (andaikan kipas angin itu boleh bercakap), mungkin kipas angin itu tidak tahu kenapa ia diciptakan dan kenapa ia ada di sini. Logiknya, kalau kita nak tahu kenapa ia dicipta, maka kita kena merujuk kepada kilang tempat kipas angin dicipta. Dan pihak kilang pun akan memberi koleksi ‘soal jawab’ di dalam sebuah KITAB yang bernama “Instruction Manual”.

Maka begitu juga untuk manusia, jika nak tahu kenapa manusia diciptakan, kena tanya Pencipta manusia ini, dan sebagai Muslim, kita beriman dan percaya bahawa Allah yang menciptakan manusia. Dan Allah telah memberi kepada kita koleksi ‘soal jawab’ di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama….

Al Quran.

Apa Allah kata mengenai tujuan hidup manusia dalam Al Quran?

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

[Ad-Dzariyat 51:56]

 Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi…"

[Al-Baqarah 2:30]

Nampak apa tujuan hidup kita melalui dia firman Allah ini?

Sudah jelas lagi bersuluh, dalam Islam Allah telah memberitahu manusia apa tujuan Dia menciptakan kita dan apa tujuan kita hidup di atas muka bumi ini, iaitu menjadi hamba Allah yang taat dan seterusnya menjadi khalifah untuk mentadbir dunia atau paling kecil sekalipun mentadbir diri sendiri.

Cantik bukan aturan Allah? Allah juga telah menyatakan dengan jelas juga bahawa setiap apa yang Allah ciptakan di atas muka bumi ini bukan suatu yang sia-sia, walaupun pada pandangan kita seolah seperti sia-sia.

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

[Surah Al Mu’minun 23:115]

Saya teringat akan satu kata-kata,

“Hidup tanpa tujuan akan membuat hidup kita terasa hampa. Tanpa mengenal tujuan hidup, kehidupan ini menjadi sesuatu yang rutin dan membosankan.”

Hidup ini akan jadi sangat membosankan sekiranya kita tidak tahu apa tujuan kita hidup. Maka, ketahui dan fahami tujuan kehidupan kita agar kita mampu menjadi pemuda-pemudi yang hidupnya untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadikan dunia tempat ditadbir agar seluruh isinya tunduk kepada Allah.

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

[Surah Al Isra’ 17:70]

Moga Allah redha.


p/s : Artikel ini saya edit dari artikel pertama dari blog ini. Di edit supaya menjadi lebih formal. Eheh.
Comments
1 Comments

1 comment:

  1. "Iman adalah mutiara." Teringat lagu nyanyian Raihan. Untuk para atheist, mereka tidak langsung percaya kepada kewujudan Tuhan. Terus saya berfikir apakah dengan kita menunjukkan bukti-bukti di dalam al-Quran ini mampu menyedarkan mereka? Apatah lagi golongan Islam Liberal yang cuba menafsir al-Quran dalam konteks 'moden'.

    Kemudian saya berfikir, inilah yang dimaksudkan dengan beriman kepada Allah. Dalam apa jua hal pun, perkara akar adalah beriman kepada Allah dahulu. Percaya kepada perkara ghaib.

    Kemudian, barulah kita dapat melihat bukti-bukti yang telah Allah kemukakan. Dan al-Quran dan sunnah menjadi panduan bagi yang beriman dan bertakwa.

    ReplyDelete