Don't judge a blog by its followers

Thursday, 17 April 2014

Karpal Singh Macam Abu Jahal?

Malam tadi kita digemparkan dengan kematian Karpal Singh, ahli parlimen Bukit Gelugor kerana terlibat dalam sebuah kemalangan maut di Perak.

Maka hari ini penuh kicauan di twitter dan status di facebook serta terpampang di dada akhbar mengenai kematian mendiang. Dalam suasana sebegini, ada sebahagian Muslim yang menyatakan kematian Karpal Singh seperti Abu Jahal atau Abu Lahab, atau sebahagian lagi yang menyatakan kematiannya seperti Abu Talib.

Kemudian ada juga Muslim yang mengajak untuk menyedekahkan al Fatihah atau menyatakan Rest In Peace kepada beliau.

Garu kepala.

Sudah Sudahlah….

Beginilah, artikel saya kali ini tak mahu sentuh pasal apa hukum menyedekahkan al Fatihah atau menyebut Rest In Peace kepada mayat Non Muslim. Sebab dah ada dalam majlis fatwa, boleh rujuk di sana.

Saya juga tak berminat untuk komen atau bidas orang yang menyatakan mendiang seperti Abu Talib. Jauh sangat terlajak kias tu.

Sekarang yang agak popular apabila orang menyamakan mendiang dengan Abu Lahab atau Abu Jahal.

Samakah?

Beginilah.

Ini pendapat saya secara peribadi, dan tak bersangkut paut dengan orang lain.

Abu Lahab dan Abu Jahal adalah manusia yang hidup sezaman dengan Rasulullah sallahu alyhi wasallam serta para sahabat radiyallahu anhum ajmain.

Mereka berdua adalah penentang hebat kepada Rasulullah dan para sahabat.

Maka kejahatan mereka adalah hampir setara dengan kebaikan Islam ketika itu. Namun Allah telah memenangkan Islam di atas segalanya, maka kejahatan ketika itu lenyap.

Dan selepas kita memasuki zaman 2014 hari ini, saya yakin tidak ada seorang pun yang berani “claim” seseorang itu baik atau hebatnya seperti Sahabat Rasulullah. Sebab apa?
Sebab kita tahu Muslim hari ini tak setara atau tak setanding langsung kebaikkannya dengan kebaikan para Sahabat dulu.

Benar?

Jadi sepatutnyalah, kita pun TAK PERLULAH untuk “claim” seseorang itu jahat seperti Abu Jahal atau Abu Lahab.

Kerana kejahatan sebahagian non Muslim hari ini kebanyakkanya (terutama di Malaysia) tidak setara atau tidak setanding langsung kejahatan Abu Lahab dan Abu Jahal.

Sehingga Allah masukkan nama Abu Lahab dalam al Quran. Maksudnya dia benar-benar jahat sungguh.

Jadi nak bandingkan mendiang Karpal dengan siapa?

Pada saya, tak perlulah banding dengan sesiapa. Cukuplah kita ucapkan takziah kepadanya.

Kalau kita benar-benar benci padanya, dia sudah tiada.
Kalau kita benar-benar sayang padanya pun, dia sudah tiada juga.

Mendiang sudah mati bertemu dengan Tuhannya, Tuhan saya dan Tuhan pembaca sekalian, iaitu Allah Azza Wa Jalla.

Sekarang sudah masuk urusan mendiang dengan Allah. Bukan urusan kita sebagai manusia.

Janganlah Berpecah Lagi.

Hentikanlah perpecahan umat Islam yang sudah sedia pecah.

Sudah-sudahlah bergaduh.

Islam tidak menang dengan kematian musuh Islam, tetapi Islam menang apabila umat Islam memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Allah untuk mendapat kemenangan.

Antaranya adalah berasa mulia (‘izzah) dengan Islam.

Alangkah anehnya negeri ku ini.

Kita berpecah pada tempat yang tak sepatutnya berpecah.
Kita berbalah pada tempat yang tak sepatutnya kita berbalah.

Barulah saya memahami sedikit bagaimana Khilafah Abbasiyah yang hebat boleh tersungkur..
Bagaimana Khilafah Turki Uthmaniyyah yang gah boleh terkubur..

Dan bagaimana Empayar Melayu Melaka yang makmur boleh berterabur..

Bukan semata-mata hanya musuh dalam selimut atau musuh luar..

Tetapi kesatuan Islam yang hancur lebur…

Nangis.


Moga Allah redha.



p/s : Saya ucapkan takziah kepada keluarga mendiang Karpal Singh. 

ini cuma dua ploh sen dari saya.

Tuesday, 1 April 2014

Cerpen : Aku Nak Bercerai

"Shuk..."

Mata saya segera memandang sahabat yang sudah lama tidak berjumpa sambil menghirup secawan teh o limau suam.

"Ye mir.. muka muram durja je?" Saya mengangkat kening sambil meletakkan cawan teh o limau suam ke atas meja.

Syamir mengeluh.

"Aku sebenarnya ada benda penting nak story kat kau.." Syamir tunduk. Wajahnya sugul. Seolah dihempap oleh masalah besar.

"Sebab tu kau nak jumpa aku? Dah lama menyepikan diri lepas kawin dulu, maklumlah dah bahagiakan.." saya bergurau sambil tersengih untuk menceriakan suasana.

Syamir tertunduk.

Saya pula serba salah.

"Err.. kau kenapa? Em.. kalau tak keberatan, meh story pada abang. Biar abang long settlekan.. hehe... " saya menepuk bahu Syamir.

Syamir tersenyum kelat. Terasa berat baginya untuk bercerita.

"Begini.. isteri aku... emm.... " kata-katanya terhenti seketika.

"Hmm? Kenapa dengan isteri kau?" Saya tertanya-tanya.

Syamir mengeluh lagi.

"Ish kau ni. Asyik mengeluh ja. Macam lagak presiden dunia yang banyak masalah ja.." saya tersengih. Saya bergurau untuk mengurangkan sedikit tekanan yang dialami.

Syamir tersenyum lagi. Seperti biasa, senyuman yang kelat.

"Beginilah... aku terus terang saja. Aku tanya ini untuk minta pendapat dan pandangan kau. Bukan nak buka aib sesiapa. Moga kau dapat bantu aku.." mata Syamir merenung tepat wajah saya.

Nampak keseriusan beliau.

Saya mengangguk.

"Shuk.. Aku nak bercerai dengan isteri aku... apa pandangan kau?" Muka Syamir sedikit berkerut dan serius.

Hampir tersembur air teh o limau dalam mulut saya. Terkejut dengan kata-kata beliau.

"Kau nak bercerai? Kau baru je berapa tahun kahwin, dan sekarang kau nak bercerai? Aku salah dengar ke apa ni?" Saya mengangkat kening.

"Ya aku serius... " Syamir merenung tegas pada wajah saya.


Saya terkesima seketika. Rasa macam di sambar halilintar. Tersentak dengan kata-katanya.
Saya mengambil nafas panjang. Menyusun kata-kata demi menyelamatkan masjid yang baru beberapa tahun terbina.

"Apa sebab kau nak bercerai? Kau dah ada anak sorang tahu. Ini benda serius. Perkara halal yang Allah benci. Benda ni juga menentukan masa depan anak kau. Kau jangan main-main." Kini saya pula serius.

Syamir menghirup secawan teh o yang baru sampai.

"Isteri aku... hmm.. begini.. dulu sebelum kahwin, masa kami tengah bercinta, aku tengok isteri aku nampak macam baik je. Nampak macam rajin saja. Segalanya nampak indah.. walaupun mungkin tak pakai tudung dan tak jaga pergaulan, namun dia setia dengan aku. Dengan aku pijak semut pun tak mati. Tapi segalanya berbeza selepas kahwin.."

Syamir menghela nafasnya. Pandangannya beralih ke jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Saya menumpukan sepenuh perhatian dengan apa yang ingin disampaikan.

"Selepas kahwin, walaupun dia dah berubah sedikit, dah pakai tudung, dah jaga pergaulan dengan lelaki lain. tapi hubungan kami dah jadi macam hambar sejak kebelakangan ini. Seolah dah habis cinta kami masa zaman bercinta dulu. Lepas kahwin, hanya menikmati beberapa manisan cinta yang berbaki."

Dia menghelakan nafasnya lagi.

"Kalau dulu, dia selalu lipatkan baju aku, sediakan makanan untuk aku, ironkan baju aku, tunggu aku depan pintu, layan aku, dan macam-macam lagi. Sejak dah ada anak dan setahun kebelakangan ni, tak macam dulu lagi.. Hari-hari aku makan luar, balik kerja tengok dia dah tidur. Aku pun tension tidur juga. Entah la.. aku rasa..." Syamir mengeluh.

"Hmm.. kau rasa apa?" Saya mengangkat kening.

"Aku rasa kami dah hilang cinta agaknya. Hati masing-masing dah pudar..". Syamir menghebuskan nafas yang agak berat.

Begitu juga saya.

Saya bersandar di kerusi makan. Termenung seketika.

"Sebelum aku bagi pendapat aku, aku nak bagitau yang aku bagi pendapat sebagai seorang bujang. Tak pernah kahwin lagi. Bercinta tu... pernah la kot." Saya menghela nafas.

"Syamir.. kahwin ni adalah suatu perkara yang sangat besar. Sebab tu ia ibarat mendirikan masjid. Untuk kau robohkan masjid, ia ibarat kau melakukan suatu kemusnahan yang dahsyat."

Syamir mengangguk.

"Selepas saja akad nikah.. sepatutnya kau kena sentiasa hadirkan dua elemen yang saling lengkap melengkapi sepanjang kau mendirikan rumah tangga hingga akhir hayat. Jika satu elemen lemah, satu lagi elemen akan menguatkan."

"Elemen apa?" Syamir mengangkat kening.

"Cinta dan tanggungjawab" saya jawab tuntas.

Syamir termenung.
"Cinta ini relatif dan abstrak. Tiada kayu ukur atau parameter untuk tentukan berapa peratus yang turun dan berapa peratus yang naik. Namun kita sendiri mengetahui sejauh mana cinta kita pada seseorang. Diri kita sendiri yang boleh agak."

"Cinta ni sifatnya akan menaik, dan ada kala ia akan menurun. Apabila menaik, kau akan romantik tahap romeo dan juliet atau lebih lagi. Tetapi macam mana kalau ia menurun?"

"Ha'ah. Macam mana kalau menurun?" Dahi Syamir berkerut.

"Itulah fungsi tanggungjawab. Tanggungjawablah yang akan membantu mempertahankan cinta daripada terus pudar dan hilang. Mustahil untuk kau penuhi tanggungjawab dengan sempurna tanpa hadirnya cinta."

Syamir mengusap janggutnya.

"Dalam Islam, Allah meletakkan kewajipan untuk seorang anak patuh dan taat kepada ibu bapanya, dan jangan sekali kata 'Ah' pada mereka. Tetapi, dalam Islam TIDAK meletakkan kewajipan untuk seorang anak cinta dan kasih kepada ibu bapa mereka. Kerana cinta dan kasih itu adalah suatu perasaan yang abstrak, sukar hadir walau dipaksa, dan sukar pergi walau dihalau."

"Namun... untuk seorang anak taat dan patuh dengan bersungguh pada ibu dan ayahnya, mahu tidak mahu KENA hadirkan perasaan cinta dan kasih itu walaupun hadirnya itu lambat sekalipun. Jika tidak, anak itu akan taat dan patuh dalam keadaan derita dan terseksa batinnya kerana kehausan perasaan tu."

Syamir mengangguk. Dia mendengar dengan tekun.

"Begitu juga suami isteri. Mungkin atas alasan itu, Allah menghadirkan tanggungjawab antara suami isteri, moga dengan tanggungjawab yang dipikul dan diamanahkan itu, mampu mempertahankan cinta yang bersemi tu. Jika cinta pudar, tanggungjawablah yang akan menyerikan semula cinta."

Syamir tersentak. Seolah sesuatu mengganggu fikirannya.

"Dan akhir sekali, apabila cinta dan tanggungjawab ini diadun dan disebatikan dengan baik dan saksama, akan terlahirlah suatu tindakan yang sangat terpuji."

"Apa dia tindakan tu?" Syamir terpinga-pinga.

"Erti sebuah pemberian tanpa mengharap penerimaan. Memberi tanpa mengharap dibalas kembali."

Syamir termenung.

"Jadi sepatutnya aku kena beri pada isteri aku tanpa mengharap dia balas apa aku beri?" Syamir mengangkat kening.

Saya tersenyum. Syukur dia mengerti.

"Ada masa, rendahkan ego pada isterimu wahai teman. Jika dia tidak memasak, kau masakkanlah untuk dia, walaupun hanya telur goreng atau megi kari. Kalau ada kesempatan, ironkanlah baju untuk dia sekali walau kau iron senget sana sini, bukan hanya untuk diri kau. Jika punya waktu, bawalah dia berdating dengan kau, hanya berdua. Cari masa untuk kau dan isteri kau bersama. Anak kau suruh kawan atau keluarga terdekat kau jaga sekejap. Pergi tasik titiwangsa ke, atau mana-manalah tempat romantik."

Saya dan Syamir tersenyum.

"Dan wajibkanlah diri dan keluarga kau untuk tahajud bersama walau sebulan sekali. Itulah masa paling sesuatu untuk kau menyerikan cinta kembali." Saya melirikkan senyuman.

Secara tiba-tiba, Syamir mengalirkan air mata.

"Eh kenapa kau bro?" Saya terkejut. Tak pernah nampak dia menangis.

"Aku., aku rasa macam dah lama tak tahajjud. Apatah lagi dengan isteri. Sejak aku tinggalkan usrah dan dunia dakwah dan tarbiyah.." Syamir mengesat airmata lelakinya.

Saya menepuk bahunya.

"Dah la.. jangan menangis bro. Tak macho la kau. Hehe." Saya tersengih.

Syamir menganggukkan kepala menahan sebak.
"Yang penting, banyakkan berbincang dengan isteri kau. Bincang elok-elok. Benda boleh settle. Jangan pernah terfikir untuk bercerai. Itu bukan jalan penyelesaian." Saya memberikan harapan dan cadangan.

Syamir tersenyum. Ya, dia terasa seolah tergesa-gesa tindakannya.

"Terima kasih bro.. err.. kau join usrah lagi? Aku rasa nak join semula.." Syamir memandang wajah saya.

Saya tersenyum lebar.

"Aku usrah malam esok kat rumah aku. Mai datang lepas isyak. Lu belajar jalan ke sorga!" Saya berjenaka.

Kami berdua ketawa.


Tamat

Moga Allah redha.

- Shukery -